Oleh Ibrahim Abdullah
CARI REZEKI: Orang Islam mesti rajin, giat berusaha dan bekerja dengan penuh jujur dan ikhlas terutama untuk mendapatkan rezeki yang halal.
Umat Islam digalak sentiasa bekerja keras untuk kebahagiaan dunia, akhirat
RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menjadikan akhirat sebagai matlamat tujuannya, maka Allah akan memberikan kekayaan hati padanya, memudahkan urusannya dan dunia akan datang sendiri kepadanya, dan barang siapa yang menjadikan dunia sebagai matlamatnya, maka Allah akan memberi rasa fakir kepadanya, menyulitkan urusannya, dan dunia tidak akan mendatanginya kecuali apa yang sudah ditetapkan baginya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).
Mafhum hadis menjelaskan cara untuk mendapatkan dunia adalah dengan menjadikan akhirat sebagai tujuan dan matlamat akhir perjalanan hidup seseorang. Ia tidak menjadikan dunia kecuali hanya sebagai tempat untuk mempersiapkan bekal baginya di akhirat.
Sikap menetapkan kehidupan untuk mencari bekalan akhirat, dengan sendirinya dunia akan datang menghampiri mereka tanpa perlu bersusah payah.
Dalam kehidupan seharian, kita sering menyaksikan manusia berusaha dan berjuang bermati-matian untuk mengejar dunia. Pola hidupnya untuk mendapatkan dunia menjadikan mata hatinya tertutup, sehingga ia tidak dapat membezakan antara yang halal dan haram.
Waktu yang sepatutnya digunakan untuk menghadap dirinya kepada Allah dengan beribadat dan beramal salih, diabaikan begitu saja hingga jiwa gersang daripada nilai spiritual menyebabkan hadir rasa tamak haloba serta tidak puas dengan apa yang diperoleh.
Mengapa ia harus berbuat sedemikian, bukankah cukup jelas sabda Rasulullah SAW di atas memberitahu kita bagaimana caranya untuk mendapatkan dunia, iaitu dengan menjadikan akhirat sebagai matlamat akhir dari sebuah perjalanan hidupnya yang pasti ia tempuhi dan lalui.
Justeru itu, kita mempertajamkan mata batin kita dengan melakukan hal-hal positif, kita sirami kegersangan jiwa kita untuk mengingati Allah SWT, kerana mengingati Allah itu adalah suatu pekerjaan dan urusan yang besar dan amat mustahak melebihi dari segala-galanya serta mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba-Nya.
Kita hiasi identiti keislaman kita dengan cara menjalankan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dengan itu semua, akan menjadi magnet yang dapat menarik pelbagai citrawara dunia dan isinya, sehingga dengan sendirinya dunia akan mendatanginya.
Dengan cara seperti inilah seharusnya kita sebagai umat Islam mengejar dan mendapatkan dunia di sisinya. Apabila Allah menetapkan rezeki bagi seseorang, tidak seorang pun dapat menghalangi walau bagaimana kuat usahanya.
Orang yang yakin dan mengerti bahawa rezeki itu sudah ditetapkan Allah, tentu tidak akan menyebabkan kegelisahan bagi dirinya sehingga lupa makan dan minum, apatah lagi kewajipan terhadap agamanya. Ia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperolehnya.
Apabila sudah berhasil, tentu tidak akan lupa untuk mensyukuri nikmat Allah atau mengeluarkan zakat dan membelanjakannya di jalan Allah.
Allah Taala berfirman kepada malaikat-Nya yang diserahi urusan pembahagian rezeki bagi anak Adam, sebagai pedoman kerja dan tugas pelaksanaan bagi mereka dengan maksudnya: “Hamba-Ku yang manapun lelaki atau perempuan yang kamu dapati mempunyai tujuan dan cita-cita hidupnya hanya satu, iaitu menghambakan diri kepada-Ku sehingga segala amalan perbuatannya solat, ibadat, hidup dan matinya semata-mata untuk-Ku, jaminkanlah rezekinya yang ada di langit dan di bumi, bukakanlah jalan yang mudah untuk mendapatkannya.” (Hadis Qudsi).
Pengertian rezeki ialah sesuatu yang dapat diambil manfaatnya oleh makhluk seperti makanan, pakaian dan lain-lain. Menurut Ahli Sunnah Waljamaah, yang dinamakan rezeki itu yang diperoleh walaupun dengan jalan haram, seperti rasuah, hasil curian, penipuan, perjudian dan lain-lain. Tetapi hendaklah kita selalu berusaha dan berdoa untuk mendapatkan rezeki yang halal.
Orang yang pemalas sempit rezekinya lagi sedikit. Bekerja dan berusaha adalah sunnatullah yang ditetapkan-Nya untuk memakmurkan bumi ini.
Pada bumi Allah ini berlimpah ruah segala macam rezeki, sampai di lubang batu, di gunung, di dasar laut, di angksa raya dan di mana saja terpulang kepada yang bekerja dan berusaha untuk mendapatkannya.
Dinyatakan dalam hadis, bahawa seorang hamba mesti berusaha dan bekerja mencari rezeki, tidak boleh malas. Seorang Muslim mesti rajin, giat berusaha dan bekerja dengan penuh jujur dan ikhlas terutama untuk mendapatkan rezeki yang halal.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa yang mempunyai satu keinginan (akhirat) nescaya Allah mencukupi kehidupan yang diinginkannya di dunia. Barang siapa yang keinginannya bercabang-cabang, Allah tidak akan memperdulikan kebinasaannya di lembah manapun di dunia ini (ia berada).” (Riwayat al-Hakim, Baihaqi, Ibnu Majah).
Hidup di dunia sebagai sebuah perjalanan yang penuh pancaroba dan ujian. Betapa pentingnya ujian bagi orang beriman, sehingga Allah SWT memberikan sindiran kepada orang yang ingin masuk syurga tanpa melalui ujian yang berat.
Firman Allah bermaksud: “Apakah kamu mengira akan masuk syurga sedangkan belum datang kepada kamu ujian sebagaimana halnya orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan berbagai dugaan, sehingga berkatalah Rasul dan orang beriman bersamanya, bilakah datangnya pertolongan Allah. Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” Surah al-Baqarah, ayat 214).
Ada empat jenis ujian yang Allah berikan kepada orang beriman:
Pertama, ujian yang berbentuk perintah. Contoh paling ekstrem adalah perintah Allah kepada Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya yang sangat disayangi. Tetapi Nabi Ibrahim menjalankan perintah dan ujian yang amat berat itu dari Allah dengan penuh keikhlasan dan keteguhan imannya.
Kedua, adalah ujian berbentuk larangan. Contohnya adalah apa yang terjadi pada Nabi Yusof yang diuji dengan seorang perempuan cantik, isteri seorang pembesar Mesir yang menggodanya untuk melakukan maksiat. Tetapi Nabi Yusof teguh imannya tanpa mengerjakan perbuatan berkenaan.
Ketiga, adalah ujian yang berbentuk musibah. Contohnya Nabi Ayub diuji Allah dengan penyakit yang amat hebat, sehingga tidak ada sebesar lubang jarum pun dalam badannya yang selamat dari penyakit itu kecuali hatinya. Lapan belas tahun lamanya ia menanggung penyakit itu dengan penuh ujian dan ketabahan.
Keempat, adalah ujian melalui pihak ketiga. Contohnya ialah apa yang pernah dialami oleh Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya tertutama ketika berada di Makkah. Sudah cukup memberi pelajaran dan teladan bagi kita, betapa keimanan itu diuji dengan berbagai cara dan percubaan yang berat serta dahsyat yang menuntut pengorbanan harta benda bahkan nyawa.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya besarnya ganjaran pahala sesuai dengan besarnya ujian, dan sesungguhnya apabila Allah menya-yangi suatu kaum, Dia akan menguji mereka, maka barang siapa reda baginyalah keredaan Allah, dan barang siapa marah baginyalah kemarahan Allah.” (Riwayat at-Tirmizi).
Masih banyak manusia yang tidak menyedari akan erti matlamat hidup dan ujian Allah. Seringkali kita berasa kecewa apabila hal berkenaan tidak sesuai dengan harapan dan hasrat kita. Pada hal di sebalik itu semua adalah sebagai ujian dalam hidup kita semua, sejauh manakah keimanan kita terhadap Allah.
Allah berfirman maksudnya: “Apakah manusia mengira mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan kami beriman, sedangkan mereka tidak diuji?” (Surah al-‘Ankabut, ayat 2).
Ujian itu tidak hanya diberikan untuk sebahagian orang atau sekelompok golongan, tetapi mencakupi semua manusia dan umat Islam khususnya seperti firman-Nya bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang yang benar dan pasti mengetahui orang yang dusta.” (Surah al-‘Ankabut, ayat 3).
Tidak ada yang kekal di dunia ini, selain daripada perubahan dan ujian itu sendiri. Maka tawakal dan ikhlas adalah hal yang utama yang pasti dipegang oleh setiap individu. Bertawakal, kemudian mengerjakan segala urusan dengan sungguh-sungguh, dan ikhlas terhadap apa yang akan datang dan pergi. Kerana dunia hanya tempat persinggahan sementara yang penuh dengan ujian dan matlamatnya.
Saturday, July 12, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment