Friday, February 26, 2010

Soal Jawab Agama: Sambutan Maulidur Rasul harus selagi tak bertentangan syariat

Islam galak rai hari berkenaan sebagai tanda kasih kepada Rasulullah


SAYA pernah mendengar hadis menyebut: "Sesiapa memuliakan hari kelahiranku (hari Maulidur Rasul) akan mendapat syafaatku, dan sesiapa mendermakan satu dirham pada hari itu akan mendapat ganjaran sebesar bukit Uhud fi sabilillah." Bagaimana dengan sambutan Maulidur Rasul dan cara terbaik meraikannya. Apakah pendapat ustaz dalam hal ini.

Jejaka Muslim

SESUNGGUHNYA keagungan junjungan besar Nabi Muhammad tidak dapat diukur dan dinilai melainkan Allah. Apa yang pasti, Baginda adalah insan terpilih di kalangan umat dan kehadiran Baginda adalah rahmat bagi sekalian alam.

Allah berfirman maksudnya: "Tidak Aku utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam". (Surah Al-Anbiya', ayat 107)

Firman Allah lagi bermaksud: "Katakanlah (Muhammad) dengan rahmat Allah dan kurnia-Nya hendaklah mereka bergembira". (Surah Yunus, ayat 58).

Hadis yang saudara dengar ada dalam kitab Madarijus Suud karangan seorang ulama Indonesia. Bagaimanapun, ia sudah diperbetulkan oleh ulama terkenal, Syekh Ismail Othman Zin dan penulis sudah memohon maaf atas keterlanjuran itu atau mungkin ia adalah cetusan rasa penulis yang tidak wajar diketengahkan kepada masyarakat umum.

Sebenarnya hadis itu dan lafaz yang sama dengannya adalah rekaan semata-mata atau khayalan orang tertentu yang boleh mengelirukan masyarakat Islam. Jika benar kata-kata itu nescaya sahabat terlebih dulu berlumba melakukannya tetapi sejarah tidak pernah melakarkan perkara berkenaan.

Oleh itu, segala disandarkan kepada Rasulullah khususnya hadis, perlu dikaji dan diteliti terlebih dulu kesahihannya kerana dibimbangi kita akan termasuk golongan yang mendustakan Baginda.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Sesiapa yang mendustakan aku dengan sengaja maka tempatnya adalah dalam neraka." (Al-Hadis)

Tiada hadis memerintahkan supaya kita menyambut Maulidur Rasul. Namun, ulama berpendapat memperingati hari berkenaan sebagai tanda kasih kepada Baginda adalah harus selama mana tiada unsur bertentangan syariat Islam.

Pengarang kitab Yasalunaka Fid Din, Syeh As-Syarbusi, berkata semua amalan kebajikan pada hari Maulidur Rasul dengan niat mendekatkan diri kepada Allah dan tanda kasih kepada Rasulullah seperti solat, membaca al-Quran, selawat dan seumpamanya adalah harus.

Perbuatan itu sebenarnya mendapat ganjaran di sisi Allah. Pendapat saya, itulah cara terbaik untuk umat Islam menyambut kelahiran Rasulullah. Sabda Baginda bermaksud: "Sesiapa berselawat ke atasku sekali maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali." (Al-Hadis)

Ulama berpendapat, selawat Allah kepada hamba-Nya ialah rahmat dan keampunan.

No comments: