Sunday, July 13, 2008

Persoalan Agama: Hubungan kelamin perbuatan harus rujuk

Oleh Wan Zahidi Wan teh

Talak berlaku jika penuhi syarat ada diluar atau dalam mahkamah

KETIKA saya mengandung dua bulan, berlaku perselisihan faham dengan suami. Perkara terjadi adalah dalam keadaan marah, saya minta cerai tetapi saya sangkakan talak tidak boleh jatuh jika ketika itu isteri mengandung. Suami juga dalam keadaan marah dan mengambil bulat-bulat kata saya, iaitu cerai tidak berlaku ketika saya hamil, lalu berani mengeluarkan kata-kata iaitu 'Ok, kita dah tidak ada apa-apa dah... dah berpisah dah' semata-mata untuk menyakitkan hati saya. Selepas itu, kami berdua tersedar bahawa perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan berbaik semula pada hari yang sama kejadian itu. Suami berkata kalau pun talak itu sah, kita rujuk semula dan saya bersetuju. Selang dua atau tiga hari selepas itu, kami mengadakan hubungan kelamin. Kami berdua berjanji perkara seumpama ini tidak mungkin akan berlaku lagi demi masa depan kami berdua dan anak.

Saya ingin tahu adakah cerai itu sah di sisi Islam, iaitu berlaku di luar mahkamah syariah? Adakah hubungan kelamin dan perkara ingin rujuk yang hanya didengari oleh kami berdua dianggap rujuk yang sah di sisi Islam? Adakah hubungan kelamin itu sah dan bukan zina?

Awin
Kuala Lumpur

Jawapan:
Ibnu Hajar Al-Haitami menggolongkan permohonan cerai daripada isteri tanpa alasan syarei ke dalam lingkungan dosa besar berasaskan sebuah hadis yang bermaksud: "Mana-mana wanita memohon cerai daripada suaminya tanpa alasan (syarei), maka haram ke atasnya bau syurga." (riwayat Baihaqi). Oleh itu, puan wajib bertaubat daripada dosa itu.

Sekiranya sesuatu lafaz cerai itu memenuhi syaratnya, ia dianggap sah sama ada dilafazkan di luar atau dalam mahkamah. Peraturan yang menghendaki cerai dibuat melalui mahkamah adalah peraturan pemerintah yang wajib dipatuhi, tetapi ia tidak boleh mengubah mana-mana hukum syarak. Hakim akan membuat pemeriksaan teliti sebelum menentukan sesuatu perceraian yang berlaku di luar mahkamah itu sah atau tidak. Oleh itu, persoalan seperti ini perlu dirujuk ke mahkamah syariah untuk menentukan kesahihannya.

Namun demikian, saya akan membuat huraian daripada sudut pandangan fekah yang bersifat umum berasaskan fakta dinyatakan dalam soalan. Lafaz cerai terbahagi kepada dua jenis; iaitu soreh dan kinayah. Lafaz soreh ada tiga dalam bahasa Arab berasaskan penggunaan al-Quran; iaitu tholaq, firaq, dan sarah. Maksud sarah ialah jelas menunjukkan makna cerai, dan tidak boleh ditafsirkan dengan maksud yang lain, manakala lafaz kinayah pula ialah sebarang perkataan yang boleh ditafsirkan sebagai cerai dan membawa maksud lain.

Sesuatu cerai itu sah jika digunakan lafaz soreh tanpa perlu kepada niat. Malah, cerai berlaku sekalipun suami mengucapkannya secara olok-olok atau bergurau, berasaskan hadis yang bermaksud : "Tiga perkara sungguhnya adalah sungguh, dan olok-oloknya juga menjadi sungguh; iaitu nikah, cerai dan rujuk" (riwayat Abu Daud). Ia disebabkan ikatan perkahwinan begitu penting dan besar kedudukannya di sisi Islam. Dengan itu ia tidak boleh dipermainkan. Cerai dengan lafaz kinayah pula perlu disertai dengan niat untuk dikira sah.

Mengikut kitab fathul Mu'in, jawapan 'ya' oleh suami termasuk dalam lafaz kinayah, (1) sekalipun didahului dengan permintaan cerai oleh isteri dengan lafaz soreh. Dengan itu, jika suami puan meniatkan cerai dengan mengatakan 'ok', maka perceraian dikira sah, tetapi jika tiada niat talak, maka perceraian tidak berlaku.

Suami berhak rujuk isteri yang dicerai ketika dalam idah dengan apa-apa perkataan yang membawa maksud rujuk tanpa persetujuan isteri dan tanpa perlu kepada saksi. Menyetubuhi perempuan yang dicerai tetapi masih menjalani idah dan sebelum adalah haram, tetapi tidak sampai pada peringkat zina yang membawa hukuman had.

Ia memandangkan terdapat khilaf di kalangan ulama dalam masalah cara rujuk berlaku. Mazhab Hanafi mengharuskan rujuk dengan perbuatan; iaitu dengan melakukan hubungan kelamin.

No comments: