Wednesday, July 2, 2008

Iqra: Amalan baca surah al-Waqiah elak ditimpa kemiskinan

Judul: Amalan Murah Rezeki
Qari: Anuar Hasin
Penerbit: HIjaz Records Sdn Bhd
Harga: RM15.90
Pengulas: Hasliza Hassan

Cabaran hidup hari ini boleh memberi tekanan dan pelbagai usaha dilakukan supaya bebanan dihadapi tidak menyebabkan kita hilang arah atau menyalahkan keadaan. Justeru, antara cara terbaik menghadapi tekanan serta cabaran ialah kembali kepada Allah.

Antara lain ialah memperbanyakkan amalan yang boleh memberi ketenangan serta kesabaran supaya setiap dugaan mampu dihadapi dengan hati terbuka, fikiran rasional serta kesungguhan mencari jalan penyelesaian.

Cakera padat (CD) Amalan Murah Rezeki adalah sebahagian penawar diperlukan terutama bagi mereka yang susah hati memikirkan kos kehidupan kian meningkat serta keperluan keluarga yang perlu dipenuhi.

Bacaan surah al-Waqiah sebagai amalan murah rezeki dalam CD ini dibacakan juara program realiti Akademi al-Quran musim kedua, Anuar Hasin, dengan bacaan secara murattal berserta terjemahan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Siapa membaca surah al-Waqiah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya." (Hadis diriwayatkan Baihaqi dari Ibnu Mas'ud)

Selain berusaha meningkatkan taraf hidup dan mengubah corak perbelanjaan, amalan kerohanian boleh membantu memberi perangsang kepada umat Islam untuk meneruskan kehidupan dalam suasana tenang serta bersyukur.

Semoga amalan ikhlas mengharapkan pertolongan Allah akan membuka jalan keluar dan dibukakan pintu rezeki seluas-luasnya oleh Allah melalui cara yang tidak pernah terfikir. Oleh itu, amalan kerohanian perlu dilakukan dengan ikhlas serta berterusan.

Seharusnya al-Quran dibaca setiap hari untuk mendapat pahala serta keredaan Allah. Amalan yang dibiasakan hingga sebati dengan diri sudah pasti akan menerima ganjaran baik daripada Allah.

Buku Surah al-Waqi'ah Terjemahan dan Huraian turut dihasilkan Pusat Pungutan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan melalui terbitan eksklusif siri ketiga disusun Zulkifli Mohd Yusoff.

Buku itu dibahagikan kepada 15 bahagian daripada 96 ayat dengan terjemahan bagi memudahkan pembaca memahami apa yang ingin disampaikan serta cerita kepada keseluruhan isi kandungan surat berkenaan.

No comments: