Friday, February 5, 2010

Pemimpin, ulama jana kekuatan ummah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Sebarang penyelesaian masalah guna pendekatan disaran oleh Rasulullah

PANDANGAN serta pemikiran ulama dan umara (pemimpin) perlu selaras dalam bentuk ucapan mahupun tindakan terutama dalam hal berkaitan negara dengan mengambil kira semangat toleransi pada batas diizinkan syarak selain memahami perasaan orang lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata peranan serta tanggungjawab utama kedua-dua golongan itu ialah bersama menjana kekuatan ummah termasuk generasi muda bagi pembangunan negara, bangsa dan syiar Islam.

Oleh itu, katanya, kesepakatan terhasil daripada perjumpaan ulama dan umara bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjadi penanda aras bahawa ulama mempunyai peranan besar dalam tadbir urus negara.

"Buah fikiran dan pandangan golongan ulama didengar dan diguna pakai dalam konteks melahirkan ummah berkualiti bagi kesejahteraan umat sejagat khususnya rakyat negara ini," katanya pada pertemuan di pejabatnya di Putrajaya.

Beliau berkata, Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Ulama dan Umara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), petang ini adalah landasan menyatukan fikrah ulama dan umara dalam segenap bidang.

Majlis yang dijangka dihadiri 1,000 tetamu kalangan ulama, cendekiawan dan pemimpin itu bakal membuka ruang kepada ilmuwan serta kepemimpinan negara membincangkan isu berkaitan Islam demi kebajikan umatnya malah semua pihak.

Perjumpaan kali ini juga membolehkan kedua-dua golongan itu berkongsi kepakaran dalam bidang masing-masing bagi mencipta modul pembangunan generasi dan masyarakat sebagai penyumbang kepada pembangunan lain.

Selain itu, hubungan silaturahim ulama dan umara diharap dapat menjadikan Malaysia negara contoh yang mengamalkan sistem kerjasama antara ilmuwan, cendekiawan serta kepemimpinan.

Ternyata, masih ada isu membabitkan agama Islam yang belum diselesaikan. Pada masa sama, ulama serta umara terus menjadi perhatian kerana kedua-dua golongan ini diharap dapat menjelaskan kedudukan sebenar serta membebaskan masyarakat daripada kekeliruan.

Jamil berkata, tidak dinafikan ada pihak melihat cara kepemimpinan dan ulama menyelesaikan isu berkaitan konflik atau pertelagahan mengenai isu agama seolah-olah mereka mengalah dengan tekanan atau keadaan yang berlaku.

Sebenarnya, katanya, itu adalah persepsi kerana ulama dan umara mengambil pendekatan yang disarankan Rasulullah untuk menyelesaikan sesuatu kemelut iaitu menggunakan hikmah supaya keharmonian tetap terjaga.

Mengambil contoh isu kalimah Allah yang belum ada keputusannya, beliau tidak menafikan ada pihak tidak berpuas hati dengan tindakan diambil sedangkan setiap tindakan mengambil kira kepentingan semua pihak untuk jangka masa panjang.

"Anggapan bahawa kita saja selalu mengalah itu hanya persepsi. Jika saya pengadil bola sepak, pastinya saya ingin pasukan Kedah sentiasa menang tetapi jika lawan dengan pasukan Selangor dan Kedah kalah, saya kena terima hakikat.

"Sebagai pengadil saya tidak boleh meniup wisel dan mengatakan 'batal' atau 'gol tidak masuk' kerana prinsip pengadil ialah menegakkan keadilan. Dalam kes kalimah Allah, jika dimuktamadkan di mahkamah nanti ia akan jadi rujukan tepat jika kita tersepit lain kali," katanya.

Menjawab persoalan mengenai sesetengah pemimpin yang membuat kenyataan mengelirukan mengenai isu berkaitan agama, beliau berkata, perjumpaan antara ulama dan umara akan menjadi forum membincangkan keperluan supaya pandangan serta pemikiran diselaraskan.

Mengenai isu agama yang sering dikategorikan sensitif sementara pihak berkuasa agama mengambil masa lama untuk meredakan keresahan masyarakat, Jamil berkata, agama menjadi isu sensitif bagi mereka yang tidak faham.

Katanya, pihak berkuasa agama pula memerlukan tempoh untuk meneliti sesuatu isu sebelum memberi sebarang maklum balas kerana kenyataan daripada pihak berkuasa agama diterima sebagai sesuatu yang sah oleh umum.

"Apa hukum makan babi, jawabnya senang tetapi ada juga jawapan senang menjadi tidak senang dalam keadaan tertentu. Bagi pihak berkuasa agama, perlu teliti kerana tidak boleh silap cakap, takut nanti akan jadi sensitif," katanya.

Justeru katanya, perbincangan ulama dan umara pada sesi dialog bersama Perdana Menteri hari ini akan memperlihatkan kesatuan dua golongan itu mengemukakan pandangan serta cadangan yang mendukung cita-cita negara untuk terus maju dan berkembang.

No comments: