# Judul: Indahnya Islam Mengatur Kita
# Penulis: Harussani Zakaria
# Penerbit: Mustread Sdn Bhd
# Pengulas: Hasliza Hassan
# Harga: RM25 (Semenanjung Malaysia) / RM28 (Sabah/Sarawak).
BUKU Indahnya Islam Mengatur Kita hasil tulisan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria mengandungi himpunan kertas kerja yang dibentangkan membabitkan isu berkaitan kekeluargaan, murtad, pembelaan wanita, pertahanan negara, akhlak dan undang-undang.
Buku ini mengandungi 20 tajuk menjadi fokus Harussani untuk menasihati umat bermula dengan cara bagaimana memperoleh keberkatan yang hanya diperoleh jika sepanjang perjalanan hidup sentiasa berpegang kepada syariat.
Ini diikuti bab Bahasa yang Indah, membicarakan mengenai budi bahasa termasuk dalam akhlak yang menjadi komponen penting agama, asam garam rumah tangga, pendidikan keluarga Islam dan pengurusan tekanan menurut Islam.
Ketegasan Harussani dapat dilihat daripada kenyataan beliau dalam isu berkaitan agama sehingga sentiasa menjadi rujukan apabila timbul konflik atau untuk penjelasan lanjut. Buku ini sebahagian pandangan menjawab persoalan sedang membelenggu kehidupan umat Islam.
Turut dimuatkan kaedah menangani kemelut menurut Islam yang menunjukkan ia agama lengkap mengatur rapi segala aspek berhubung kehidupan manusia kerana manusia tanpa agama adalah sesat dan menyeleweng daripada tujuan asalnya.
Ulama terkenal ini menggunakan istilah nasihat menggantikan kaunseling yang lebih tepat dengan kehendak Islam kerana nasihat bertujuan memberi kebaikan kepada orang dinasihati serta membimbing ke jalan diredai Allah.
Nasihat yang dikemukakan Mufti Perak dalam buku ini mengajak pembaca memahami pandangan Islam ketika menangani sesuatu isu dan menjadikan al-Quran serta sunnah Rasulullah sebagai sumber kekuatan hujah.
Harussani dalam mukadimahnya berkata, sebagai mufti yang diamanahkan melakukan kerja nasihat, buku ini adalah usaha kecil yang diharap dapat diterima secara lapang dada oleh pembaca demi kebaikan umat Islam keseluruhannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment