SABDA Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu yang paling disukai Allah selain daripada dua titisan dan dua kesan. Dua titisan itu ialah titisan air mata yang keluar kerana takutkan Allah dan titisan darah yang tumpah dalam perjuangan di jalan Allah. Manakala, dua kesan ialah kesan berjuang di jalan Allah SWT dan kesan kerana menunaikan kefarduan yang difardukan Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Sesungguhnya semua amal tergantung pada niat dan amal yang sedikit tetapi dikerjakan dengan ikhlas adalah lebih baik daripada amal yang banyak tetapi tidak ikhlas.
Sifat takwa adalah benteng yang menjadikan seseorang itu berasa dekat dengan tuhannya tanpa mengira situasi, sama ada dalam kelompok orang ramai atau bersendirian. Setiap perlakuannya kerana Allah.
Seorang ahli hikmah berkata, “Contoh orang yang beramal dengan riak itu adalah bagaikan orang keluar ke pasar dan mengisi poketnya dengan batu, sehinggakan semua orang yang melihat poketnya berasa kagum dan berkata: Alangkah banyaknya wang orang itu.”
Sedangkan sebenarnya dia sama sekali tidak berwang kerana tidak dapat membeli apa-apa dengan batu itu tetapi hanya sekadar mendapat pujian orang semata. Demikian juga orang yang beramal dengan riak, tidak ada pahala di akhirat kelak.
Ali bin Abi Talib berkata: “Tanda orang riak itu ada empat iaitu malas jika bersendirian, dan tangkas jika di hadapan orang, dan menambah amalnya jika dipuji, dan menguranginya jika dicela.”
Tanda keikhlasan iman kepada Allah itu antaranya ialah seseorang itu akan menangis kerana menyesali dosa yang dilakukannya dan menangis kerana takutkan seksaan Allah. Dan seseorang itu akan berani berjihad menegakkan agama Allah hingga sanggup menghadapi kecederaan, malah menempuh syahid kerana Allah.
Seseorang itu akan sabar dan tekun (khusyuk) menjalankan ketaatan kepada Allah hingga ada kesan lebam di dahi dan anggota badannya.
Wednesday, July 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment