Monday, February 8, 2010

Peguam wajib jadi pembantu kebenaran

Oleh Zainul Rijal
zainul.rijal@abubakar.my


KEWIBAWAAN seorang peguam bercirikan Islam yang berpegang kepada prinsip guaman yang betul akan mencerminkan institusi kehakiman negara serta dihormati oleh masyarakat. - Gambar hiasan


Keadilan perlu ditegak demi meletakkan hak kepada yang mempunyai hak


UMUM mengetahui bahawa dalam setiap tindakan di mahkamah sama ada Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah, peguam adalah pihak penting membantu perjalanan kes. Tanpa peguam, perjalanan prosiding di mahkamah kadangkala pincang dan tidak teratur. Secara umumnya, profesion kepeguaman berpaksikan kepada minat, kesungguhan dan kecintaan kepada bidang guaman itu sendiri.

Seseorang yang tidak mempunyai minat dalam profesion guaman sudah tentu tidak akan mencurahkan kudrat mereka sepenuhnya di dalam profesion ini. Seseorang peguam Muslim wajar berusaha memiliki kualiti seperti berintegriti, sabar, suka mencari ilmu, meluangkan masa, tenaga dan kepakaran untuk membantu pihak yang memerlukan tanpa menjadikan wang sebagai ganjaran dan matlamat utama.

Sebaliknya, perlu menjadikan peluang berkhidmat dan membantu pihak teraniaya sebagai keutamaan. Peguam Muslim bukanlah berada di bawah tanda aras peguam yang cemerlang malah ada kalanya peguam Muslim lebih mantap dan tinggi kualiti perkhidmatannya berbanding dengan peguam lain. Memang tidak dapat dinafikan seorang peguam menggalas harapan yang tinggi daripada anak guamnya dan dibeban dengan pelbagai tanggungjawab. Seorang peguam Muslim sudah tentu mempunyai tanggungjawab yang lebih kerana menjunjung nama Islam.

Antara ciri asas yang perlu ada pada peguam Muslim ialah mesti mempunyai sikap positif dalam menjalankan tugasan. Peguam wajib menjalankan tugasan dengan penuh integriti di mana tugasan itu memerlukan mereka bersikap profesional, jujur, amanah terhadap pelanggan, menjalankan profesion dengan penuh kesungguhan tanpa menolak nilai profesionalisme tinggi peguam.

Peguam mesti bertindak dengan penuh keyakinan, menghormati orang lain sama ada pelanggan, peguam lain dan mahkamah dalam menegakkan keadilan. Di samping itu, sikap mengambil berat dan sabar dalam berurusan juga adalah suatu kemestian. Sikap ini menghendaki peguam untuk sentiasa menghormati dan melayan semua pihak sama ada pihak lawan dan peguam mereka dengan adil, baik dan sewajarnya serta menjauhi daripada bertindak tidak adil dan prejudis terhadap mana-mana pihak sepanjang proses undang-undang dilaksanakan.

Ini bermakna, walaupun peguam mewakili pelanggannya, pada masa sama, peguam di pihak lawan tetap dianggap kawan dan boleh berbincang dengan sebaiknya demi kesejahteraan kes dan pihak yang diwakili.

Cintakan ilmu dan sentiasa berusaha menambah ilmu pula adalah tuntutan di dalam Islam. Peguam perlu sentiasa berusaha menambah ilmu dengan menggunakan pelbagai kaedah sama ada menghadiri seminar undang-undang, membaca buku atau bertanya kepada peguam lebih berpengalaman perkara yang belum difahami. Dengan bekerjasama, kita akan lebih cepat memahami dan menyelesaikan sesuatu kekusutan yang belum diketahui.

Peguam berpengalaman juga perlu terbuka untuk mencurah pengalaman kepada peguam baru sebagai pelapis profesion ini. Bersikap baik dan mengambil berat pula adalah sikap yang amat positif. Peguam yang mengambil berat profesion ini akan mengambil pendekatan baik dan mengambil berat serta menghormati bukan saja kepada mahkamah dan rakan sekerja, malah juga seluruh manusia yang digaulinya.

Menghormati mereka memerlukan kita menepati setiap mesyuarat yang diputuskan, temu janji dibuat, mengambil berat kepada jadual tugasan dan memberi komitmen tinggi kepada apa yang perlu dilaksanakan. Peguam mesti mewakili pelanggan dengan penuh kesetiaan dan kesungguhan, komited dalam tugasannya serta menghormati kepercayaan diberikan terhadapnya.

Kesungguhan dan kesetiaan kepada pelanggan tidak pula menyebabkan dia melakukan tindakan tidak benar, kasar dan biadab apatah lagi menzalimi lawannya. Setiap peguam perlu menjadi contoh kepada kebaikan, kepatuhan undang-undang dan menjaga sistem keadilan yang diperjuangkan.

Peguam tidak wajar terbabit dalam urusan undang-undang saja, tetapi perlu turut sama dalam urusan memberi kebajikan kepada masyarakat, membantu dalam soal membabitkan perundangan, pendidikan, khidmat sosial, kebajikan dan sebagainya. Ketika berurusan dengan pihak lawan serta peguam mereka atau mana-mana pihak yang terbabit dalam sistem perundangan negara, peguam mesti berusaha menjadikan sistem keadilan itu dapat berfungsi dengan baik dan cemerlang.

Peguam Muslim perlu mengelak daripada melakukan perkara yang boleh memberi kesan buruk, menjatuhkan nama baik mahkamah, sistem perundangan atau menyebabkan keyakinan masyarakat terhadap perundangan terhakis.

Sebelum memilih untuk membawa sesuatu kes ke muka pengadilan dan meneruskan perbicaraan, peguam wajar mencari jalan dan mencadangkan kepada pelanggan alternatif untuk menyelesaikan pertelingkahan dan masalah seperti menggunakan kaedah sulh, mediasi dan sebagainya.

Hadis diriwayatkan Abu Dawud yang bermaksud: 'Hakim itu ada tiga jenis. Satu di dalam syurga dan dua lagi akan ke neraka�' memberi penekanan mengenai konsep integriti. Hadis itu bukan saja ditujukan kepada hakim, malah untuk peguam kerana hakim yang akan ke neraka itu sudah pasti akan mengheret peguam yang berhujah secara palsu di hadapannya bersama mereka.

Oleh itu, peguam hendaklah menjadi pembantu kepada kebenaran bukan kepada kebatilan. Peranan peguam Muslim sangat besar sebagai pembantu mahkamah menegakkan keadilan demi meletakkan hak kepada mereka yang mempunyai hak.

Jika sesuatu kes itu membabitkan kepercayaan yang bertentangan dengan keimanan mereka, agak sukar bagi peguam Muslim ini untuk mengendalikannya. Peguam Muslim yang mempunyai prinsip tidak akan goyah dengan ujian di dunia ini.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Syarie Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi di zainul.rijal@abubakar.my

No comments: