Sunday, July 20, 2008

Dilarang tiru gaya hidup bukan Islam

SAYA mendapati sesetengah orang Melayu Islam suka meniru perangai orang bukan Islam. Sebagai contoh, jika orang Barat memakai subang, lelaki Islam pun berbangga memakai subang. Persoalannya, apakah hukum seseorang lelaki memakai subang, perempuan Islam pula meniru perempuan India memakai sari dan bertanda di dahi walaupun hanya untuk suka-suka. Bolehkah amalan ini dilakukan?

ABDULLAH SANI,
Perlis.

KITA dilarang meniru gaya hidup suatu kaum yang bertentangan dengan ajaran Islam, sama ada berkaitan akidah hingga syariat. Dalam masalah hari raya (hari kebesaran) misalnya, Islam melarang kita mengikut atau menghadiri hari raya umat lain. Begitu juga dari segi pakaian, potongan rambut dan urusan lain dalam kehidupan ini.

Umat Islam mempunyai cara kita sendiri dan tidak perlu menoleh ke kiri dan memandang ke kanan kerana Islam adalah satu-satunya cara hidup sempurna yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Muhammad. Ini meliputi hubungan manusia dengan Tuhan, dengan diri sendiri dan sesama manusia.

Renungkanlah kenyataan Ibnu Khaldun, seorang ahli sosiologi terkemuka yang pernah berkata: "Yang kalah cenderung mengekori yang menang dari segi pakaian, kenderaan, bentuk senjata yang dipakai, malah meniru dalam setiap cara hidup mereka termasuk di sini adalah mengikut adat-istiadat mereka, bidang seni, seperti seni lukis dan seni pahat (patung berhala), baik di dinding, fabrik atau di rumah".

Jika kita memahami keadaan umat Islam pada saat ini dan makna kenyataan Ibn Khaldun, kita dapati kesesuaiannya. Memang benar umat Islam kini berada dalam kedudukan amat rendah kerana kita tidak lagi taat dan patuh kepada ajaran Allah.

No comments: