Saturday, February 13, 2010

Gunakan masa terluang untuk beramal

Mereka yang mahu kebahagiaan wajar memelihara waktu

DARIPADA Ibnu Umar, katanya Rasulullah SAW memegang bahuku lalu bersabda: "Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau orang berdagang atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara).

Dan Ibnu Umar berkata: Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi; dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dunia adalah tempat manusia beramal untuk waktu yang ditentukan dan bukan tempat bermukim, bersenang lenang sepanjang hayat kerana kedudukan seseorang itu di dunia ini seperti pedagang atau pengembara yang akan pulang ke kampung halaman iaitu alam akhirat yang kekal abadi.

Untuk itu tiap-tiap amal ada waktunya, apabila luputnya waktu sesuatu amal ia tidak akan berulang kembali.

Oleh itu orang yang mengerti nilai waktu akan menyedari waktu itu sebenarnya umurnya yang jika habis suatu detik maka berkurang jangka hayatnya dan berkurang pula tempoh amalnya.

Selepas itu kekecewaan dan penyesalan tidak berguna lagi. Oleh itu seseorang yang inginkan kebahagiaan yang kekal abadi hendaklah memelihara waktunya daripada terbuang dengan percuma atau sebelum tiba waktu menghalang seperti sibuk atau sakit.

No comments: