Saturday, February 6, 2010

Keperluan nilai murni dalam pembangunan insan

Oleh Shuhairimi Abdullah
shuhairimi@unimap.edu.my

Kehidupan perlu berpandukan wahyu selari dengan tuntutan agama dan fitrah manusia

PADA asasnya, nilai murni adalah nilai bersifat universal yang menjurus kepada adab terpuji, peradaban dan tatasusila individu dalam kerangka perhubungannya dengan tuhan, manusia dan alam. Perbincangan nilai murni cenderung membahaskan domain nilai substantif seperti agama, rohaniah, moral dan estetika yang mencetuskan stimulasi positif seperti ketenangan emosi, kedamaian pemikiran, jiwa yang bersih dan keluhuran akal budi manusia.

Nilai murni juga merangkumi set nilai yang terdiri daripada nilai instrumental, nilai mutakhir dan nilai integratif. Berdasarkan kepada penjelasan ini, dapatlah difahami bahawa unsur-unsur alam dan benda yang lain di luar kategori manusia, dianggap tidak mempunyai nilai murni.

Umumnya, nilai murni dari perspektif Islam berfungsi sebagai petunjuk dan memandu manusia ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan melalui pedoman wahyu. Nilai-nilai murni Islam lebih fokus kepada harmonisasi antara doktrin rabbani dan kemanusiaan untuk mencapai kejayaan hakiki dalam dimensi duniawi dan ukhrawi.

Nilai murni pada pandangan Islam bersifat alami dan diikat dengan doktrin agama. Individu yang menghayati nilai-nilai itu akan mendapat ganjaran kebaikan. Bagaimanapun, jika berlaku sebaliknya dengan nilai-nilai berkenaan, maka pelakunya akan mendapat dosa. Justeru, melihat kepentingan itu, manusia diingatkan supaya memperkaya dan melengkapkan diri dari aspek zahir dan batin dengan nilai-nilai yang positif.

Ini kerana, apabila keperluan rohaniah manusia dari aspek jasad dan roh tidak disantapkan dengan nilai luhur, ia boleh menyebabkan berlakunya kecacatan. Secara tidak langsung ia boleh merosakkan fungsi asal manusia untuk menjadi insan berkualiti. Meskipun pada zahirnya kelihatan jasad individu itu nampak sihat, dari aspek batiniahnya dijangkiti dengan penyakit yang boleh merosakkan jiwa. Akibatnya, timbullah sifat gelisah, marah, dendam, kecewa dan pelbagai lagi sifat tercela.

Kehidupan manusia di atas muka bumi ini bukanlah hanya bertujuan untuk memenuhi survival melangsungkan kehidupannya sebagai makhluk seperti makan, minum, berkeluarga, mengembangkan zuriat, bermasyarakat dan sebagainya. Keperluan yang dinyatakan itu cuma bersifat menyempurnakan masalah asasi yang dihajati oleh manusia. Objektif yang perlu dicapai oleh manusia daripada perspektif konsep pandangan hidup Muslim lebih tinggi dan murni daripada keperluan berkenaan.

Insan yang diciptakan Allah dan mendapat kedudukan istimewa di sisi makhluk lain perlu memelihara status kedudukan ini. Meskipun begitu, kegagalan manusia memenuhi tanggungjawabnya sebagai insan dalam kaca mata Islam akan meruntuhkan pengiktirafan berkenaan sehingga darjat manusia sama saja dengan status haiwan.

Dalam konteks agama Islam, ruang lingkup amalannya perlu diharmonikan dengan nilai murni yang perlu dihayati dan dibudayakan oleh setiap individu Muslim agar kejayaan yang ingin dicapai benar-benar menepati falsafahnya. Keperluan kepada nilai itu penting kepada setiap insan dalam merangka kehidupan manusia yang seimbang dari aspek rohani, spiritual dan intelektual. Dalam mengurus institusi manusia amnya, elemen agama, akhlak dan etika perlu diberi keutamaan.

Elemen yang dinyatakan ini menjadi asas yang bersifat fundamental dalam proses membangunkan nilai-nilai kemanusiaan positif. Ia perlu diolah secara kreatif dan komprehensif supaya pemahaman nilai-nilai murni yang berteraskan nilai rohaniah dapat diseimbangkan dengan faktor pematuhan, penghayatan dan pengamalan.

Banyak kepincangan berlaku dalam institusi masyarakat antaranya adalah disebabkan oleh mengutamakan nilai materialistik, bersifat ananiah (individualistik), terpengaruh dengan faktor peredaran semasa serta nilai negatif lain. Oleh yang demikian, tidak menghairankan sekiranya pihak pemerintah begitu menekankan penghayatan nilai-nilai murni di kalangan masyarakat.

Realitinya, kepentingan nilai-nilai murni perlu dijadikan agenda keutamaan dalam proses membangunkan institusi manusia. Hal yang demikian disebabkan agama adalah kemuncak keutamaan bagi manusia dan agama juga menjadi petunjuk hakiki kepada kejayaan dikecapi manusia.

Kehidupan manusia perlu dibimbing dengan panduan wahyu supaya setiap tindakannya sentiasa bertepatan dengan tuntutan keagamaan dan selari dengan fitrah kemanusiaan. Manusia yang terpinggir dengan pedoman wahyu sering kali melanggar arahan dan peraturan agama serta bertindak di luar norma kemanusiaan demi memenuhi cita-citanya atas desakan hawa nafsu.

Sebaliknya, individu Muslim yang beriman sentiasa bertindak berasaskan nilai-nilai mahmudah yang diutarakan oleh Islam dan sentiasa berhati-hati dalam tindak-tanduknya. Golongan manusia sedemikian bukan saja mempunyai personaliti dan akhlak terpuji sesama manusia, malah pada masa sama, mereka juga memiliki adab yang baik dengan Allah SWT.

Sebagai individu mukmin yang baik, ia sentiasa mengutamakan nilai-nilai murni dalam kehidupan seperti berakhlak, bercakap benar, beramanah, akauntabiliti, mengutamakan pemuafakatan dan persefahaman, bertoleransi, menghormati hak orang lain dan sebagainya.

Manusia yang bertakwa kepada Allah SWT sentiasa berhati-hati dan takut melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan syarak sama ada secara terang-terangan atau di luar pandangan manusia.

Ironinya, inilah keistimewaan dan keunikan sistem agama yang berteraskan order tauhid rabbani. Sistem ini dihormati dan diiktiraf oleh manusia atas sifatnya yang sejagat dalam memelihara keharmonian dan ketenteraman manusia bukan saja di alam dunia bahkan berkesinambungan di alam akhirat.

Meskipun nilai-nilai murni dilihat sebagai subjektif, mengetepikan nilai moral rohaniah akan menjadi pembangunan insan tidak bersifat holistik. Ini kerana, dengan mengabaikan nilai-nilai luhur yang mempengaruhi tingkah laku manusia ia akan memberi dampak negatif kepada kerangka perhubungan manusia sesama manusia secara bersepadu.

Justeru, nilai murni yang bersumberkan nilai rohaniah menjadi formula terbaik untuk mendidik masyarakat mengenai nilai-nilai fitrah kemanusiaan yang murni, menyedarkan manusia mengenai hak dan tanggungjawab sosial lain.

Penulis ialah Pensyarah Universiti Malaysia Perlis

No comments: