Monday, July 7, 2008

Fitnah undang perpecahan masyarakat

Oleh Mohd Shukri Hanafi

Allah laknat individu sebar serta percaya berita palsu, pembohongan

PERBUATAN fitnah-memfitnah membayangi masyarakat akhir-akhir ini. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Akan muncul suatu ketika yang mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasanya sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah." (Hadis riwayat Muslim)

Fitnah, sengaja mengadakan keburukan dan kekurangan, menokok tambah keaiban serta kelemahan orang atau memalsukan kebaikan sehingga menjadi keburukan. Ia boleh berlaku dalam bentuk lisan, tulisan seperti surat layang, khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web dan e-mel.

Fitnah adalah perbuatan tercela dan dilarang keras. Firman Allah bermaksud: "Fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan." (Surah al-Baqarah, ayat 191)

Disebabkan terlalu banyak perkara palsu serta pembohongan dalam fitnah itu, pembuat fitnah biasanya menyembunyikan dirinya supaya tidak diketahui orang kerana ia tidak mahu bertanggungjawab dan menyedari perbuatannya itu adalah palsu belaka.

Pembuat fitnah tidak berjaya jika tidak dibantu oleh orang yang menyebarkannya. Sebab itulah kedudukan pembuat fitnah dan penyebarnya adalah sama, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW diperlihatkan dengan sekumpulan manusia yang sedang menggunting lidah dan bibir mulut mereka dengan gunting. Baginda SAW bertanya kepada

Jibril: "Siapakah mereka itu?

Jibril menjawab: Mereka adalah penyebar fitnah." (Hadis riwayat al-Tabrani)

Lazimnya perbuatan memfitnah ini berlaku akibat didorong perasaan tamak, iri hati dan mementing diri sendiri. Selain itu, ia juga boleh berlaku jika seseorang itu lebih mengutamakan kedudukan dan keduniaan melebihi kepentingan agama.

Implikasi fitnah lebih dahsyat daripada membunuh. Membunuh hanya membabitkan orang tertentu dan akan berakhir pada masa tertentu, tetapi fitnah boleh menjatuhkan maruah seseorang dan seterusnya menimbulkan perpecahan, perbalahan dalam jangka masa panjang dan sukar disekat.

Orang yang difitnah itu akan mempertahankan dirinya dan apabila tahap kesabarannya mula hilang, ia menyebabkan seseorang itu bertindak dengan lebih agresif dan di luar batas kemanusiaan. Oleh sebab itulah Allah melarang keras perbuatan fitnah-memfitnah ini.

Diceritakan kononnya pada zaman dulu ada seorang lelaki kaya pergi ke pekan dengan tujuan hendak membeli seorang hamba. Kemudian ditawarkan kepadanya seorang hamba lelaki yang tiada sebarang kecacatan kecuali ia gemar memfitnah. Oleh kerana lelaki itu menganggap memfitnah sesuatu yang ringan dan remeh, maka ia bersetuju membeli hamba lelaki itu.

Selepas agak lama berada di rumah majikannya, hamba itu mulalah berkata kepada isteri majikan bahawa suaminya ingin berkahwin lagi. Lalu hamba itu pun mencadangkan isteri majikan cepat-cepat menggagalkan perkahwinan itu dengan ubat guna-guna, iaitu mengambil beberapa helai bulu roma di leher suaminya.

Cara mengambilnya pula harus dengan menggunakan pisau yang tajam supaya tidak terasa sakit ketika suaminya tidur. Oleh kerana si isteri ini benar-benar percaya lantas ia berusaha mendapatkan pisau yang tajam.

Kemudian hamba itu pergi memberitahu tuannya dengan berkata isterimu akan membunuhmu sewaktu kamu sedang tidur, kerana itu tuan diharap berhati-hati dan perkara ini boleh dibuktikan dengan berpura-pura tidur.

Maka benarlah ketika si suami berpura-pura tidur, tiba-tiba si isteri datang membawa pisau yang tajam, dan ketika memegang leher suaminya, si suami segera bangun, merampas pisau daripada tangan isterinya lalu terus membunuhnya. Keesokan harinya keluarga si isteri menuntut bela atas kematian itu dengan berbunuhan antara kedua-dua belah pihak.

Kisah itu memberi dua pengajaran penting. Pertama, fitnah tidak boleh dianggap suatu perkara yang ringan dan remeh, kerana boleh menimbulkan perpecahan, perbalahan, kemusnahan harta dan nyawa dalam masyarakat. Kedua, perlu menilai terlebih dulu kesahihan berita di sampaikan oleh seseorang.

Sebenarnya untuk menilai kesahihan dan kebenaran sesuatu berita yang disebarkan, al-Quran sudah meletakkan garis panduan. Ada beberapa ayat al-Quran dapat dijadikan panduan dalam perkara ini.

Antaranya firman Allah bermaksud, "Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan." (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Allah sudah memberi peringatan dan tunjuk ajar kepada semua umat Islam supaya menyelidiki terlebih dulu berita disampaikan orang tertentu kepada mereka. Tidak kira sama ada berita itu disampaikan secara lisan, melalui media cetak atau elektronik.

Seseorang mukmin dilarang tergesa-gesa mempercayai sesuatu berita yang disebarkan atau jangan terlalu cepat menafikannya sebelum menyelidiki terhadap kebenaran sesuatu berita itu. Ini semata-mata untuk mengelak daripada melakukan kesalahan di atas kesamaran.

Maksudnya, kerana sikap tergesa-gesa membuat keputusan yang tidak baik berdasarkan sesuatu berita disebarkan, menyebabkan orang yang diberitakan itu mendapat hukuman, padahal ia tidak melakukan kesalahan pun. Dalam hal ini jelas berlaku penganiayaan dan kezaliman.

Selain itu, ada beberapa panduan menghadapi berita fitnah. Abu Laith al-Samarqandiy berkata, "Kamu harus menghadapi berita fitnah dengan enam cara. Pertama, jangan percaya kerana orang yang memfitnah itu tidak dapat diterima penyaksiannya. Kedua, kamu harus mencegah daripada fitnah itu, sebab mencegah kemungkaran itu wajib. Ketiga, kamu harus membencinya, kerana ia adalah maksiat dan dosa. Keempat, kamu jangan bersangka jahat terhadap saudaramu yang difitnah itu, sebab buruk sangka terhadap sesama Muslim hukumnya haram. Kelima, jangan kamu selidiki keadaan orang yang difitnah itu, sebab Allah melarang menyelidiki kejahatan orang dan yang keenam, jika kamu tidak menyukai perbuatan orang yang memfitnah itu, maka jangan mengikuti cakapnya, iaitu jangan memberitahu sesiapapun segala fitnah yang disebarkan itu."

Justeru, kita seharusnya beringat, dalam usaha menolak sebarang berita fitnah jangan pula sampai kita membuat fitnah terhadap si pembawa atau pembuat fitnah itu. Kita harus menjaga perpaduan sesama umat Islam dan bangsa lain.

Perbuatan memfitnah jelas dilarang oleh syariat Islam. Maka kita hendaklah berusaha menghindari berbuat fitnah. Fitnah jika dibiarkan akan terus melekat di hati seseorang.

INTI PATI

Bahaya fitnah

Kedudukan pembuat fitnah dan penyebarnya adalah sama, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

Perbuatan memfitnah ini berlaku akibat didorong perasaan tamak, iri hati dan mementing diri sendiri. Selain itu, ia juga boleh berlaku jika seseorang itu lebih utamakan kedudukan dan keduniaan melebihi kepentingan agama.

Fitnah boleh jatuhkan maruah seseorang dan menimbulkan perpecahan, perbalahan dalam jangka masa panjang dan sukar disekat.

Umat Islam diminta supaya menyelidiki terlebih dulu berita disampaikan orang tertentu kepada mereka. Tidak kira sama ada berita itu disampaikan secara lisan, melalui media cetak atau elektronik.

Ketebalan fitnah yang melekat di hati manusia dapat dibersihkan dengan solat, puasa dan zakat.

No comments: