Saturday, March 6, 2010

Jahil pengetahuan agama rencat perpaduan kaum

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my

Pertelingkahan dalam masyarakat boleh dielak jika saling menghormati anutan bangsa lain

TINDAKAN pihak tertentu membakar beberapa gereja di negara ini diikuti insiden empat kepala babi bersama wang tunai di letakkan di pekarangan dua masjid di Petaling Jaya, yang masing-masing menjadi rumah ibadat penganut Kristian dan Islam, awal Januari lalu boleh disifatkan sebagai jahil terhadap pengetahuan agama.

Keharmonian, keamanan dan perpaduan rakyat pelbagai kaum, keturunan, etnik dan agama di negara ini dilihat begitu unik dan amat dikagumi. Namun, beberapa insiden seumpama itu sedikit sebanyak menggugat ketenteraman.

Kejahilan atau fanatik terhadap agama masing-masing secara melulu boleh mendorong dan mencetuskan perkara tidak diingini sehingga merencatkan perpaduan negara. Pada asasnya, semua jenis agama sama ada Islam, Kristian, Hindu atau Buddha menggalakkan pengikutnya melakukan kebaikan dan mengutuk perbuatan buruk.

Pensyarah Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Fadlan Mohd Othman, berpendapat Islam memang menggalakkan umatnya banyak membaca untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan mengelak seseorang itu terus jahil agama.

Dalam senario di Malaysia, kejahilan terhadap agama juga boleh mendorong seseorang melakukan perkara yang melangkaui batasan termasuk tidak menghormati agama lain.

Malah, Islam tidak pernah menyekat umatnya untuk bercampur atau bergaul dengan rakan lain yang berlainan agama sebaliknya yang lebih penting adalah menghormati dan memahami agama mereka supaya wujud kesejahteraan dalam masyarakat.

"Allah suka kepada kelembutan dan mengelakkan permusuhan. Kita digalakkan menjadi penyelamat serta berlaku adil untuk kepentingan hidup bermasyarakat. Kalau ada permusuhan antara Islam dan bukan Islam ia boleh diselesaikan dengan baik menerusi perbincangan," katanya pada majlis diskusi ilmiah bertajuk 'Jahil Agama Rencat Perpaduan Negara' di Universiti Malaya, baru-baru ini.

Diskusi ilmiah itu antara lain bertujuan mengenal pasti peranan dimainkan oleh agama dan memastikan perpaduan di antara kaum terus dikekalkan.

Namun, Fadlan berkata, dalam aspek global, negara yang memusuhi Islam seperti Yahudi tidak seharusnya diberi tempat untuk mengelakkan perpecahan yang semakin membarah dalam masyarakat Islam sendiri.

Sementara itu, Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 1, Bandar Kinrara, Dharma Lingam, berkata dalam Mazhab Saiva (Tamil) percaya bahawa pencapaian tertinggi adalah mendampingkan diri dengan tuhan yang memiliki nilai kasih sayang.

Sekiranya pencapaian tertinggi itu dapat dilakukan, maka sifat saling menyayangi mampu menjadi benteng kepada perpaduan tanpa wujudnya diskriminasi agama dalam apa juga bentuk. Bagaimanapun, kecetekan terhadap agama masing-masing menyebabkan wujud diskriminasi, selain mendatangkan rasa kurang senang dengan penganut lain dan menimbulkan ketegangan.

"Diskriminasi dan salah faham itu adalah disebabkan oleh agama, bangsa, bahasa, budaya, status, pendidikan, paras rupa dan warna kulit. Oleh itu, kita juga digalakkan faham apa yang terkandung dalam agama lain. Oleh itu, jika kita lihat masjid, kuil atau gereja masing-masing tahu menghormati apa fungsi rumah ibadat itu.

"Kalau kita tahu agama, tidak mungkin, ada orang Islam, Hindu, Kristian atau Buddha memaling muka masing-masing apabila melihat rumah ibadat yang bukan dianuti mereka. Sebenarnya arah dan destinasi setiap agama sama tetapi hanya cara saja berbeza," katanya.

Beliau berkata, seruan agama meminta umatnya memberi makanan, pakaian dan bantuan yang diperlukan kepada orang yang memerlukan tanpa mengira kaum budaya dan agama boleh mewujudkan perpaduan.

Seruan agama menyuruh mengikiskan sifat seperti ego, sombong, tamak, bernafsu tinggi, perasaan mudah marah, cemburu, tidak bersyukur dan prejudis.

"Oleh itu, kita dapati dengan memiliki agama yang sempurna ia mampu memperkukuhkan asas perpaduan negara khususnya yang dihuni oleh pelbagai anutan agama dan bangsa," katanya.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Kinrara Metta Buddhist serta Kumpulan Bodhi Buddish dan Rangkaian Perniagaan Buddha, Tan Huat Chye, berpendapat amalan beragama menuntut kehidupan yang sejahtera, keamanan serta mengelakkan permusuhan atau peperangan.

Malangnya, apa yang berlaku sekarang permusuhan masih bertapak dalam hati setiap penganut berlainan agama disebabkan kejahilan mereka terhadap agama yang dianuti.

"Malaysia adalah sebuah negara yang aman dan dianggap bumi rahmat, sekiranya semua manusia memegang label kepada agama masing-masing yang mengutamakan persefahaman dan saling menghormati," katanya.

Felo Evengentical Siswazah dan Pelajar, Universiti Malaya, Prof Dr Lee Chai Peng, yang mewakili penganut Kristian, pula turut memberi pandangan sama dengan menegaskan agama adalah aspek penting kerana ia mempunyai peranan penting dalam memandu manusia ke arah kebaikan, keamanan dan kesejahteraan.

Seseorang itu tidak kira apa saja agama yang mereka anuti, perlu belajar agama masing-masing dengan mendalam supaya dapat memahami secara keseluruhan.

"Perselisihan faham antara kaum yang berlainan agama mengenai sesuatu isu berkaitan agama boleh diatasi jika mereka saling memahami kehendak dan kepercayaan agama masing-masing kerana semua agama mempunyai persepsi sama dalam aspek berbuat kebaikan.

"Kita juga boleh berbincang untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengelak kekecohan dan permusuhan berpanjangan," katanya.

Malah, seseorang itu digalakkan belajar memahami agama lain dan bukannya hanya bergantung kepada punca sekunder saja kerana ia lazimnya kurang tepat sehingga boleh mewujudkan ketegangan dan salah faham.

Khalwat untuk beribadah diharuskan

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Mana-mana lelaki tidak akan berdua-duaan (berkhalwat) dengan perempuan, melainkan pasti syaitan akan menjadi yang ketiga." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Wanita dilarang berkhalwat dengan lelaki bukan muhrimnya bukan saja di dalam rumah tetapi juga di tempat sunyi tanpa dihadiri atau dilihat orang ramai seperti di taman, tasik dan pejabat.

Khalwat yang diharuskan Islam dalam erti kata 'mengasingkan diri daripada orang ramai untuk tujuan beribadah kepada Allah' seperti berlaku kepada Rasulullah SAW yang berkhalwat di Gua Hira'. Baginda menjauhkan diri daripada masyarakat jahiliah untuk beribadah kepada Allah.

Syaitan adalah makhluk yang bijak. Selagi ada kesempatan terluang, ia akan menggoda manusia untuk melakukan perbuatan terkutuk.

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berwaspada. Jangan sekali-kali menghampiri pintu yang menghumban ke neraka seperti melakukan khalwat yang akhirnya menjurus kepada zina.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Friday, March 5, 2010

Pertumbuhan ekonomi, kebajikan perlu seiring

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

Strategi berasas falsafah tauhid perlu jadi dasar pembangunan rakyat

SUASANA ekonomi di serata dunia walaupun angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sedikit memberangsangkan tetapi hakikatnya membimbangkan pada masa hadapan. Angka pengangguran berada pada tahap tinggi. Kos sara hidup terus meningkat. Hutang makin membesar dan kadar kemiskinan masih di tahap tinggi di serata dunia.

Pertumbuhan KDNK tidak mencerminkan kebajikan masyarakat turut meningkat. Bahkan angka KDNK yang menjadi penanda aras pertumbuhan ekonomi sekarang mula dipersoalkan terhadap kesan positif kepada kebajikan masyarakat.

Persoalan yang perlu diberi perhatian ialah adakah pengukuran pertumbuhan ekonomi sahaja mampu menyelesaikan keperluan guna tenaga, penurunan kadar kemiskinan dan penurunan kos sara hidup.

Dengan erti kata lain, pertumbuhan ekonomi dalam perjalanan sistem ekonomi semasa tidak semestinya menjamin kebajikan hidup rakyat akan berjaya dicapai, hatta menjana kepada kemajuan ekonomi seterusnya.

Jika sesebuah masyarakat mahu mencapai kemajuan ekonomi dan kebajikannya maka strategi penyusunan kehidupan yang menyeluruh perlu diberi perhatian pemerintah. Ini bermakna, tumpuan kepada perancangan membangun negara hendaklah secara menyeluruh dan perancangan kemajuan ekonomi hendaklah menjadi sebahagian daripada dasar pembangunan masyarakat.

Pendekatan ini memerlukan sesebuah negara menggubal hanya satu rancangan pembangunan negara meliputi semua aspek termasuk bidang kerohanian, pendidikan, kebudayaan, ekonomi, institusi keluarga, politik dan sebagainya.

Melalui pendekatan itu, semua aspek yang menghasil kepada kebajikan rakyat akan dirancang dan dilaksana secara komprehensif serta bersepadu. Maknanya, pendekatan itu mampu menghala masyarakat membina sebuah peradaban sempurna.

Dengan mengambil pendekatan syumul dan komprehensif dalam menggubal dasar pembangunan negara, semua aspek yang dikenal pasti akan menjadi pengukur kepada kemajuan sesebuah masyarakat. Pendekatan itu akan mengukur tahap kemajuan negara secara menyeluruh dengan cara sepadu. Ukuran kepada pencapaian semua perkara itu akan memberi gambaran lebih tepat kepada kedudukan kebajikan masyarakat yang sebenar. Matlamat akhir perancangan pembangunan negara yang menyeluruh hendaklah mampu menjana kesejahteraan rakyat.

Pendekatan bersifat syumul ini mengambil langkah untuk membangun peradaban masyarakat yang utuh. Peradaban atau cara hidup yang serba maju ini jika dijadikan pendekatan kepada usaha untuk membangunkan negara, hasilnya sudah pasti menjamin kepada pencapaian kesejahteraan rakyat yang sebenar.

Krisis dan kemelut ekonomi dihadapi masyarakat dunia kini adalah natijah daripada pendekatan negara memberi tumpuan kepada usaha mencapai pertumbuhan ekonomi.

Tidak menghairankan jika strategi ini menjadi panduan kebanyakan negara semasa kerana mereka yakin dengan kapitalisme. Walaupun kerenah kemanusiaan hasil daripada pelaksanaan sistem ini kepada masyarakat sangat teruk, manusia seolah-olah tidak mampu merujuk kepada pendekatan alternatif. Apa yang disarankan masih dalam gagasan ideologi itu.

Kapitalisme dibina atas falsafah kebendaan, individualisme dan naturalisme. Ia bersifat kebendaan kerana pada awal lagi manusia ditakrif sebagai makhluk kebendaan (economic man). Matlamat hidup manusia ialah memuaskan nafsu jasadnya (hedonisme). Kejayaan hidup manusia hanya di dunia melalui pengumpulan begitu banyak harta bagi memenuhi hedonisme.

Cara harta itu dikumpul bagaimanapun tidak menjadi perhatian. Hasilnya, banyak kerenah ketidakadilan berlaku dalam masyarakat pada hari ini.

Dalam menyusun perjalanan sistem ekonomi, sistem kapitalisme mengemukakan pendekatan laisse faire (kebebasan mutlak hendaklah diberi kepada individu) melalui institusi pasar. Melalui institusi pasar semua aktiviti ekonomi akan dijalankan.

Di samping itu, peranan sektor awam hendaklah diminimumkan. Jika sektor awam turut aktif dalam penyusunan ekonomi negara, sektor swasta (sektor individu) akan terhakis. Asas falsafah kepada penyusunan sistem ekonomi kapitalisme pada masa kini sudah tidak menepati ideologi dan pendekatan asal kapitalisme.

Pembabitan sektor awam sudah menjadi terlalu besar untuk menghadapi kekangan ekonomi yang dihadapi masyarakat pada hari ini. Kemelut ekonomi terus berlaku sehingga menyebabkan peradaban manusia semakin terhakis.

Dunia kini dalam keadaan sangat membimbangkan. Keadaan alam sekitar membuktikan kerakusan tingkah laku manusia membolot hasil bumi dalam proses mengumpul kekayaan.

Apa yang turut membimbangkan institusi keluargaan kini bertambah rapuh. Akibat masa yang lebih banyak terpaksa diperuntukkan sebahagian daripada masyarakat pada hari ini untuk menampung keperluan hidup akibat kos sara hidup yang tinggi sehinggakan masa untuk memenuhi keperluan keluarga terpaksa diabaikan.

Dalam suasana sedemikian, manusia terus gagal mencari pendekatan baru kembali kepada kesejahteraan. Pendekatan baru penyusunan ekonomi bernegara dan perhubungan ekonomi di peringkat antarabangsa masih kekal dalam kerangka kapitalisme.

Sudah tiba masa manusia kembali kepada agama. Malangnya pendekatan baru yang berunsurkan agama masih tidak dapat dikemukakan di luar kerangka kapitalisme.

Bahkan apa yang dianggap pendekatan menepati kehendak agama tidak bersifat syumul dan komprehensif. Ia hanya disandar kepada persoalan teknikal dan mekanikal hukum. Bukan semangat hukum untuk menjayakan matlamat syariah.

Justeru, pendekatan agama khususnya Islam mesti diasaskan kepada falsafah tauhid. Semangat keadilan dan memupuk muafakat di kalangan umat manusia dalam menyusun dan memajukan peradaban manusia, termasuk aspek ekonomi perlu menjadi gagasan model baru dasar pembangunan sesebuah negara.

Hanya melalui pendekatan ini kemelut ekonomi semasa dapat ditangani dengan memberi penyelesaian kepada akar umbi permasalahan itu. Jika kita hanya cuba mencari penyelesaian ekonomi melalui dasar fiskal dan kewangan smata-mata, permasalahan ekonomi seperti kemiskinan, pengangguran, kos sara hidup yang tinggi serta kebajikan hidup pada keseluruhannya tetap tidak berjaya dicapai.

Negara dan dunia pada masa ini memerlukan model pembangunan syumul yang menepati keperluan bagi membina semula tamadun manusia.

Ingatan bagi pelupa: Sedekah erat persaudaraan Islam

RASULULLAH bersabda maksudnya: "Sesiapa mempunyai kenderaan melebihi daripada keperluannya sendiri hendaklah bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai kenderaan dan sesiapa mempunyai lebihan bekalan makanan hendaklah ia bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai apa-apa bekalan makanan. Selanjutnya Rasulullah menyebut bermacam-macam lagi harta benda yang baginda teringat hingga kami lihat bahawasanya tidak ada seorang pun daripada kami yang benar-benar mempunyai kelebihan." (Hadis riwayat Muslim)

Islam menggalakkan umatnya memberi pertolongan dan bantuan kepada orang yang susah serta memerlukan bantuan sama ada daripada segi harta benda, kewangan, makanan dan sebagainya.

Hikmah bersedekah ialah untuk mengelakkan daripada mementingkan diri sendiri sebaliknya mengeratkan persaudaraan dalam Islam.

Bagi golongan hartawan yang mempunyai harta kekayaan juga digalakkan bersedekah dengan memberi bantuan makanan kepada golongan yang lebih memerlukan seperti bantuan basikal untuk kanak-kanak ke sekolah atau apa-apa sumbangan diperlukan bagi mereka yang memerlukan.

Keganasan rumah tangga virus masyarakat

Oleh Ibrahim Abdullah

Suami isteri perlu berpandu hukum agama elak konflik dalam perkahwinan

RUMAH tangga tempat berteduh dan menjanjikan sejuta kedamaian dan kasih sayang harmonis dalam institusi kekeluargaan. Islam sebagai ad-Din yang sempurna mengatur dan mengurus bagaimana mewujudkan kebahagiaan, selain menciptakan rumah tangga.

Hadis Nabi Muhammad bermaksud: "Baiti Jannati" (Rumahku, Syurgaku). Rumah tangga yang ditemukan kedamaian, kasih sayang (mawwadah), kebahagiaan, dan rahmat Allah diibaratkan seperti syurga dunia.

Imam Hasan al-Banna mengatakan dalam wasiatnya: "Jangan tinggikan suaramu melebihi keperluan pendengar, kerana hal demikian adalah perbuatan bodoh dan mengganggu orang lain." Suara tinggi atau keras dalam percakapan, berbantah-bantahan, ketawa terbahak-bahak atau suara menengking yang kuat adalah hal yang sensitif. Ia mendorong tercetus perselisihan dan pergaduhan dalam rumah tangga. Ia bukan etika dalam Islam.

Dalam rumah tangga Islam, tentu penghuninya selalu berusaha menerapkan etika Islam dalam bermuamalah dengan sesama anggota dan jiran tetangganya, menjaga kesopanan dalam bercakap, menghormati hak orang lain dan menjaga rahsia dalam rumah tangganya.

Kebahagiaan hidup berkeluarga hanya dapat dicapai jika suami isteri melaksanakan tanggungjawab diamanahkan. Suami sebagai ketua keluarga bertanggungjawab memimpin isteri dan orang dalam tanggungannya mentaati Allah serta Rasul-Nya selain melaksanakan tuntutan ibadat dan memelihara daripada perbuatan maksiat dan dosa. Suami wajib memberi nafkah secukupnya dengan kadar termampu seperti tempat tinggal, makan minum, pakaian dan kemudahan-kemudahan lain yang diperlukan keluarganya.

Isteri pula wajib mentaati suami (selagi tidak menyuruh yang haram) serta berkhidmat dan memelihara kebajikan rumah tangga dan anak. Rasulullah bersabda bermaksud: "Seorang lelaki (suami) adalah pemimpin dalam urusan keluarganya dan dia diminta bertanggungjawab dalam kepimpinannya. Seorang isteri adalah pemimpin dalam mengurus rumah tangga suaminya dan dia akan diminta bertanggungjawab dalam kepimpinannya." (Hadis riwayat Bukhari)

Jelas, keluarga yang tidak berasaskan pendidikan dan ajaran Islam boleh mengundang pelbagai masalah, konflik, tiada persefahaman, penderaan dan pergaduhan. Akhirnya, berlaku keganasan dalam rumah tangga bahkan terjadi pembunuhan yang menyayat hati.

Keganasan rumah tangga adalah perbuatan kejam terhadap ahlinya. Kes itu timbul dengan pelbagai sebab antara lain kerana tidak memberi nafkah kewangan dan keperluan asasi lainnya. Juga, keganasan emosi untuk memalukan atau membalas dendam terhadap seseorang.

Keganasan fizikal seperti menyebabkan kecederaan dan kematian, meninggalkan mangsa di tempat berbahaya, memukul dan sebagainya, menyekat mereka berjumpa keluarga dan saudara, terbabit orang luar bersubahat untuk mencederakan mangsa dan lain-lain.

Daripada kes dilaporkan menunjukkan kadar peningkatan dari tahun ke setahun terhadap penderaan kanak-kanak dan isteri. Keganasan rumah tangga berlaku berikutan dipengaruhi pelbagai faktor antaranya pengalaman pelaku sendiri, keluarga, rakan, masyarakat dan keadaan persekitaran.

Keganasan berlaku akibat tekanan emosi dan perasaan marah dan tidak puas hati terhadap isteri dan anak atau ahli keluarga lain. Sesetengah kes bagaimanapun disembunyikan daripada pengetahuan umum kerana takut dan malu. Jiran pula bersikap acuh tak acuh kerana menyifatkan itu masalah peribadi dan keluarga terbabit dan tiada kaitan dengan mereka.

Semua pihak perlu memainkan peranan mencegah keganasan berterusan dalam rumah tangga supaya tidak bertambah teruk dan merebak menjadi virus yang mengancam masyarakat. Pihak terbabit seperti kementerian, badan berkanun, badan bukan kerajaan dan masyarakat juga perlu bekerjasama menangani masalah itu.

Pada masa sama, orang yang melakukan keganasan hendaklah bertaubat dan memperbaiki diri sendiri kerana pengabaian tanggungjawab kepada keluarga dan rumah tangga adalah penganiayaan pada dirinya sendiri selain dosanya besar dan berat. Setiap perkahwinan perlu diikat dengan perasaan kasih sayang, hormat menghormati, bantu membantu, sikap tolak ansur dan tanggungjawab dalam semua perkara.

Suami sebagai pemimpin, pelindung dan tempat bergantung perlu menjalankan tanggungjawab melindungi anak, isteri dan lain-lain. Rasulullah adalah contoh terbaik sebagai seorang suami bertanggungjawab mengasihi dan menyayangi ahli keluarganya.

Soal Jawab Agama: Anak luar nikah dilayan sama rata

Bersama Ustaz Jamanuddin Jusoh

Soalan:

BERKENAAN kedudukan anak luar nikah di sisi Allah jika dia beriman, apakah dia berhak ditempatkan di syurga? Adakah benar sabda Nabi, anak luar nikah dan keturunannya tidak akan mencium bau syurga? Harap dapat sedikit penjelasan.

Fatimah Abd Manaf,
Pahang.

Jawapan:

ISLAM menganjurkan hubungan halal melalui pernikahan bagi meneruskan kesinambungan umat dan keturunan dan mengharamkan zina kerana membantutkan proses itu.

Persoalan saudari berkenaan anak luar nikah, dia tetap menjadi ahli syurga dan akan dilayan dengan sebaiknya oleh Allah seperti orang lain jika dia beriman dan beramal soleh.

Syeikh Ismail Muhammad A'jluni di dalam kitabnya Kashful Khafa, juz kedua halaman 372: “Tidak akan masuk syurga anak yang dilahirkan secara haram” diriwayatkan oleh Abu Naim dari Abu Hurairah RA. Imam Nasai juga meriwayatkan hadis ini dengan makna sama.

Namun demikian, Imam Daru Qutni menyebut sanad (silsilah perjalanan) hadis ini tidak sampai kepada sahabat Nabi iaitu Abu Hurairah RA.

Pengarang kitab Maqasid mengatakan hadis ini diragukan. Ulama hadis iaitu Abu Tahir dan Ibnu Jauzi mengatakan hadis ini maudu' (direka-reka). Pengarang kitab Safarus Saa'dah mengatakan hadis ini batil.

Al-hafiz Ibnu Hajar menyebut hadis ini bermaksud anak itu tidak akan masuk syurga jika sekiranya dia masih mengamalkan perbuatan terkutuk seperti yang dilakukan ibu bapanya.

Kebanyakan ulama bersepakat bahawa hadis ini tidak ditafsirkan mengikut zahir

lafaznya dan ia mestilah ditakwilkan maknanya (mengikut andaian lafaznya). Begitu juga maksud lafaz ‘tidak akan masuk syurga’ bermakna dia tidak masuk syurga bersama golongan yang awal kerana orang yang melakukan maksiat akan diazab terlebih dulu dalam jangka masa yang ditentukan Allah dan tidak kekal di neraka.

Jika dia bertaubat maka dia akan terlepas melainkan jika dia menghalalkan hukum zina itu sendiri lalu menjadi murtad dan kekal di neraka.

Bagi menjelaskan maksud hadis di atas Abu Daud di dalam sunannya meriwayatkan sebuah hadis Nabi Muhamad dari Abu Hurairah RA bermaksud: “Anak nia (luar nikah) adalah terkutuk jika dia terus mengamalkan amalan kedua orang tuanya.” (al-hadis)

Thursday, March 4, 2010

Berita palsu gugat keharmonian

Oleh Mohd Feruz Abu Bakar


SULTAN Azlan Shah ketika melawat Masjid Ihsaniah Iskandariah, di Padang Rengas berikutan kesilapan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai masjid ini yang kononnya terbiar dan tidak dimanfaatkan, kelmarin. - Foto Bernama


Sultan Azlan Shah murka laporan media kerana cuba cetus isu, provokasi


KESILAPAN keterangan gambar mengenai Masjid Lama Kuala Dal yang mungkin dianggap kecil sesetengah pihak, diambil serius oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah hingga baginda mencemar duli melawat masjid itu di Kuala Kangsar, Isnin lalu.

Sultan Azlan Shah murka dengan laporan akhbar berbahasa Inggeris Isnin lalu kerana masjid bersejarah itu yang dikatakan terbiar reput sebenarnya sudah siap menjalani kerja pemuliharaan. Baginda bertitah, laporan itu boleh menimbulkan persepsi salah kepada masyarakat.

Tindakan baginda mempunyai asas kerana Islam adalah agama yang diberikan perlindungan undang-undang oleh Perlembagaan Negara. Islam diletakkan terus di bawah naungan kuasa Raja-Raja, manakala agama lain dibenar diamalkan dalam suasana aman tetapi tidak dibenarkan disebar atau diajar kepada umat Islam.

"Rakyat jangan sesekali cuba mencetuskan sesuatu isu dan provokasi yang boleh menggugat suasana harmoni yang sudah sedia terjalin antara pelbagai kaum dan agama. Perbuatan bersifat provokasi berpotensi menjejaskan perpaduan dan ketenteraman awam," titah baginda.

Baginda merujuk kepada Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan agama bagi negara ini adalah Islam tetapi Perkara 11 menegaskan setiap orang berhak mengamalkan agama tetapi tidak boleh menyebarkan fahamannya kepada penganut Islam.

Perkara 38 pula memberi kuasa kepada Majlis Raja-Raja mengenai hal agama. Kedudukan ini wajib difahami dan dihormati semua pihak. Perlembagaan Negara dirangka berasaskan asal-usul sejarah negara ini dan sudah diterima semua pihak yang mewakili pelbagai kaum dan agama.

Kegagalan menghormati asas persetujuan ini, boleh menimbulkan suasana tidak harmoni yang berkemungkinan mencetuskan persengketaan.

Ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Perak 1431 Hijrah, di Taiping, baru-baru ini, Sultan Azlan bertitah, Islam adalah agama yang paling benar di sisi Allah berasaskan firman yang terkandung dalam ayat 123 Surah Al-Baqarah yang bermaksud:

"Dan demikian itu kami jadikan kamu sekalian golongan umat pilihan, supaya menjadi saksi dan teladan bagi umat manusia seluruhnya; dan supaya Rasulullah juga menjadi saksi dan teladan bagi kamu sekalian."

Demikian janji Allah kepada umat Islam sebagai umat pilihan. Janji itu menuntut supaya umat Islam memenuhi bahagian mereka kepada Allah, supaya mereka dapat menjadi saksi dan teladan bagi umat manusia seluruhnya.

Baginda sudah menunaikan segala janji yang perlu diperlihatkan oleh seseorang hamba kepada Penciptanya, merangkumi aspek ibadat, amanah, pengorbanan, kesabaran, keimanan, kepemimpinan dan pelbagai aspek kehidupan termasuk dalam urusan berkeluarga, berumahtangga dan berjiran-tetangga.

Baginda mengamalkan contoh hidup mulia hingga perkataan dan tindakan baginda diterima sebagai sunnah yang dijadikan ikutan. Baginda berjaya memperlihat sebenar-benar teladan untuk disaksikan ummah.

Sultan Azlan bertitah, iman berperanan utama dalam membina kekuatan dan kemuliaan insan. Iman yang teguh akan dapat dibina jika umat Islam berpegang kukuh kepada ajaran Islam seperti dibuktikan oleh para sahabat dan umat Islam di era kegemilangan Islam.

"Peradaban dan tamadun Islam memuncak ketika bilangan umat Islam masih kecil. Namun, bilangan minoriti itu dapat mengatasi bilangan majoriti kerana umat Islam mengamalkan disiplin yang tinggi, memiliki fokus serta mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap Allah," titahnya.

Elemen disiplin, fokus dan keyakinan adalah penting. Umat yang mengamalkan disiplin dalam hidup akan menghargai waktu, memenuhi janji, bersifat amanah, ikhlas dan jujur. Kerja yang diberikan akan disempurnakan dalam waktu yang ditentukan. Bila berjanji, janji dikota, bila berhutang, hutang dibayar selain tidak mengamalkan amalan mungkar.

Sultan Azlan bertitah, umat Islam di negara ini wajib merenung dan bertanya, memeriksa dan menyelidik kekuatan diri sendiri jika mahu berdaya saing.

"Dibimbangi jika umat Islam yang terlalu mabuk dilambung gelombang politik kelompok, nasib masa depan umat Islam akan tergugat. Akibatnya, umat Islam akan kehilangan apa yang sudah menjadi hak kepada agama dan bangsanya di bumi ini," titahnya.

Tanggungjawab yang diberi dilaksanakan dengan penuh amanah lagi ikhlas dalam semangat menunaikan fardu kifayah, semata-mata atas nama Allah Yang Maha Esa. Mereka tidak berpura-pura, tidak bersifat lain di depan, lain di belakang. Mereka mempunyai kekuatan menegur yang salah dan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik.

Islam berjaya mencipta kegemilangan kerana umatnya memilih untuk bersatu walaupun mereka mewakili pelbagai bangsa dan suku kaum, pelbagai budaya dan bahasa dari pelbagai negara dan wilayah. Faktor penyatuan itu menjadi teras dan kunci, menjadikan mereka umat yang kuat lagi gagah, digeruni lagi dihormati. "Sudahkah umat Islam di negara ini berada dalam kedudukan yang boleh menjadi teladan kepada sekalian umat? Adakah umat Islam pada hari ini kukuh bersatu dalam mempertahan maruah dan kemuliaan agamanya jika cuba dipersenda oleh orang lain?

"Dibimbangi jika umat Islam yang terlalu mabuk dilambung gelombang politik kelompok, nasib masa depan umat Islam akan tergugat. Akibatnya, umat Islam akan kehilangan apa yang sudah menjadi hak kepada agama dan bangsanya di bumi ini," titahnya.

Bertepatan dengan tema 'Memantapkan Ukhuwah, Memperkasa Ummah', baginda mengingatkan umat Islam untuk menghayati mesej yang terkandung di sebalik tema itu. Ingatlah bahawa umat Islam adalah bersaudara dan binalah hubungan persaudaraan yang ikhlas sesama Islam supaya umat Islam menjadi lebih kuat dan dihormati.

Ubah perspektif elak wanita jadi mangsa kekejaman

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

KETIKA Hari Wanita disambut di seluruh dunia tidak lama lagi, negara masih tidak sepi daripada penganiayaan terhadap golongan ini yang dianggap sebagai lumrah kepada yang lemah. Walaupun Barat meraikan kemenangan wanita dengan mewujudkan Hari Wanita Sedunia sejak 1911, Islam terlebih dulu memulihkan status kaum hawa yang terhina kerana amalan jahiliah, hatta memberi hak kesamarataan dalam soal ibadah.

Ketika Barat merangka undang-undang yang menolak diskriminasi terhadap wanita, Islam sudah lama memuliakan mereka dalam jaminan yang terkandung dalam Al-Quran. Bahkan sejak 15 abad lalu, Al-Quran merakamkan nas yang qat'i yang menyamakan kedudukan antara lelaki dan wanita dalam menjalankan kewajipan insani berbanding Revolusi Perancis yang berlaku di penghujung abad ke-18 dengan deklarasi piagam hak asasi manusia yang jelas mendiskriminasi wanita.

Firman Allah dalam Surah Ali 'Imraan, ayat 195 bermaksud: "Sesungguhnya aku tidak mensia-siakan amal orang yang beramal di antara kamu, baik lelaki mahupun perempuan (kerana) sebahagian kamu adalah turunan dari sebahagian yang lain."

Dan Allah juga berfirman dalam Surah An-Nahl yang mafhumnya: "Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik. Dan sesungguhnya kami akan beri balasan kepada mereka dengan pahala lebih baik dari apa yang mereka kerjakan."

Wanita hari ini bukan seperti isteri yang dijual suami di Barat sebelum 1930-an, bukan juga seperti di Jazirah Arab di era jahiliah yang menjadi objek hinaan dan celaan serta punca keaiban keluarga. Malah wanita yang melahirkan bayi perempuan menanggung rasa bersalah yang tidak terhingga, begitu juga suaminya.

Sambutan Hari Wanita pada tahun ini pasti melonjakkan agenda pemerkasaan wanita seperti dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini. Tiada siapa berani menafikan, apatah lagi menidakkan rencana ke atas wanita kerana umum mengetahui kecemerlangan wanita hari ini tidak boleh diragui dan terbukti.

Hampir semua undang-undang sedia ada, khususnya Perlembagaan Persekutuan, mengiktiraf kesaksamaan gender dan menolak sebarang diskriminasi terhadap wanita, melainkan wujud beberapa peruntukan yang perlu dimurnikan agar konsisten dengan peruntukan undang-undang dalam Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskiminasi Terhadap Wanita (Konvensyen Wanita) dan prinsip syariah yang sebenar.

Sekiranya wanita dianggap sebagai khalayak yang mulia seperti makhluk Allah lain, sudah tentulah mereka tidak dianiaya semata-mata untuk memuaskan nafsu buas sehingga terpaksa mengandungkan anak dengan susah payah sembilan bulan lamanya.

Selepas itu, melahirkan dan membunuh zuriatnya sendiri kerana tidak sanggup ditohmah masyarakat. Cabaran kini ialah mengubah perspektif bahawa fizikal manusia ialah sama, maka tiada siapa menjadi mangsa kekejaman.

fizikal kepada sesiapa. Walaupun tidak mudah direalisasi, banyak hakikat membuktikan wanita perkasa kerana percaya mereka berupaya.

Wujud peruntukan undang-undang yang masih tidak bersifat adil terhadap wanita kerana memberi kesamarataan hak tanpa mengambil kira kesamarataan matlamat yang hendak dicapai. Wawasan, gagasan dan seruan negara direalisasikan melalui pelbagai suara agar wanita dihormati dan dipelihara, melindungi mereka dengan menyempurnakan tanggungjawab serta membahagiakan mereka, sama ada mereka seorang ibu, isteri, anak mahupun pekerja dan rakyat jelata.

Sungguhpun begitu, ia tidaklah begitu ketara menganiaya wanita berbanding amalan dalam budaya dan sosial masyarakat yang memandang wanita sebelah mata sekali gus menjadikan mereka mangsa jenayah seksual dan pembunuhan.

Ini adalah pembawaan jahiliah yang masih tidak berkurangan, malah hari ini kerana dizalimi juga, wanita sanggup membunuh anak yang baru lahir ke dunia kerana takut mendepani masyarakat akibat perbuatan berzina yang terang-terangan terbukti dengan kelahiran zuriat dari darah dagingnya, manakala si bapa haram pula hilang entah ke mana.

Sekiranya wanita dianggap sebagai khalayak yang mulia seperti makhluk Allah lain, sudah tentulah mereka tidak dianiaya semata-mata untuk memuaskan nafsu buas sehingga terpaksa mengandungkan anak dengan susah payah sembilan bulan lamanya. Selepas itu pula, melahirkan anak sendirian dan membunuh zuriatnya sendiri hanya kerana tidak sanggup menghadapi tohmah masyarakat.

Tambahan pula, teori konstruktif sosial meneguhkan kepercayaan bahawa wanita dan kanak-kanak adalah makhluk yang lemah, sedangkan tidak semua mereka lemah, begitu juga tidak semua lelaki kuat. Tetapi kerana masyarakat umum terbina dengan pengaruh sosial dan budaya begitu, maka realiti membenarkan bahawa wanita dan kanak-kanak adalah lemah dan boleh dibelasah.

Cabaran terkini ialah mengubah perspektif bahawa fizikal manusia ialah sama, maka tiada siapa yang akan menjadi mangsa kekejaman fizikal kepada sesiapa. Walaupun tidak mudah direalisasi, banyak hakikat membuktikan wanita perkasa kerana percaya mereka berupaya.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom.

Wednesday, March 3, 2010

Peguam Syarie Menulis: Perkahwinan campur tuntut toleransi pasangan, keluarga

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip


PERKAHWINAN berlainan agama tuntut pengorbanan dan komitmen daripada dua pihak. - Gambar hiasan


Asas agama jadi tiang seri kerukunan rumah tangga

KAHWIN campur bukan janggal di kalangan masyarakat Malaysia hari ini. Secara umumnya, masyarakat dapat menerima hakikat kahwin campur dapat memperkaya budaya dalam masyarakat serta mengukuhkan hubungan antara kaum.

Namun begitu, tidak kurang juga masyarakat berpendapat kahwin campur akan mengundang pelbagai masalah pada masa akan datang sehingga sampai ke tahap perceraian.

Soal hati dan jodoh, memang sukar dimengerti. Kalau sudah jodoh berkahwin dengan orang yang asalnya berlainan agama dan bangsa itu sudah suratan takdir.

Sebenarnya tidak ada nas yang menggalakkan berkahwin dengan pasangan berlainan bangsa. Cuma sesetengah fuqaha menggalakkan agar berkahwin dengan pasangan yang tidak ada hubungan kekeluargaan kerana melihat beberapa maslahah terutama aspek mengembangkan zuriat serta kesihatan sekiranya perkahwinan membabitkan saudara terdekat dibenarkan.

Justeru, walau tidak ada larangan syarak berkaitan perkahwinan sesama keluarga, ia menjadi suatu yang biasa dalam masyarakat hari ini. Jika kita lihat kepada sejarah Islam, Nabi Muhammad SAW pernah mengahwini sepupunya iaitu Zainab Jahsy. Selain itu, Baginda sendiri pernah mengahwinkan anaknya Fatimah dengan Syaidina Ali iaitu sepupu baginda.

Isu kahwin campur ini juga tidak diperuntukkan secara khusus di dalam undang-undang. Namun, peruntukan dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, misalnya, Seksyen 7 memperuntukkan bahawa setiap perkahwinan di Wilayah Persekutuan harus mengikut peruntukan di dalam akta dan diakadnikahkan menurut hukum syarak.

Seksyen ini memberi mahkamah bidang kuasa dalam mana-mana perkahwinan di Wilayah Persekutuan. Merujuk kepada Seksyen 10 (1) akta yang sama, peruntukan seksyen itu memperuntukkan bahawa 'tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam kecuali seorang Kitabiyah.'

Dalam mentafsirkan 'Kitabiyah' Seksyen 2 akta berkenaan menyatakan bahawa 'Kitabiyah' adalah seorang perempuan keturunan Bani Ya'qub atau seorang perempuan nasrani keturunan orang nasrani sebelum Nabi Muhammad menjadi Rasul atau seorang perempuan Yahudi keturunan orang Yahudi sebelum Nabi Isa menjadi Rasul.

Jika kita lihat senario hari ini, perkahwinan campur adalah satu tekanan besar terhadap pasangan serta keluarga masing-masing dan memerlukan sikap toleransi semua pihak yang terbabit, bukan hanya suami dan isteri berkenaan saja. Oleh itu, kahwin campur mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri.

Aspek agama misalnya mestilah mengatasi segala perkara. Bagi budaya, ia satu elemen yang mewarnai kehidupan pasangan kahwin campur. Perbezaan dari segi budaya, tradisi dan amalan keluarga pihak suami serta isteri sebenarnya akan menceriakan kehidupan, mengeratkan ikatan hubungan pasangan berkenaan dan anak-anak mereka.

Walaupun wujud beberapa halangan serta tentangan terhadap kahwin campur, tetap terselit keistimewaan bagi situasi itu. Pendedahan terhadap budaya dan amalan kaum lain akan membuatkan individu terbabit memahami dengan lebih baik kebudayaan dan tradisi orang lain.

Selain itu, anak hasil kahwin campur akan mendapat kebaikan daripada pendedahan terhadap budaya ini dan mereka boleh mahir dalam sekurang-kurangnya tiga atau empat bahasa termasuk bahasa ibunda ibu bapa serta juga bahasa Inggeris selain boleh menikmati pelbagai masakan kaum masing-masing.

Dari segi saintifik dikatakan bahawa perkahwinan campur ini akan melahirkan generasi yang lebih genius. Kahwin campur sebenarnya memberi satu sinar dan keceriaan bagi mereka yang bijak mengadaptasi kelebihan ini dalam rumah tangga dengan sentiasa cuba mempelajari dan mengenali amalan, budaya serta tabiat keluarga pasangan masing-masing.

Pemikiran akan lebih terbuka dan positif selain dapat menerima dan memahami adat resam masing-masing. Namun, apa yang paling penting dan menjadi keutamaan adalah asas agama kerana ia adalah tiang seri kepada kerukunan sebuah rumah tangga.

Allah menjadikan manusia pelbagai bangsa, rupa serta budaya yang berbeza namun pada hakikatnya agama saja yang boleh menyatukan mereka. Kegagalan daripada kahwin campur pula dapat dilihat sekiranya pasangan tidak dapat memahami dan bertolak ansur dalam semua perkara.

Jurang perbezaan yang begitu ketara terutama adat dan budaya menjadikan mereka tewas dalam melayari perkahwinan yang bahagia. Alam percintaan sebelum perkahwinan menjadikan pasangan dibuai mimpi indah tanpa memikirkan realiti selepas perkahwinan yang menuntut tanggungjawab lebih besar.

Segala kekurangan mahupun kegagalan dalam perkahwinan campur ini dapat diatasi apabila pasangan tahu apakah sebenarnya perkahwinan itu. Perkahwinan adalah satu perhubungan intim di antara dua individu (lelaki dan perempuan) yang bergelar suami dan isteri.

Ia bukan setakat hanya untuk menikmati kepuasan seksual, tetapi juga merangkumi melakukan aktiviti harian bersama serta berkongsi minat, kegemaran dan kepentingan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Iqra: Kaedah mendidik perspektif Rasulullah

# Judul: Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik
# Penulis: Razali Saaran
# Penerbit: Mustread Sdn Bhd
# Pengulas: Hasliza Hassan
# Harga: Semenanjung Malaysia (RM19.90) Sabah/Sarawak (RM22.90)

SEPANJANG bulan Rabiulawal bermula tanggal 12 Rabiulawal hingga penghujungnya, sambutan Maulidur Rasul memenuhi program anjuran surau, masjid, persatuan penduduk dan agensi agama sebagai manifestasi ingatan serta perasaan cinta terhadap Nabi Muhammad SAW.

Sebagai Rasul pilihan, sejarah kehidupan Baginda sentiasa menjadi inspirasi umat Islam dalam meningkatkan ketakwaan dan mencari kebahagiaan hidup di dunia serta akhirat.

Oleh itu, selain ceramah, seminar atau perbincangan dianjurkan untuk mengimbas sejarah hidup Baginda yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas, buku dihasilkan mengenai Muhammad bin Abdullah sewajarnya menjadi pilihan bacaan.

Buku Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik memfokuskan peranan guru sebagai pembimbing melalui penekanan terhadap akhlak guru ketika mengajar supaya dapat diterima seterusnya menjadi contoh kepada pelajar yang dibimbing.

Perkara dikupas penulis buku ini ialah kaedah digunakan Rasulullah SAW menyampaikan ilmu serta nasihat kepada sahabat seperti sesi soal jawab, bergurau senda, memberi nasihat dan cara meraikan pelajar.

Kaedah soal jawab diguna pakai Rasulullah ketika menyampaikan ilmu kepada sahabat dan interaksi antara guru dan pelajar mempunyai kesan positif memberi kefahaman serta percambahan idea berbanding kaedah satu hala.

Rasulullah juga sering meminta diulang soalan dan menjawab semula selain menggunakan pendekatan bergurau senda seperti dijelaskan melalui sunnah Baginda dalam buku Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik.

Perkembangan hari ini memberi cabaran kepada guru untuk mendidik menyebabkan guru memerlukan panduan yang dapat membantu menghadapi kerenah pelajar dan dalam masa sama menunaikan tanggungjawab sebagai guru.

Bagaimanapun, guru adalah insan terpilih seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang berilmu yang berusaha mencipta, orang yang mahu mengajarkan ilmunya akan didoakan oleh seluruh penghuni kerajaan langit." (Hadis riwayat Tirmizi)

Menariknya, buku ini cuba memahami profesion perguruan dengan melihat guru sebagai pendidik, pengurus, pemimpin, pemudah cara dan kaunselor.

Tujuannya, supaya guru dapat melihat serta menilai diri mereka daripada pandangan orang lain dan mengambil langkah proaktif ke arah memartabatkan profesion ini di mata masyarakat. Buku ini bukan saja sesuai untuk guru tetapi juga ibu bapa untuk membimbing anak.

Tuesday, March 2, 2010

Guna hadis palsu pinggir peranan wanita

Oleh Dr Juanda Jaya


WANITA di negara ini diberi peluang yang sama untuk membabitkan diri dalam semua bidang. - Gambar hiasan


Umat Islam disaran kaji secara mendalam ajaran agama elak diperguna golongan melampau


ORANG yang berjuang mahu meletakkan lelaki dan wanita pada satu kedudukan sama dalam semua perkara akan menghadapi tentangan daripada budaya dan adat manusia di sekeliling mereka. Hal ini berlaku sejak zaman berzaman.

Bagaimanapun janganlah sesetengah pihak menuduh agama Islam sebagai tidak adil kepada wanita kerana amalan budaya sesetengah masyarakat Muslim yang tidak memahami nilai Islam sebenar. Bahkan amalan meminggirkan wanita itu didakwa ada sandaran hadis tertentu yang menyuruh mengongkong wanita demi kepentingan lelaki rupa-rupanya hadis yang dibawakan itu adalah batil, palsu lagi menipu.

Di antara dalil palsu yang digunakan oleh sesetengah pihak ialah:

Rasulullah SAW bertanya kepada Fatimah: Apakah yang paling baik untuk wanita? Fatimah menjawab: Apabila wanita tidak melihat lelaki dan lelaki tidak melihatnya. Lalu baginda mencium Fatimah seraya bersabda: Sebahagian manusia adalah keturunan bagi sebahagian yang lain." Dr Yusuf Al-Qaradawi mengulas bahawa hadis ini sangat lemah nilaiannya dan tidak sepadan dengan harga tinta yang dipergunakan untuk menulisnya.

Hadis lain yang pula bertentangan dengan prinsip al-Quran seperti hadis palsu yang bermaksud: "Berbincanglah dengan mereka (perempuan) dan kemudian tentanglah pendapat mereka."

Padahal al-Quran menyuruh suami dan isteri berbincang mengenai kehidupan rumah tangga, daripada perkara kecil seperti menyapih anak hinggalah perkara besar. Sebagaimana ayat al-Quran yang bermaksud: Apabila keduanya ingin menyapih (sebelum usia anak dua tahun) dengan kerelaan mereka dan permusyawarahan, maka tiada dosa di antara mereka." � Surah Al-Baqarah ayat: 233

Rasulullah SAW juga bermusyawarah dan mengambil pandangan isterinya Ummu Salamah ketika peristiwa perjanjian Hudaibiyah. Bahkan yang lebih ekstrem lagi pernah dijadikan sandaran oleh mereka yang menentang hak wanita memiliki pendidikan sama taraf dengan lelaki seperti riwayat Al-Hakim dalam kitab al-Mustadrak suatu hadis yang bermaksud: "Dan janganlah kalian suruh wanita tinggal dalam kamar dan janganlah kalian ajarkan mereka menulis!". Hadis ini adalah palsu sebagaimana yang dikatakan oleh al-Hafiz al-Zahabi ketika mengulas riwayat hadis ini.

Mereka yang jahil ini mahu menjadikan kehidupan wanita bagai penjara, kerana itu wanita tidak diizinkan keluar rumah, pergi ke masjid dan bermuamalah dengan lelaki walaupun bercakap dengan bahasa yang santun. Di Pakistan, India dan Afghanistan bahkan di negara Arab, sebahagian perkahwinan wanita masih menjadi hak mutlak bapa dan saudara lelaki mereka untuk menentukannya.

Hukum adat masyarakat setempat juga amat menakutkan wanita, hukuman bunuh boleh dijatuhkan kepada wanita yang berkahwin lari dan bagi mangsa rogol amat menyedihkan kerana tiada siapa yang percayakan mereka, akhirnya mereka direjam sampai mati. Semua itu jelas pembohongan atas nama Islam, perlakuan tidak adil kepada wanita sama sekali bukan daripada ajaran kasih sayang dan keadilan yang diperjuangkan Rasulullah SAW.

Wujud tiga aliran yang menjuarai kedudukan wanita. Pertama, mereka yang mahu membebaskan wanita sebebas-bebasnya tanpa ikatan agama, adat dan budaya. Kedua, golongan yang ekstrem lagi jahil mahu menjaga kesucian wanita sehingga membawa kepada implikasi lain seperti kongkongan, penindasan, penjajahan maruah dan kezaliman. Yang ketiga, mereka yang mengajak kembali kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dan meletakkan wanita pada tempat yang sebaik-baiknya.

Salah faham umat Islam terhadap hadis Rasulullah SAW mengenai wanita cuba dijawab di dalam kitab Tahrirul Mar'ah fi 'Ashrir Risalah karangan Prof Dr Abdul Halim Abu Syuqqah. Beliau membawakan hadis sahih dengan menafsirkan secara adil maksud yang tersirat mengenai kasih sayang Rasulullah SAW kepada wanita.

Seperti hadis yang bermaksud: "Wahai wanita, aku tidak pernah melihat orang yang kurang akal dan agama mampu melumpuhkan hati seorang lelaki melebihi kamu. Mereka bertanya: Apakah kekurangan akal dan agama kami ya Rasulullah? Rasulullah bersabda: Bukankah persaksian wanita sama dengan setengah lelaki? Mereka menjawab: Benar. Rasulullah bersabda: Maka di situlah letak kekurangan akalnya. Bukankah wanita ketika haid tidak boleh solat dan puasa? Mereka menjawab: Benar. Rasulullah bersabda: Maka disitulah letak kekurangan agamanya."

Prof Dr Abdul Halim mengulas bahawa memahami makna hadis memerlukan kajian dan penelitian, sama ada dari segi bilakah masa diperkatakannya hadis itu dan kepada siapa ditujukan dan bentuk susunan bahasanya. Hal ini amat penting untuk mengetahui ia relevan atau tidak dengan karakter wanita.

Saat Rasulullah mengeluarkan fatwa ini mereka dalam keadaan bersuka ria di pagi hari raya pada Syawal, maknanya bentuk nasihat ini didasari dengan perasaan kegembiraan dan tiada mungkin kerana sebab kekecewaan Rasulullah SAW kepada sahabiyah ketika itu.

Rasulullah SAW bukan menghina dan menjatuhkan maruah mereka dengan menyebutkan kurang akal dan kurang agama tetapi Rasulullah mahu menyatakan kekaguman Baginda SAW kepada wanita yang boleh melemahkan hati lelaki. Perkara kurang akal dan agama ini sengaja diperbesar-besarkan oleh golongan yang melampau sehingga mereka terus menyalahkan Islam merendahkan martabat wanita.

Padahal isi sebenar hadis ini bukan pada penekanan 'kurang akal dan agama' tetapi justeru kepada kekaguman Rasulullah SAW terhadap wanita yang memiliki kebolehan melemahkan lelaki. Golongan yang ekstrem pula terus menjadikan dalil bahawa wanita haram berada di hadapan, menjadi ketua dan mempunyai kedudukan.

Lihatlah betapa mereka memesongkan hadis ini daripada nilai sebenar. Padahal isteri Baginda SAW adalah guru kepada sahabat yang menimba ilmu, berperang bersama lelaki, bermusyawarah meletakkan dasar politik dan pemerintahan di sisi Rasulullah SAW.

Di sinilah pentingnya kita mengkaji secara lebih mendalam lagi ajaran agama yang ditolak habis-habisan dan sesetengahnya diperguna oleh golongan yang melampau.

Penulis ialah Mufti Perlis yang kini menjadi Felo Tamu di Pusat Pengajian Islam, Universiti Oxford, United Kingdom

Amalan syura lebih dekat kebenaran

SABDA Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang hendak melakukan sesuatu urusan umat Islam hendaklah bermesyuarat nescaya Allah memberikan taufik bagi memperelokkan urusan mereka." - Hadis riwayat at-Tabrani

Dalam proses membuat keputusan, perkara asas ialah membuat perbincangan yang mengambil kira mengenai nilai, matlamat dan sumber untuk melaksanakan sesuatu tindakan.

Mengambil keputusan menerusi syura adalah lebih terjamin ketetapan dan kewajarannya. Ia berbeza daripada keputusan dibuat bersendirian di mana keputusan dibuat sering menimbulkan kesilapan dan sukar mendapat kerjasama ikhlas daripada mereka terbabit.

Amalan syura, kebenaran tidak diukur daripada suara ramai sebaliknya syura adalah interaksi pemikiran di kalangan ahli bagi menghasilkan sesuatu pendapat dan pandangan yang benar. Oleh itu dalam syura suara majoriti bukanlah mutlak, tetapi hujah berdasarkan ilmu yang menzahirkan sesuatu kebenaran.

Kebenaran mutlak datangnya daripada Allah. Jika manusia mengamalkan syura dalam lingkungan petunjuk Allah dan Rasul-Nya, menggunakan kaedah ditentukan Allah, keputusan mereka akan lebih hampir kepada kebenaran. Ia cukup selamat dijadikan landasan untuk bertindak dan beramal.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Monday, March 1, 2010

Budi, jasa baik Rasulullah dikenang

MENGENANG budi dan jasa baik Nabi Muhammad yang tidak putus-putus sekalipun Baginda sudah meninggal dunia dan berada di alam barzakh seperti sabda Baginda ada hadis lbn Mas'ud yang diriwayatkan oleh al-Bazzaar yang bermaksud: “Hidupku adalah kebaikan kepada kamu dan wafatku adalah kebaikan juga kepada kamu, kerana segala amal kamu sentiasa dibentangkan kepadaku, maka apa saja amal yang aku dapati baik, aku ucapkan: Alhamdulillah, dan apa saja amal kamu yang aku dapati jahat, aku memohon keampunan Allah untuk kamu.”

Merealisasikan Raja sebagai ketua agama

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

RAJA-Raja Melayu dalam Mesyuarat Majlis Raja Raja Melayu ke-220 lalu, begitu prihatin dengan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam bagi merujuk tuhan mereka. Raja-Raja Melayu juga dilaporkan memberi jaminan untuk memenuhi tanggungjawab melindungi status dan kesucian Islam sebagai agama negara tanpa mengetepikan hak dan kebebasan agama rakyat yang lain.

Raja-Raja Melayu selanjutnya menyarankan supaya kemelut penggunaan lafaz jalalah oleh penganut bukan Islam ini dapat diselesaikan segera. Ketetapan ini dikeluarkan hasil pelbagai permintaan, surat dan memorandum pertubuhan dan individu yang disampaikan kepada Sultan-Sultan selaku Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing.

Penzahiran rasa dukacita Raja-Raja Melayu dalam isu ini menunjukkan keprihatinan dan tanggungjawab mereka dalam menjalankan ‘tanggungjawab berperlembagaan’ baginda. Sudah tentu golongan eksekutif dan legislatif seharusnya mengambil maklum ketetapan yang diambil oleh Raja-Raja Melayu ini.

Segenap lapisan masyarakat sepatutnya tidak mempolitikkan isu ini atau terlalu gopoh untuk memberi pandangan tanpa memahami isu sebenar perkara ini. Jangan pula ada yang mendahului Raja-Raja Melayu dan mufti semata-mata kerana kepentingan peribadi. Jangan pula terperangkap dalam mainan dan percaturan golongan musuh agama yang hanya ingin mengganggu gugat kedudukan istimewa Islam di Malaysia.

Saya menzahirkan penuh kesyukuran dengan ketetapan ini dan menjunjung kasih kepada Raja-Raja Melayu kerana amat prihatin dalam isu penting sebegini. Sebenarnya, saya sendiri sudah menulis beberapa kali dalam ruangan ini mengenai peranan institusi Raja-Raja Melayu dalam mempertahankan Islam.

Menghormati Raja-Raja Melayu yang bukan saja menjadi ketua agama Islam malah simbol perpaduan dan ketua utama negara boleh menjadi faktor utama kejayaan bagi penyelesaian konflik berkaitan sensitiviti agama yang sedang hangat diperkatakan.

Menurut Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, Raja-Raja adalah ketua agama Islam bagi negeri masing-masing manakala Yang di-Pertuan Agong ialah ketua agama Islam bagi negeri baginda, negeri yang tidak mempunyai Raja dan Wilayah-Wilayah Persekutuan. Malah peruntukan sama wujud dalam perlembagaan negeri yang memberikan kesan sama.

Menelusuri sejarah, kita akan dapati kedudukan Raja sebagai ketua agama Islam sudah wujud sebelum zaman penjajah. Ia bukan suatu ciptaan Britain melalui Suruhanjaya Reid. Perlembagaan Persekutuan hanya memberi keabsahan kepada susun atur yang sudah lama tersemat di dalam masyarakat ketika itu. Ia sudah menjadi tradisi dan amalan yang diterima berkurun lamanya.

Peruntukan itu sudah wujud dalam sesetengah perlembagaan negeri sebelum kedatangan Inggeris lagi dan kedudukan ini tidak pernah dicabar atau diganggu Inggeris. Kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam adalah jatidiri bagi negara kita. Ia adalah hak, kuasa dan tanggungjawab yang diberikan perlembagaan.

Pengiktirafan perlembagaan ini mempunyai kesan besar dan mendalam di mana Raja-Raja Melayu harus jadi rujukan dan diterima dalam mendepani isu berkaitan agama Islam. Ketua Agama yang diiktiraf perlembagaan perlu diberi ruang untuk didengar dan dipatuhi dalam apa juga keadaan berkaitan agama Islam.

Sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dalam Jadual 4 Perlembagaan meletakkan tanggungjawab perlembagaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga dan mempertahankan kedudukan Islam. Oleh itu, titah Yang di-Pertuan Agong perlu didukung dalam isu berkaitan agama Islam. Jika sebaliknya, jawatan Ketua Agama Islam dan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong itu hanya peruntukan perlembagaan yang sia-sia.

Hal sebegini tidak harus terjadi kerana perlembagaan bukan dokumen yang sia-sia dan kaku. Seluruh peruntukan perlembagaan mempunyai firasat dan nafas tertentu. Perlembagaan Persekutuan itu ‘hidup’ dan perlu diberi tafsiran sesuai dengan sifatnya yang ‘hidup’.

Hak, kuasa dan tanggungjawab Raja sebagai Ketua Agama Islam tidak berapa terserlah penguasaannya. Ini mungkin menjadi antara punca kepada kurangnya sensitiviti sesetengah pihak. Oleh itu, sudah tiba masa bagi semua golongan termasuk Raja-Raja dan rakyat menyedari peri penting hak, kuasa dan tanggungjawab yang mesti didukung ketua agama.

Mungkin ketika Islam dalam kontroversi seperti ini kuasa ketua agama amat diperlukan untuk keutuhan Islam dan juga keharmonian agama dan bangsa di negara ini. Merosakkan agama dominan akan menyebabkan kerosakan kepada seluruh tamadun.

Sebenarnya, dalam urusan agama Islam, perlembagaan memberi ruang kepada Raja membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada jemaah menteri. Oleh itu, isu Raja berperlembagaan dalam konteks hak, kuasa dan tanggungjawab baginda sebagai ketua agama adalah tidak begitu relevan. Sekiranya relevan, ia hanya berkisar dalam polemik kuasa Raja terbatas oleh perlembagaan kerana perlembagaan yang mengiktiraf kuasa berkenaan.

Namun, perlu diambil perhatian bahawa kuasa Raja berkaitan agama Islam adalah konklusif. Sekiranya tidak, baginda tidak dapat memelihara Islam seperti dimaksudkan dalam sumpah jawatan. Keadaan ini memberikan Raja satu posisi selesa sebagai ketua agama.

Berbalik kepada ketetapan dikeluarkan Majlis Raja-Raja itu, sudah pasti ia mempunyai nilai dari sisi undang-undang dan bukan sia-sia saja. Oleh itu, semua pihak perlu mendukung dan mengambil perhatian kepada ketetapan berkenaan.

Sudah tiba masa Malaysia merealisasikan kedudukan Raja sebagai ketua agama. Ia adalah konvensyen perlembagaan kerana pengiktirafan yang sudah diberikan sekian lama. Dalam prinsip undang-undang perlembagaan, walaupun konvensyen tidak mempunyai kesan perundangan, tetapi boleh dijadikan sumber kepada tafsiran Perlembagaan Persekutuan. Walau apapun keadaannya, kedudukan istimewa Islam di Malaysia wajib dipertahankan selaras dengan sumpah Yang di-Pertuan Agong itu.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui: zainul.rijal@abubakar.my

Sunday, February 28, 2010

Ulul Albab: Rasulullah inspirasi utama tempa kejayaan

Abdurrahman Haqqi

Kepemimpinan terdahulu wajar dijadikan contoh untuk memangkin keunggulan Islam

ALLAH SWT berfirman maksudnya: "Nabi Muhammad ialah Rasul Allah dan orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang salih) ada pada muka mereka - daripada kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang disebut dalam Kitab Taurat, dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dantunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengagumkan orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat Nabi Muhammad dan pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Dia hendak menjadikan orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang yang beriman dan beramal salih daripada mereka, keampunan dan pahala yang besar." (Surah al-Fath: 29)

Ayat yang menyifatkan perihal keadaan Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda di atas datang sesudah ayat yang menyatakan maksudnya: "(Allah yang menyatakan kebenaran itu) Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain, dan cukuplah Allah menjadi Saksi (mengenai kebenaran apa yang dibawa oleh Rasul-Nya itu). (Surah al-Fath: 28)

Ketika memberi komentar kalimat 'supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain', Sheikh Abdullah Basmeih dalam Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menulis: "Apa yang dijanjikan oleh Allah Taala mengenai kejayaan agama Islam mengatasi agama yang lain telah ternyata kebenarannya kerana hanya dalam masa yang singkat saja Islam telah tersebar di merata-rata dunia dan telah menyebabkan umat Islam mencapai zaman yang keemasan, manakala ilmu pengetahuan Islam pula memberikan sumbangan yang besar dalam pembentukan tamadun dunia.

Agama Islam masih berjaya mengatasi agama lain sekalipun sesudah susutnya kuasa politiknya daripada sebahagian besar daerah yang telah dikuasainya �terutama di benua Eropah - dan sesudah susutnya kekuatan umatnya di seluruh dunia berbanding dengan kekuatan umat lain zaman sekarang yang telah muncul di timur dan di barat.

Ya! Agama Islam - menurut keadaannya sebagai agama - masih dan tetap berjaya mengatasi agama yang lain kerana bawaannya sesuai dengan tabiat semula jadi manusia dan undang-undang alam, serta dapat memberikan apa yang diperlukan oleh roh dan akal, dan apa yang diperlukan oleh pembangunan dan kemajuan, juga apa yang diperlukan oleh pelbagai masyarakat daripada segala lapisan."

Nabi Muhammad SAW dan sahabat Baginda adalah pangkal permulaan sebaik-baik umat yang telah dikeluarkan oleh perut bumi sepanjang sejarahnya menerusi kesaksian ayat 110 Surah Ali Imran kemudian ia ditegaskan Nabi dengan sabdanya yang diriwayatkan Imam Muslim bermaksud: "Sesungguhnya orang yang terbaik di antara kamu ialah yang hidup pada zaman kurunku (sahabat), kemudian orang yang hidup sesudah kurunku (tabi'in), kemudian orang yang hidup sesudah mereka (tabi' al-tabi'in), kemudian orang yang hidup sesudah mereka." Nabi Muhammad SAW dan sahabat Baginda ra telah memenuhi kriteria suatu umat manusia yang ideal seperti yang dikehendaki Allah SWT sehingga mereka layak untuk mendapat pujian. Umat ideal itu adalah umat yang cinta Allah, bersifat lemah lembut sesama umat beriman, bersifat tegas gagah terhadap orang kafir, berjuang di jalan Allah dan pemberani. Al-Quran menjelaskan maksudnya: "Wahai orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah daripada agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah lembut terhadap orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi Pengetahuan-Nya." (Surah al-Maidah: 54)

Dakwah Islamiah telah pun melahirkan satu generasi manusia, generasi sahabat Rasulullah SAW iaitu suatu generasi yang paling istimewa di dalam sejarah Islam dan di dalam sejarah kemanusiaan seluruhnya. Generasi itu tidak pernah muncul dan timbul lagi sesudah itu, walaupun terdapat juga beberapa peribadi dan tokoh tertentu di sepanjang sejarah, tetapi tidaklah lahir lagi segolongan besar manusia, di satu tempat yang tertentu pula, seperti yang telah muncul dan timbul di dalam peringkat pertama daripada penghidupan dakwah ini.

Ini adalah satu fakta dan kenyataan yang terang dan memanglah telah berlaku, mempunyai maksud tertentu yang perlu kita perhatikan dan sayugia kita merenungnya bersungguh-sungguh, agar dapat kita menyelami rahsianya.

Al-Quran yang menjadi sumber dakwah ini masih berada bersama-sama kita. Hadis Rasulullah SAW dan petunjuk-petunjuk daripada perjalanan hidup dan sirahnya yang mulia itu juga masih ada di samping kita seperti juga kedua-duanya telah ada bersama-sama dengan generasi yang terdahulu itu, tidak jejas oleh perjalanan sejarah dan tidak lapuk oleh perkembangan zaman; hanya diri peribadi Rasulullah SAW saja yang telah tiada lagi bersama-sama kita sekarang.

Nabi Muhammad SAW dan sahabat Baginda adalah contoh masyarakat cemerlang yang mengkedepankan keharmonian, perpaduan dan persaudaraan.

Masyarakat yang tersebar di antara mereka satu ajaran Nabi yang bermaksud: "Allah Azza wajalla mewajibkan tujuh hak kepada seorang mukmin terhadap mukmin lainnya, iaitu melihat saudara seimannya dengan rasa hormat dalam pandangan matanya; mencintainya di dalam hatinya; menolong dengan hartanya; tidak menggunjingnya atau mendengar penggunjingan terhadap kawannya; menjenguknya bila sakit; melawat jenazahnya dan tidak menyebut kecuali kebaikannya sesudah dia wafat." (Hadis riwayat Ibnu Babawih)

Sebagai generasi penerus yang ingin menempah kejayaannya masa kini dalam menjunjung tinggi agama Islam, sudah semestinya kita mencontohi generasi utama pendahulu kita. Imam Malik pernah berkata bahawa sesuatu umat tidak akan berhasil menempah kejayaannya kecuali dengan cara yang dilakukan oleh generasi awal dalam menempah kejayaan yang sama. La yasluh qaumun illa bima saluha bihi al-awwalun, ujarnya yang menjadi ristaan sejarah Islam, sedangkan Syed Qutb menyebutkan punca kejayaan generasi terdahulu adalah "sumber pokok yang diceduk oleh generasi pertama itu ialah al-Quran, hanya al-Quran saja. Hadis Rasulullah SAW dan petunjuk beliau adalah semata-mata adalah pentafsiran kepada sumber utama itu."

Akhirnya, sempena Maulidurrasul ke-1484 tahun ini kita semakin yakin bahawa sifat keteladanan Nabi Muhammad SAW dan sahabat Baginda yang digambarkan oleh al-Quran adalah satu inspirasi utama untuk kembali menempah kejayaan umat Islam. Allahumma salli ala Muhammad wa'ala alihi wasahbihi wasallam.

Persoalan Agama: Boleh jamak, qasar selagi tidak bermukim

Keringanan dalam ibadat mudahkan musafir selesaikan urusan tanpa tinggalkan solat

SAYA ingin tahu berapa hari seseorang musafir itu boleh mendirikan solat jamak dan qasar jika tempoh mendirikan solat jamak dan qasar sudah tamat sedangkan tugas atau urusan seseorang musafir belum selesai? Adakah solat lain yang boleh didirikan untuk meringankan seseorang musafir supaya solatnya tidak tertinggal walaupun padat dengan jadual tugas atau urusannya.

Ingin Tahu,
Sandakan.

MUSAFIR adalah mereka yang berjalan jauh melebihi dua marhalah (lebih kurang 92 kilometer) dengan tujuan dan matlamat yang baik. Tidak dibolehkan qasar dan jamak solat sekiranya musafir bagi tujuan maksiat dan dosa seperti musafir untuk merompak dan sebagainya. Seorang musafir hendaklah melepasi kampung halaman, bandar atau pun kotanya, maka di sana boleh dimulakan solat qasar dan jamak.

Berhubung rukhsuh (keringanan) solat ketika musafir ini, Allah SWT berfirman, "Dan apabila kamu merantau di muka bumi, maka tidak menjadi kesalahan ke atas kamu mengqasarkan (memendekkan) solat. (Surah al-Nisa' ayat: 101)

Fuqaha' sepakat orang yang berada dalam musafir boleh qasar solatnya sehingga ia melaksanakan keperluannya dan kembali semula ke negaranya, asal saja beliau tidak berniat untuk bermukim di tempat yang dituju walaupun berada dalam tempoh musafir itu beberapa bulan lamanya. Umpamanya, dia menunggu untuk melaksanakan keperluannya sambil berkata kepada dirinya, "esok aku akan musafir." Walau bagaimanapun pada keesokan hari, urusannya masih belum selesai.

Jika dia berniat untuk bermukim (menetap) selama beberapa hari, fuqaha' berselisih pendapat mengenai bilangan hari yang boleh diqasar solat. Bagi fuqaha' Hanafi mereka berpendapat tidak boleh diqasarkan solat jika seseorang berniat untuk bermukim selama 18 hari ke atas kerana berdasarkan ucapan Ibn Abbas dan Ibn Umar: "Apabila anda tiba di sebuah negara dalam keadaan anda bermusafir dan anda berniat untuk bermukim selama 15 malam, maka sempurnakan solat anda, tetapi jika anda tidak mengetahui bila anda akan musafir meninggalkan negara itu, anda boleh qasar solat anda." Hadis ini dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi.

Fuqaha' as-Syafie berpendapat tidak boleh diqasarkan solat, jika seseorang berniat untuk bermukim (menetap) selama 18 hari berdasarkan hadis Imran bin Husain yang berkata: "Aku musafir bersama Rasulullah SAW. Aku juga terbabit dengan Baginda SAW semasa pembukaan Makkah. Baginda SAW bermukim di Makkah selama 18 malam. Baginda tidak bersolat kecuali dua rakaat saja. Baginda SAW bersabda (yang bermaksud): "Wahai penduduk Makkah, solatlah kamu sekalian sebanyak empat rakaat, kerana kami adalah kaum yang musafir." Hadis ini dikeluarkan oleh as-Syafie secara panjang lebar dan juga Abu Daud.

Bagi Fuqaha' Maliki dan sesetengah fuqaha' Hambali, tidak boleh mengqasarkan solat, jika seseorang itu berniat untuk bermukim di suatu tempat melebihi empat hari kerana berpegang dengan pendapat Said bin al-Musayyab, "Sesiapa yang meniatkan untuk bermukim selama empat malam dalam keadaan ia musafir maka hendaklah disempurnakan solatnya." Hadis dikeluarkan oleh Imam Malik.

Menurut Ibn Munzir dalam suatu penyelidikannya, kalangan ahli ilmu sudah ijmak (sepakat), seorang musafir dibolehkan qasar solatnya, selama ia tidak bermaksud untuk terus bermukim atau menetap di tempat yang hendak dituju, walaupun membabitkan masa bertahun-tahun lamanya.

Menurut jumhur al-Ulamak, tempat yang boleh dimulakan qasarkan solat ialah selepas melepasi rumah di satu-satu kawasan perkampungan orang yang hendak bermusafir itu sendiri dan tidak boleh menyempurnakan solatnya (solat tamam) kecuali selepas melepasi rumah pertama di kampungnya apabila kembali daripada musafirnya. Menurut Ibn Munzir, "saya tidak mengetahui Nabi SAW ada qasar solatnya dalam tempoh musafir kecuali selepas keluar dari Madinah." Wallahua'lam.

Persoalan Agama: Bakal pengantin berhak lihat pasangan sebelum kahwin

APAKAH boleh seorang pemuda itu melihat gadis sebelum meminangnya.

Johari,
Klang, Selangor

KALAU kita lihat di negara barat, lelaki bukan saja boleh melihat si gadis yang hendak dipinang tetapi lebih dari itu ia boleh bawa gadis itu ke sana dan ke mari, ke pesta atas alasan untuk menguji. Pada satu pihak tradisional pula, mereka mengharamkan lelaki melihat wanita yang hendak dipinang itu. Mereka melarang kedua-duanya saling berpandangan sehinggalah tiba saat dikahwinkan.

Sesungguhnya kedua-dua sikap tersebut adalah tercela. Yang benar adalah pendapat pertengahan daripada kedua-dua pendapat berkenaan seperti yang diajar syarak dan diperintahkan oleh Nabi SAW, iaitu agar lelaki hendaklah melihat wanita yang hendak dilamar sebagai mana dalam sebuah hadis yang bermaksud "Pernah seorang lelaki datang kepada Baginda SAW seraya berkata, "Saya telah meminang seorang perempuan Ansar." Lalu Nabi SAW bertanya, "Apakah engkau telah melihatnya?" Dia menjawab, "Belum." Baginda SAW menjawab, " Pergilah engkau melihatnya, kerana pada mata orang-orang Ansar itu (biasanya) ada sesuatu (cacat). (Riwayat an-Nasa'I no.3247).

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi iaitu al-Mughirah bin Syu'bah pernah meminta izin atau memberitahu kepada Nabi SAW bahawa dia hendak meminang seorang wanita, lalu Nabi SAW bertanya, "Adakah engkau sudah melihatnya?" Dia menjawab, "Belum." Kemudian Baginda SAW bersabda, "Lihatlah dia, kerana yang demikian itu lebih menjamin untuk melangsungkan hubungan kamu berdua." (Riwayat al-Tirmizi no.1087).

Ertinya dengan mengikut cara yang dianjurkan dalam hadis, kelak akan terbinalah kerukunan, keharmonian dan keserasian di antara keduanya (suami dan isteri). Ini adalah perintah daripada Nabi SAW. Sabda Baginda lagi, "Apabila salah seorang di antara kamu meminang seorang wanita dan mahu mengahwininya, maka hendaklah ia melihat sebahagian dari apa yang dapat mendorongnya untuk mengahwininya." (Riwayat Abu Daud no.2084)

Daripada hadis di atas, dapatlah kita ketahui bahawa lelaki yang mahu meminang berhak, bahkan harus melihat wanita yang akan dipinang itu dan keluarga si wanita itu hendaklah memberi kemudahan kepadanya untuk melakukannya, sehingga ia (si lelaki) dapat melihat si wanita dan si wanita dapat melihat lelaki tersebut. Seterusnya wanita berhak untuk menerima atau menolak pinangan tersebut. Justeru, kedua-dua belah pihak perlu saling melihat satu sama lain sebelum melaksanakan perkahwinan. Dengan cara itu, kehidupan rumah tangga dapat dibina di atas tapak yang kukuh dan tiang yang kuat.

Boleh juga lelaki melihat wanita yang akan dipinang itu tanpa pengetahuan wanita dan keluarganya, kerana pengetahuan keluarga dan wanita itu bukanlah syarat. Ia juga supaya si wanita tidak tersinggung perasaannya. Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah, bahawa beliau bercerita mengenai isterinya selepas dikahwininya. Katanya, "Sesungguhnya saya dulu bersembunyi di bawah pohon untuk melihatnya, sehingga saya dapat melihat sebahagian dari sesuatu yang dapat mendorong saya untuk mengahwininya."

Saturday, February 27, 2010

Sentiasa bersyukur digandakan nikmat

Oleh Amran Zakaria

Umat Islam perlu menghargai, beri balasan ikut kemampuan bagi setiap sumbangan diterima

BERSYUKUR dan berterima kasih adalah manifestasi perasaan diluahkan manusia sebagai kemuncak menghargai sesuatu diterima. Disebut juga sebagai tasyukur yang membawa maksud berterima kasih yakni berterima kasih kepada Allah atas segala nikmat yang dikurniakan.

Kedua-duanya adalah sifat yang bergerak dari dalam perasaan secara semula jadi. Biasanya anjakan perasaan itu mengiringi rasa nikmat diperoleh seseorang berkaitan dengan kepuasan hati dan perasaan diterjemahkan dengan ungkapan puji-pujian tanda penghargaan.

Ingatlah, Allah mengurniakan nikmat kepada seluruh makhluk-Nya semata-mata untuk disyukuri, bukan untuk dikhianati. Sesungguhnya Allah pemberi nikmat sebenar yang menjanjikan tambahan nikmat kepada mereka yang bersyukur dan azab seksa amat pedih bagi mereka yang kufur.

Allah berfirman bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: 'Demi sesungguhnya. Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Surah Ibrahim, ayat 7).

Luahan rasa syukur seseorang itu sebenarnya dapat dirungkai melalui tiga dimensi, iaitu mengetahui akan nikmat, menerima nikmat dan memuji akan pemberi nikmat. Pertama, mengetahui nikmat bererti seseorang itu tahu akan kehadiran nikmat itu dalam dirinya bersaksikan fikiran yang memperakui.

Kedua, menerima dan merasai akan nikmat itu dengan perasaan yang terlalu sukacita bila mana hati dan perasaannya dalam suasana mekar. Ketiga, memuji kepada pemberi nikmat melalui rangsangan hati yang diluahkan sebagai tanda kesyukuran melalui ungkapan puji-pujian.

Orang yang bersyukur kepada Allah akan memperbanyakkan ucapan syukur dan terima kasih kepada-Nya. Mereka akan mengerjakan ketaatan kepada Allah dan akan membesarkan nikmat yang diterima dengan penuh kesyukuran dan puji-pujian. Sesungguhnya bersyukur kepada Allah adalah wajib dan amat dituntut.

Adapun bersyukur kepada Allah menjadi pengakuan insan mengesahkan semua nikmat yang dikecapi adalah pemberian Allah kepada makhluknya atas sifat Allah yang Maha Kaya, Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Penyantun. Lawan perkataan syukur nikmat adalah kufur nikmat iaitu mengingkari secara nyata atau tersembunyi segala kenikmatan diterima bukannya pemberian Allah.

Oleh itu, ternyata kufur nikmat berpotensi ke arah merosak dan mencederakan keimanan seseorang. Berterima kasih kepada sesama manusia lebih cenderung menunjukkan perasaan senang untuk menghargai atas pertolongan dan sumbangan yang diberikan, sama ada melalui pemikiran, tenaga dan wang ringgit yang dijelmakan dalam pelbagai nama.

Lafaz kesyukuran dan ungkapan terima kasih sebenarnya tidak perlu dipaksa kepada penutur untuk menuturkannya. Ia bersifat semula jadi dengan jiwa dan fitrah murni manusia.

Selama mana fitrah ini tidak dirosakkan anasir riak, bongkak, angkuh dan sombong pastinya lafaz berterima kasih akan menguntum kepada setiap manusia kepada insan lain yang menabur jasa dan budi kepadanya.

Dalam menjalani kehidupan harian, Allah menjadikan manusia untuk sentiasa saling berhubung, bekerjasama, bantu membantu dan berjasa sesama mereka. Justeru, sifat berterima kasih kepada orang yang berjasa perlu ada kepada diri seorang insan sebagai memenuhi tuntutan syarak.

Daripada sifat berterima kasih ini akan menjalar subur kepada perasaan kasih sayang dan kemesraan sesama masyarakat. Namun apabila perasaan ini hilang atau tiada langsung kepada diri manusia akibat rasa kebencian yang membuak, pastinya mengundang pelbagai tohmahan dan cacian memanjang hingga berakhir dengan perpecahan.

Kurniaan dan nikmat Allah tidak terbatas banyaknya termasuklah nikmat Islam, kehidupan, kesihatan, kecerdasan, pancaindera, keharmonian dan keamanan, segar dan nyaman, ilmu, akal, iman, pangkat, jawatan, kawan, tidur dan lain-lain yang tidak terhitung banyaknya.

Mereka yang tidak menghayati semua nikmat yang mereka terima, nescaya orang seperti ini termasuk dalam golongan yang ingkar. Mereka dengan sombong dan angkuhnya mengingkari nikmat dikurniakan Allah yang memberi petanda kerugian kepadanya.

Kurnia itulah yang disampaikan Allah sebagai berita gembira kepada hamba-Nya yang beriman dan mengerjakan kebaikan. Firman Allah yang bermaksud: "Aku tidak meminta upah kepadamu atas seruanku ini, kecuali hanya kasih sayang dalam kekeluargaan. Siapa yang mengerjakan kebaikan, kami lipat gandakan kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Penilai." (Ash-Syura : 23)

Rasulullah SAW menjadikan sikap berterima kasih sesama manusia ini sebagai tanda seorang itu bersyukur kepada Allah.

Soalnya sekarang bagaimana cara dan kaedahnya untuk menyalurkan perasaan terima kasih kita kepada manusia. Dalam hal ini Rasulullah menunjuk ajar cara terbaik untuk diikuti seperti mana sabda Baginda yang bermaksud: "Barang siapa yang melakukan kebaikan kepadamu, maka balaslah dia, jika kamu tidak dapati apa-apa untuk membalas, maka berdoalah untuknya hingga kamu dapati bahawa kamu membalasnya." (Riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i)

Sebenarnya, membalas jasa orang yang pernah membantu kita adalah tanda sikap terima kasih, demikian juga mendoakan dengan ikhlas kebaikan untuknya. Di samping itu turut disaran supaya kita menyatakan penghargaan atas sumbangan diberikan.

Kita juga dengan penuh ikhlas dan sedaya upaya perlu mengiktiraf bantuan yang diterima walaupun cuma sedikit, apatah lagi bantuan yang diberi itu terlalu besar maknanya kepada kita dan keluarga.

Ingatan bagi pelupa: Sifat hikmat tidak perlu berlebihan

HIKMAT ertinya bijaksana, iaitu keutamaan diberikan Allah kepada manusia supaya dapat mengendalikan syahwatnya dan kemarahannya, jangan sampai memesongkan. Ahli hikmat dinamakan seorang hakim atau kata jamaknya hukama.

Lukman digelar Al-Hakim kerana banyak mengajarkan sifat hikmat itu kepada anaknya untuk mengendalikan akal budi. Sifat hikmat perlu di pertengahan, tidak terlalu ke atas hingga melebihi daripada sepatutnya dan jangan terlalu kurang supaya tidak mendatangkan kerugian.

Hikmat yang berlebihan tidak dinamakan hikmat tetapi cerdik buruk. Cerdiknya tidak memberi manfaat, tetapi merugikan orang lain kerana mana yang tunduk ditekan, mana yang tinggi dipanjat. Cerdik buruk berisi senyum tetapi dalam senyum tersimpan perasaan dengki.

Mulut keluar perkataan manis, laksana bubur bercampur santan dan gula tetapi tersimpan racun yang mematikan.

Orang bodoh tidak ada hikmatnya kerana fikirannya tidak lebih daripada barang yang ada di mukanya.

Dia tidak mengerti akibat. Jika datang seorang penipu menepuk, memberinya sebatang rokok dengan kertas untuk ditandatangani, dia tidak keberatan menandatangani kertas itu.

Bodoh adalah penyakit berpunca daripada tabiat atau keturunan yang sukar disembuhkan. Namun, ada yang kata boleh disembuhkan jika ditimpa penyakit lain. Bagi yang bodoh disebabkan kurang pendidikan, boleh diatasi dengan pembelajaran.

Ada juga penyakit pada orang pintar, tetapi tidak tahu harga diri, tiada perasaan malu dan kurang darjat. Orang gila dapat dikenal daripada kelakuannya dan orang bodoh dapat dikenal daripada aksi dan tutur katanya.

Anugerah Maulidur Rasul rangsang semangat

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


PELAJAR dan guru Sekolah Rendah Islam Kafa Masjid Az -Zubair Ibnul Awwam bergambar selepas diumumkan johan pertandingan perarakan Kategori Sekolah dan IPTA pada Sambutan Maulidur Rasul di Putrajaya, semalam.


Kerajaan beri penghormatan individu cemerlang beri manfaat untuk negara

"TIDAK terjangkau tinggi pekertimu, tidak tergambar indahnya akhlakmu, tidak terbatas segala jasamu, sesungguhnya engkau Rasul pilihan. Cekalnya hatimu menempuh dugaan, mengajar erti kesabaran, menjulang tinggi kemenangan, terpahat namamu di dalam al-Quran."

Bait indah dendangan lagu nasyid menggambarkan keperibadian serta kelebihan Nabi Muhammad SAW yang menjadi contoh sepanjang zaman sememangnya menimbulkan kekaguman dan pada masa sama, melahirkan rasa takut.

Mungkin itu yang cuba diluahkan pemenang Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431 Hijrah/2010 Masihi, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, ketika dikelilingi media yang ingin mendapatkan maklum balas beliau pada Majlis Sambutan Maulidur rasul Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya, semalam.

Selain rasa malu atas anugerah diterima itu, Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu melahirkan rasa takut jika pengiktirafan diterima tidak setimpal khidmat disumbangkan.

"Nabi Muhammad sebagai individu sudah meninggalkan kita tetapi Baginda sebagai misi dan visi terus hidup. Apabila saya diberi anugerah Maulidur Rasul ini, saya tertanya sama ada mampu bawa masyarakat kepada misi dan visi sebenar.

"Ini buat saya rasa kecil dan takut soal pengiktirafan yang belum tentu dapat saya sempurnakan. Lagipun, masih ramai yang berwibawa dan banyak menabur bakti di luar sana tidak ditonjolkan. Saya rasa malu, takut anugerah ini tidak tepat dengan realiti," katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau tetap bersyukur, gembira dan rasa berkewajipan menerima pengiktirafan berkenaan selain berharap untuk terus berbakti kepada masyarakat dengan memberi pandangan yang boleh diterima serta sesuai mengikut keperluan masyarakat.

Anugerah disampaikan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Anugerah Perdana Maulidur Rasul mula diperkenalkan tahun lalu dan penerima anugerah menerima wang tunai RM50,000, sebuah plak, sijil dan hadiah iringan. Penerima pertama anugerah ini ialah Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Sidek Baba.

Anugerah Maulidur Rasul mula diperkenalkan pada 1413 Hijrah (1992 masihi) dan pencalonan terbuka kepada lelaki serta perempuan Islam dan bukan Islam yang terbabit dalam tugas serta perkhidmatan mencabar, berisiko tinggi, kritikal yang memberi kebaikan kepada rakyat dan negara. Penerima menerima hadiah wang tunai RM22,000 berserta hadiah iringan.

Penerima kali ini ialah bekas Pengarah Kesihatan yang aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan, Datuk Dr Abdul Razak Kechik; pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 yang mendapat 21A dan kini sedang melanjutkan pengajian di Jordan, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamel; Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd, Faiza Bayumi Syed Ahmad; pendakwah dan penceramah bebas, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz.

Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Yaacob Che Man dan satu-satunya penerima bukan Islam, Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Padi dan Tanaman Industri Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Tan Swee Lian.

Dr Tan berkata, pengiktirafan diterima hasil kerjanya di Mardi selama lebih 30 tahun itu diharap menjadi pendorong kepada penyelidik muda untuk menghasilkan penyelidikan yang membawa faedah kepada masyarakat serta negara.

Beliau yang berjaya mendapat hak milik intelektual bagi lima jenis ubi kayu dan empat jenis ubi keledek mengakui semangat 1Malaysia membolehkan rakyat mendapat pengiktirafan hasil sumbangan mereka serta menjadi pendorong kepada orang lain menyumbang untuk negara.

"Saya tidak boleh bandingkan diri saya dengan Nabi Muhammad tetapi saya berharap dengan anugerah Maulidur Rasul ini saya dapat menjadi contoh kepada penyelidik muda untuk bekerja lebih rajin demi negara," katanya.

Sementara itu, Dr Yaacob yang diiktiraf sebagai saintis pertama menerima Anugerah Saintis Halal di World Halal Research Summit 2009, mengharapkan usaha dilakukan untuk mempertingkatkan kepentingan logo halal Malaysia.

Katanya, status halal Malaysia sangat berwibawa dan dipandang tinggi termasuk oleh Pertubuhan Negara Islam (OIC) tetapi berdepan masalah dalam negara seperti kebanjiran logo halal digunakan disebabkan kelemahan undang-undang.

"Ini kelemahan tetapi menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal agama sudah mengambil usaha memastikan isu ini dapat diselesaikan. Kita harap apabila ada akta lebih kuat nanti tiada lagi berlaku penipuan logo halal atau isu logo yang pelbagai.

"Selain standard yang bagus, kita perlu ada undang-undang tegas selain penguatkuasaan berkesan untuk mengawal penggunaan logo halal," katanya yang banyak menjalankan penyelidikan bagi membangunkan industri halal.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431 Hijrah mengekalkan tradisi berarak sambil berselawat oleh kira-kira 100 kontinjen yang mengambil bahagian sebagai manifestasi kecintaan kepada Rasulullah SAW dan menonjolkan semangat serta syiar Islam.

Perarakan sejauh 2.5 kilometer itu bermula dari Masjid Tuanku Mizan menuju Masjid Putra, Putrajaya. Kontinjen terbabit dalam perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431 Hijrah turut diadili bagi menentukan johan dan naib johan berdasarkan kategori.

Lima kategori dipertandingkan iaitu kategori agensi kerajaan, badan berkanun, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi (IPT) dan institut latihan dan sekolah. Pemenang menerima plak, sijil dan hadiah iringan.

Friday, February 26, 2010

Contohi perjalanan hidup, perjuangan Rasulullah

Oleh Ibrahim Abdullah


SAMBUTAN Maulidur Rasul yang diadakan setiap tahun tanda ingatan umat Islam kepada Nabi Muhammad SAW. - Gambar hiasan


Nabi Muhammad miliki sifat terpuji, tokoh kepemimpinan yang wajar diteladani

SEWAJARNYA acuan hidup Rasulullah sebagai gambaran penampilan diri yang amat istimewa sentiasa dicontohi umat Islam. Secara fizikal, tingkah laku, sikap, tutur kata, pemikiran, emosi hingga keikhlasan hati dan keluhuran jiwa baginda terserlah sekali gus mencerminkan bentuk keperibadian yang nyata. Ia menyentuh dan membekas begitu mendalam pada sanak saudara, sahabat, tetangga dan kawan.

Tidak hairan selepas Rasulullah wafat, sahabat bertanya kepada Aisyah bagaimanakah gambaran baginda selama hidupnya? Aisyah tidak mampu menahan linangan air mata sambil berkata: "Segalanya begitu menakjubkan bagiku," dan pada waktu lain Aisyah menjawab: "Sesungguhnya akhlak baginda adalah al-Quran."

Secara fizikal, Rasulullah digambarkan sebagai lelaki yang kuat, gagah, berani, dada bidang dan itu ditandakan dengan kuatnya baginda melakukan banyak ibadat, mengerjakan pekerjaan biasa sebagai lelaki dan bahkan turut berperang. Tidak ada pilihan terbaik dalam mencontohi penampilan diri kecuali apa-apa yang Rasulullah ajarkan.

Al-Quran menginformasikan Rasulullah adalah teladan utama bagi umat manusia. "Sungguh ada pada diri Rasulullah itu suri teladan baik bagi kamu sekalian iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan kedatangan hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah." (Surah Al-Ahzab: 21).

Keteladanan Rasulullah tidak hanya terbatas sejak baginda diangkat menjadi nabi dan rasul bahkan sejak baginda dilahirkan hingga wafat. Seluruh perjalanan hidup dan perjuangan baginda menjadi uswah hasanah dan teladan yang baik bagi umat manusia.

Dalam istilah agama, perjalanan hidup dan perjuangan baginda dinamakan as-sunnah. Secara bahasa, perkataan as-sunnah bererti kebiasaan atau tradisi. Namun dalam istilah agama, as-sunnah adalah apa yang menjadi kebiasaan Nabi Muhammad, perkataan, perbuatan mahupun persetujuan baginda mengenai suatu perbuatan yang dilakukan sahabat, sejak diangkat menjadi nabi dan rasul mahupun sebelumnya.

Ringkasnya as-sunnah adalah sirah atau perjalanan hidup baginda sejak lahir hingga wafat keseluruhannya adalah uswah, teladan agung bagi umat manusia.

Contoh uswah keteladanan, keunggulan, ketrampilan Rasulullah dalam kehidupan baginda dari remaja sehingga menjadi nabi dan rasul, juga pemimpin negara dan pemerintahan dapat dilihat meskipun baginda lahir sebagai anak yatim kerana kehilangan ibunda tercinta sejak berusia empat tahun. Baginda membesar sebagai remaja yang cerdas (fatanah), jujur dan boleh dipercayai (amanah), serta benar (siddiq) dalam ucapan dan perbuatan.

Ketika diangkat menjadi nabi dan rasul, terpadu secara simfoni dengan sifat tabligh (menyampaikan) dengan empat sifat itu adalah sifat wajib mesti ada secara rasional pada diri seorang nabi dan rasul sebagai utusan Allah.

Muhammad Husain Haikal, penulis sirah (biografi) terkenal dari Mesir menyatakan, rahsia kejayaan Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib tidak hanya ditentukan oleh empat sifat yang menjadi kredibiliti seorang nabi dan rasul tetapi juga kerana baginda sejak remaja memiliki kebiasaan ta'ammulat, mengamati, memikirkan, merenungkan keadaan sekitar, alam maya, geografi, sosial, politik dan kebudayaan termasuk adat istiadat masyarakat Arab waktu itu.

Hasil proses ta'ammulat yang dilakukan secara tekun dan teliti itu menjulang baginda menjadi remaja yang mempunyai teladan dan peribadi cemerlang. Baginda juga dapat menyelesaikan masalah berbangkit antara kabilah di Makkah ketika meletakkan Hajaral Aswad di tempat asalnya di Kaabah. Kehadiran baginda menjadi rumusan bagi pelbagai masalah dengan kreatif, inovatif dan cerdas pemikiran mahupun tindakan.

Dalam rumusan yang diusulkan baginda ada nilai kearifan, kecerdikan dan kepintaran yang boleh menjadi inspirasi bagi pejuang perdamaian, keadilan dan kemanusiaan. Bahkan dalam kata hikmah disebutkan 'yadullah maal jamaah' (tangan Allah berada dalam jemaah kebersamaan).

Jelas, banyak lagi contoh teladan boleh diambil untuk mencontohi dan mengikuti jejak langkah yang ditampilkan Rasulullah dalam kehidupan harian bagi kaum Muslimin bersempena sambutan Maulidur Rasul, hari ini.

Firman Allah bermaksud: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Al-Anbiyya': 107).

Soal Jawab Agama: Sambutan Maulidur Rasul harus selagi tak bertentangan syariat

Islam galak rai hari berkenaan sebagai tanda kasih kepada Rasulullah


SAYA pernah mendengar hadis menyebut: "Sesiapa memuliakan hari kelahiranku (hari Maulidur Rasul) akan mendapat syafaatku, dan sesiapa mendermakan satu dirham pada hari itu akan mendapat ganjaran sebesar bukit Uhud fi sabilillah." Bagaimana dengan sambutan Maulidur Rasul dan cara terbaik meraikannya. Apakah pendapat ustaz dalam hal ini.

Jejaka Muslim

SESUNGGUHNYA keagungan junjungan besar Nabi Muhammad tidak dapat diukur dan dinilai melainkan Allah. Apa yang pasti, Baginda adalah insan terpilih di kalangan umat dan kehadiran Baginda adalah rahmat bagi sekalian alam.

Allah berfirman maksudnya: "Tidak Aku utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam". (Surah Al-Anbiya', ayat 107)

Firman Allah lagi bermaksud: "Katakanlah (Muhammad) dengan rahmat Allah dan kurnia-Nya hendaklah mereka bergembira". (Surah Yunus, ayat 58).

Hadis yang saudara dengar ada dalam kitab Madarijus Suud karangan seorang ulama Indonesia. Bagaimanapun, ia sudah diperbetulkan oleh ulama terkenal, Syekh Ismail Othman Zin dan penulis sudah memohon maaf atas keterlanjuran itu atau mungkin ia adalah cetusan rasa penulis yang tidak wajar diketengahkan kepada masyarakat umum.

Sebenarnya hadis itu dan lafaz yang sama dengannya adalah rekaan semata-mata atau khayalan orang tertentu yang boleh mengelirukan masyarakat Islam. Jika benar kata-kata itu nescaya sahabat terlebih dulu berlumba melakukannya tetapi sejarah tidak pernah melakarkan perkara berkenaan.

Oleh itu, segala disandarkan kepada Rasulullah khususnya hadis, perlu dikaji dan diteliti terlebih dulu kesahihannya kerana dibimbangi kita akan termasuk golongan yang mendustakan Baginda.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Sesiapa yang mendustakan aku dengan sengaja maka tempatnya adalah dalam neraka." (Al-Hadis)

Tiada hadis memerintahkan supaya kita menyambut Maulidur Rasul. Namun, ulama berpendapat memperingati hari berkenaan sebagai tanda kasih kepada Baginda adalah harus selama mana tiada unsur bertentangan syariat Islam.

Pengarang kitab Yasalunaka Fid Din, Syeh As-Syarbusi, berkata semua amalan kebajikan pada hari Maulidur Rasul dengan niat mendekatkan diri kepada Allah dan tanda kasih kepada Rasulullah seperti solat, membaca al-Quran, selawat dan seumpamanya adalah harus.

Perbuatan itu sebenarnya mendapat ganjaran di sisi Allah. Pendapat saya, itulah cara terbaik untuk umat Islam menyambut kelahiran Rasulullah. Sabda Baginda bermaksud: "Sesiapa berselawat ke atasku sekali maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali." (Al-Hadis)

Ulama berpendapat, selawat Allah kepada hamba-Nya ialah rahmat dan keampunan.

Ingatan bagi pelupa: Curi tulang rugikan pekerja, punca berlaku permusuhan

KITA berasa marah dan jijik kepada pencuri kerana perbuatan itu adalah salah di sisi agama, akhlak dan kemasyarakatan. Sikap negatif kita terhadap pencuri disebabkan pendidikan agama diterima selama ini.

Pencuri yang ditakuti biasanya adalah pencuri harta, karya dan benda yang dapat dilihat atau dirasa. Sebaliknya kita tidak sedar berlaku pencurian masa atau lebih difahami dengan istilah 'curi tulang' dalam tugas harian.

Curi tulang boleh berlaku dengan mengabaikan tugas dan tanggungjawab, melengahkan kerja atau meninggalkannya sama sekali dengan pelbagai helah atau alasan tidak munasabah. Ada kalanya tanggungjawab itu dilakukan tetapi sekadar melepaskan batuk di tangga.

Perbuatan keji ini jika diteruskan amat merugikan diri sendiri terutama apabila kita memahami kerja adalah ibadat terhadap Allah jika dikerjakan dengan tulus ikhlas dan penuh tanggungjawab.

Selain ganjaran pahala yang diterima, kita juga akan mendapat upahnya. Jadi, jika pengabaian terus berlaku, kita tidak akan menerima pahala yang boleh memberkati wang gaji. Tegasnya, wang upah yang kita terima jadi tidak bersih.

Selain itu, kita juga berdosa terhadap rakan sejawatan kerana menggendalakan kerja mereka dan meletakkan mereka dalam keadaan serba salah. Ditegur bimbang tidak diterima dan mengakibatkan permusuhan. Jika tidak ditegur, akan merugikan banyak pihak.

Sifat mensyukuri dan mencukupi amat penting supaya kita tidak menjadi orang yang tidak pernah rasa cukup, keluh-kesah dan jangan biarkan dikejar tak dapat, dikendong berciciran.

Menara induk Masjid Abidin iras Masjid Negara

MASJID Abidin adalah antara masjid tertua di Terengganu. Struktur itu terletak di tengah bandar Kuala Terengganu. Masjid ini dulunya dikenali sebagai Masjid Besar atau Masjid Putih. Pada asalnya bangunan masjid adalah sebuah istana kayu yang didirikan Almarhum Sultan Zainal Abidin II. Bangunan masjid diperbesarkan pada 1319 Hijrah (1901 Masihi) ketika pemerintahan Almarhum Sultan Zainal Abidin III. Binaan kayu masjid diganti dengan batu ketika pemerintahan Almarhum Baginda Sultan Umar. Pada 1972, bangunan masjid dinaik taraf dan diperbaharui dengan satu menara induk dibina menyerupai menara Masjid Negara.

Thursday, February 25, 2010

Keupayaan wanita bukan ancaman lelaki

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


MONOPOLI wanita dalam pelbagai bidang harus dijadikan saingan yang sihat oleh lelaki. - Gambar hiasan


Golongan Adam perlu memperkasakan diri dengan ilmu seiring keperluan agama, negara

TIADA yang perlu dibimbangkan apabila kesamarataan gender dalam perkhidmatan awam dijamin kepada setiap rakyat Malaysia. Selain termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 juga mengiktiraf kesaksamaan hak yang memberi keadilan untuk berkhidmat tanpa mengira jantina.

Sebagai negara yang mengesahkan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita 1979, Malaysia berkeyakinan pembangunan penuh dan menyeluruh sesebuah negara menghendaki penyertaan maksimum wanita berdasarkan persamaan dengan lelaki dalam semua bidang.

Cuma ada beberapa perkara diberi pengecualian. Antaranya, alasan untuk tidak bertentangan dengan amalan syariah di negara ini. Justeru, sebagai golongan yang asalnya tertindas disebabkan norma, sosial dan budaya yang tidak memihak kepada mereka, wanita bangun menuntut hak seiring dengan perintah agama yang memuliakan setiap manusia tanpa mengira perbezaan biologi.

Bermula dengan keluar dari kepompong kehidupan yang sempit akibat pengaruh kolonialisme, wanita Malaysia mencari ilmu dan kemahiran untuk membuktikan keupayaan dalam semua bidang. Pengaruh sosial meletakkan mereka warga kelas dua turut menjadi cabaran merealisasikan sunnah Rasulullah yang mengangkat martabat wanita ditindas sejak era jahiliah.

Tentu kita tidak lupa mengenai sejarah bagaimana komited usahawan ternama Saidatina Khadijah dalam perniagaan. Begitu juga cicit Rasulullah, Sukaynah Hussain dalam memperjuangkan hak wanita.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada 2006 melaporkan, jumlah pelantikan wanita sebagai pembuat dasar di Malaysia sangat tidak memberangsangkan. Walaupun kerajaan mengesahkan komitmen memastikan 30 peratus pembuat dasar dilantik dari kalangan wanita namun polisi dan program merealisasikan hasrat itu tidak selari dengan iltizam dijanjikan.

Tetapi kini wanita semakin bijak, menguasai perkhidmatan awam dan semakin ramai dilantik memegang jawatan pembuat keputusan. Aliran menunjukkan merit kelayakan mengatasi perbezaan biologi dalam merencana sesuatu agenda negara. Sedikit sebanyak senario ini memberi impak terhadap negara dalam pelbagai aspek. Ia bukan soal bagaimana menghadapi situasi nasional yang bersifat matriaki tetapi bagaimana untuk akur kepada hakikat ketidakseimbangan gender akibat kelemahan golongan lelaki dalam pendidikan.

Sekali gus menidakkan penyertaan mereka dalam arena awam sedangkan mereka juga tidak semuanya mampu cemerlang untuk menjalankan tugas rumah tangga. Kebimbangan terhadap pertambahan wanita dalam sektor perkhidmatan memang berasas berdasarkan keupayaan mereka sebagai sumber pengembangan zuriat. Tetapi wanita tiada pilihan kerana mereka mempunyai kepakaran diperlukan demi kemajuan dan pertumbuhan negara. Sebab itu keupayaan wanita tidak harus dilihat sebagai ancaman terhadap norma dan sosial masyarakat sebaliknya lelaki harus sama-sama berusaha supaya kembali berjalan seiring.

Seperti mana wanita kembali membina empayar yang kukuh dalam masyarakat selepas kedatangan Islam dengan menguasai ilmu, maka tindakan sama juga perlu untuk lelaki yang sudah lama lena dibuai mimpi. Sistem pengambilan pelajar ke universiti dan kakitangan awam berasaskan merit kelulusan akademik jelas menunjukkan ilmu menentukan kedudukan dalam perkhidmatan tanpa cenderung kepada jantina dan jika tidak memihak kepada calon lelaki. Ini bukan salah wanita.

Kekangan timbul akibat penguasaan wanita dalam perkhidmatan awam hanyalah persepsi dan belum dibuktikan menjadi masalah utama pembangunan masa depan negara. Justeru, pandangan itu perlu dinilai semula kerana boleh menjadi ancaman kepada agama dan negara.

Jangan nanti wanita terpaksa berundur hanya kerana lelaki kian mundur. Sebaliknya, mereka harus bersama memperkasakan diri dengan ilmu seiring keperluan agama dan negara yang tidak bertolak ansur dengan kelayakan akademik. Kreativiti, tahap kecerdasan minda, keupayaan menyelesaikan masalah, kebijaksanaan membuat pertimbangan, tahap ketahanan mental dan keluasan pengetahuan boleh dibuktikan dengan kelulusan akademik cemerlang di sekolah mahupun universiti.