Wednesday, February 3, 2010

Iqra: Bongkar rahsia doa, kunci pintu rezeki

Tajuk: Rahsia Telaga Emas Pintu-Pintu Rezeki
Pengarang: Imam Muhammad Mutawally Asy-Sya'rawi
Penerbit: Jasmin Publications
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM48.50

MAKANAN yang dimakan adalah rezeki, minuman menghilangkan dahaga adalah rezeki, pakaian menutup aurat adalah rezeki, sifat tercipta daripada kesabaran, kebijaksanaan dan keberanian juga rezeki dikurniakan untuk dimanfaatkan.

Pintu rezeki Allah terbuka luas bagi mereka yang rajin berusaha mencari serta menambah rezeki untuk keluarga. Namun, dalam kita merebut peluang itu, adakah terlintas di hati rezeki diperoleh daripada sumber halal dan menjanjikan keberkatan.

Buku Rahsia Telaga Emas Pintu-Pintu Rezeki bukan saja mengemukakan cara mencari rezeki tetapi turut membincangkan pelbagai faktor mempunyai kaitan dengan rezeki sebagai petunjuk untuk mengkayakan diri mengikut landasan yang betul.

Buku setebal 753 halaman ini membongkar rahsia, doa dan penyebab kemurahan rezeki untuk diamalkan. Ada juga doa untuk mengelak hutang serta kesusahan hidup.

Antara diketengahkan ialah kunci kepada pintu rezeki yang dihujahkan secara terperinci, dimulakan dengan iman, takwa, tawakal, istighfar, istiqamah, syukur, sedekah, doa dan banyak lagi amalan perlu diberi perhatian bagi mendapat rezeki halal.

Hakikatnya, mencari kekayaan tidak dilarang tetapi caranya hendaklah betul dan menjaga dua perkara iaitu mengambil daripada jalan yang halal serta dinafkahkan pada haknya. Tambahan, dalam dunia yang mengejar kekayaan, ramai terlupa menjaga sumber rezeki mereka.

Oleh itu, buku Rahsia Telaga Emas Pintu-Pintu Rezeki yang menghimpunkan bahan bacaan untuk dijadikan panduan mencari rezeki mengikut amalan disarankan serta pada masa sama meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

No comments: