Oleh Wan Abd Rahim Wan Mohamad
Manusia disaran buat perencanaan bagi hadapi hidup di akhirat kelak
MASA sungguh berharga kepada manusia bagi menentukan nasib sama ada beroleh kebahagiaan hidup di dunia dan mengecapi kehidupan akhirat. Justeru, pastinya masa tidak akan dibiarkan berlalu begitu saja tanpa melakukan sesuatu yang memberi faedah dan kebaikan dalam hidup.
Mereka yang menghargai masa akan menghayati hidup penuh bererti. Pepatah Arab ada berkata: "Masa itu seperti pedang yang tajam, jika kamu tidak menggunakannya dia akan memotong kamu."
Demikian betapa pentingnya masa dalam hidup.
Berjaya atau gagalnya seseorang itu bergantung kepada sejauh mana masa yang digunakan. Demi masa, 1,000 perkara boleh dilakukan. Setiap saat dipenuhi dengan amal, hati tidak pernah lupa terhadap anugerah Maha Besar. Tetapi bagi orang yang tidak tahu menghargai masa, hidupnya bukan saja sengsara dan susah, bahkan dikutuk Tuhan.
Pepatah Arab berbunyi: "Masa itu seperti hidup, jika kamu tidak menggunakan masa bererti kamu mati walau pun tubuh masih bernyawa."
Walaupun manusia tidak menggunakan masa seperti mana sepatutnya, masa tetap berputar dan beredar berlalu mengikut paksinya yang sudah ditetapkan. Masa yang ditempuhi manusia mempunyai liku hidupnya tertentu.
Ketika kecil, remaja, dewasa hinggalah ke zaman tua. Bermacam corak dan bentuk yang pernah dilaluinya, pelbagai watak dilakonkan yang boleh menentukan kebahagiaan atau kecelakaan dalam hidup.
Benarlah hidup di dunia sentiasa diuji dan dicuba. Semakin besar pangkat dan kedudukan kian besar pula ujian terpaksa ditempuh. Saidina Umar pernah berpesan: "Buatlah perhitungan terhadap dirimu mengenai amal yang kamu kerjakan dan lakukanlah penilaiannya sebelum kamu dinilai nanti di akhirat."
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Buatlah perhitungan ke atas dirimu sebelum kamu dihitung di akhirat."
Setiap masa yang berlalu sebenarnya begitu berharga. Setiap nilaian adalah untuk menjana keyakinan dan kebenaran tauhid kepada Tuhan pencipta semesta alam. Justeru, Allah menyarankan kepada kita supaya membuat perencanaan hidup bagi menghadapi hidup di akhirat nanti.
Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman hendaklah bertakwa kepada Allah dan hendaklah setiap orang itu memerhatikan apa yang dilakukannya untuk hari esok (di akhirat) dan bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan." (Surah al-Hashr, ayat 18)
Manusia tidak tahu bila masanya dia akan mati sama ada pada waktu pagi petang atau malam. Segala dalam kekuasaan Allah. Bila tiba masanya manusia akan pergi juga. Lantaran itu kita wajib berusaha, berikhtiar membangun hidup untuk masa depan.
Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah hanya di sisi-Nya sajalah pengetahuan mengenai hari kiamat dan Dialah yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada dalam rahim dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (Surah Lokman, ayat 34)
Masa tidak pernah menunggu kita, sesaat berlalu ia tak akan datang lagi. Lantaran itu kita disaran terus berusaha dan beramal tanpa menunggu dan menangguhnya. Kerana setiap saat dan masa yang berlalu mendekatkan kita pada kematian.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika kamu berada pada waktu petang janganlah kamu bersikap menunggu datangnya pagi dan jikalau kamu berada pada waktu pagi janganlah bersikap menunggu datangnya waktu petang."
Malam dan siang adalah tanda kekuasaan Allah. Pertukaran itu memudahkan manusia menghitung masa, hari, bulan dan tahun. Firman Allah yang bermaksud: "Dan Kami jadikan malam dan siang dua tanda kekuasaan Allah maka Kami lenyapkan tanda malam lalu Kami timbulkan tanda siang yang terang bercuaca untuk kamu mencari rezeki dari Tuhan kamu dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan kiraan bulan tiap-tiap sesuatu itu Kami terangkan sejelas-jelasnya." (Surah al-Israk, ayat 12)
Demi masa yang terus menggerakkan kita supaya sedar dan bangkit berusaha melakukan amal soleh bukan saja untuk kemajuan hidup di dunia bahkan juga untuk keselamatan di akhirat.
Wednesday, July 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment