Tuesday, July 15, 2008

Perspektif Ikim: Manusia perlu manfaat sumber tenaga semula jadi

Oleh Azrina Sobian

Isu kenaikan harga minyak di seluruh dunia cetus kreativiti meneruskan kelangsungan hidup

KENAIKAN harga minyak di seluruh dunia memberikan kesan yang bukan sedikit. Seperti jangkitan penyakit, masalah itu seterusnya membawa pula masalah lain seperti kenaikan harga barang, perkhidmatan, kekurangan makanan, alam sekitar dan pelbagai masalah lain yang timbul.

Masalah ini wujud bagaikan satu kitaran yang kukuh dan sukar dipecahkan. Apabila meningkatnya harga minyak petrol, beberapa persoalan penting mulai menerjah pemikiran. Sampai bilakah manusia sejagat perlu bergantung kepada sumber tenaga ini? Tiadakah sumber tenaga lain boleh dijadikan pengganti dan apakah sudah ada usaha tertentu untuk mencari sumber gantian?

Sebenarnya, petroleum bukanlah satu-satunya sumber tenaga yang boleh digunakan manusia. Ada tenaga lain yang masih belum diteroka dengan sebaik mungkin. Tenaga alternatif atau tenaga gantian adalah sumber tenaga yang tidak berasaskan pembakaran bahan fosil atau pemecahan atom.

Sekurang-kurangnya ada lima bentuk tenaga gantian dalam dunia, iaitu tenaga suria (matahari), angin, geotermal, ombak dan hidroelektrik. Tenaga suria dikatakan boleh membekalkan bumi 35,000 kali lebih banyak daripada jumlah keseluruhan tenaga yang digunakan manusia di seluruh dunia kini.

Namun, pada masa kini, tenaga matahari hanya digunakan dalam beberapa kegiatan manusia contohnya untuk kegunaan di rumah (memanaskan air), menyalakan beberapa lampu di jalan raya dan memanaskan air di kolam renang.

Tenaga angin juga kebanyakannya digunakan untuk menjana elektrik. Namun, tidak semua tempat boleh menggunakan kaedah ini kerana perbezaan kekuatan angin antara satu tempat dengan tempat yang lain.

Tenaga geotermal pula diperoleh daripada haba pusat bumi dan boleh digunakan untuk menghasilkan elektrik apabila turbin digerakkan oleh wap panas. Tenaga ombak pula menggunakan pergerakan ombak bertujuan menghasilkan tenaga elektrik.

Akhir sekali, tenaga hidroelektrik yang dihasilkan melalui pembinaan empangan. Kuasa air digunakan untuk menggerakkan turbin lalu menjana tenaga elektrik. Namun, kaedah ini tinggi kosnya. Penjanaan elektrik menggunakan kaedah ini adalah biasa di negara kita.

Secara umumnya, penggunaan tenaga gantian penting kerana beberapa sebab, pertama, sumber bahan api fosil terutama minyak semakin berkurangan. Kekurangan ini berlaku kerana sumber minyak digali dengan begitu banyak dalam masa singkat lalu menyebabkan sumber itu tidak dapat menjana semula. Oleh itu, masyarakat manusia perlu menggunakan tenaga gantian bagi tujuan kelangsungan hidup.

Kedua, pembakaran petroleum (mahupun bahan api fosil yang lain seperti arang batu) membawa kesan alam sekitar. Pembakaran bahan api itu menghasilkan pelbagai gas rumah hijau (terutama karbon) yang menjejaskan mutu udara dan lapisan ozon.

Selain itu, masalah ini turut meningkatkan suhu dunia dan ini menjejaskan kehidupan manusia melalui udara tercemar, pertanian tidak menjadi dan aras laut meningkat. Masalah yang disebutkan tidak berdiri dengan sendirinya. Setiap satu masalah berkait dengan masalah yang lain.

Kesannya pula dirasakan oleh kita yang hidup dalam zaman ini. Oleh itu, cadangan berkenaan penggunaan tenaga gantian kembali ditimbulkan. Malah, ini bukan kali pertama ia dinyatakan cuma, cadangan hanya tinggal cadangan. Kenapakah hal ini berlaku?

Penggunaan tenaga gantian sebenarnya tidak begitu menarik kerana ia hanya boleh digunakan di tempat tertentu disebabkan perbezaan cuaca, bentuk muka bumi serta pengaruh musim. Misalnya, penggunaan tenaga solar untuk menjana tenaga di negara empat musim mungkin tidak begitu cekap dari segi kosnya.

Penggunaan tenaga angin juga bergantung kepada kekuatan pergerakan angin di sesuatu tempat. Bagi Malaysia, keadaan muka buminya yang berbukit-bukau, kuasa angin tidak begitu sesuai digunakan.

Inilah antara beberapa kekangan disebutkan apabila berbicara mengenai tenaga gantian. Apa yang ditakutkan kebanyakan negara adalah penggunaan kaedah ini terlalu tinggi kosnya sedangkan penghasilan tenaga tidak banyak.

Tanggapan begini membawa kepada andaian bahawa penghasilan tenaga gantian tidak akan berjaya, malah akan merugikan untuk jangka masa panjang. Tanggapan itu juga membawa kepada cadangan yang difikirkan lebih baik, iaitu dengan menggunakan sumber tenaga diperbaharui.

Walaupun pelbagai tentangan diterima, banyak juga cadangan lain diutarakan bagi menggantikan penggunaan petroleum sebagai sumber tenaga. Antaranya, kenapa tidak menggunakan bahan api bio yang lain misalnya minyak sawit, minyak kacang dan sebagainya untuk menghasilkan tenaga? Kenapa pula usaha untuk menggerakkan kereta dengan menggunakan kuasa air yang digembar-gemburkan satu ketika dulu senyap begitu saja?

Kita masih dimomokkan dengan pelbagai kenyataan kurang memberangsangkan. Ada memandang rendah usaha ini, malah ramai yang membantah dengan alasan ia mungkin membawa masalah kekurangan makanan, penebangan hutan meningkat kerana memberi laluan kepada tanaman untuk bahan api bio. Semua ini sedikit sebanyak mematahkan semangat banyak pihak yang menyokong penggunaan minyak minyak masak sebagai sumber tenaga.

Ramai yang tahu, tetapi enggan menerima hakikat bahawa penggunaan bahan api bio adalah mustahil. Keadaan menjadi lebih teruk apabila ramai pula yang tidak tahu langsung dan tidak mahu memberi peluang kepada tenaga baru ini membuktikan keupayaannya.

Jika keadaan dibiarkan berterusan, selamanya kita akan bergantung kepada tenaga petroleum sebagai sumber utama tenaga dunia. Sedangkan sumber tenaga gantian dan tenaga diperbaharui boleh digunakan untuk menjana tenaga dalam kehidupan manusia.

No comments: