Oleh Dr Masakaree Ardae
PENGGUNAAN nama Allah dalam bentuk Tuhan Satu dalam Tiga iaitu Allah Tuhan Bapa, Allah Tuhan Anak dan Allah Tuhan Roh Suci, melahirkan rasa tidak puas hati di kalangan orang Islam kerana ialah mencemarkan kesucian sifat Allah Taala Yang Maha Esa.
Apapun orang Islam masih lagi berbeza pendapat kerana sejarah membuktikan bahawa nama Allah juga pernah digunakan oleh Nabi sebelum Nabi Muhammad SAW. Namun, persoalannya apakah boleh digunakan nama Allah dalam bentuk yang menafikan sifat-sifat kesempurnaan, menambahkan sifat kekurangan, pencemaran dan sebagainya?
Jika inilah isunya, maka orang Kristian juga berhak mendakwa bahawa orang Islam mencemarkan Tuhan mereka dengan pelbagai sandaran seperti menafikan triniti dan sebagainya. Masalah akan berakhir dengan persoalan siapakah yang benar dan siapakah yang sesat di antara agama Islam dan Kristian? Kedua-dua pihak tidak mampu mengemukakan jawapan yang memuaskan.
Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya kafirlah orang yang mengatakan bahawasanya Allah salah seorang dari yang tiga, padahal sekali-kali tidak ada Tuhan selain dari Tuhan yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa seksaan yang pedih."(5: 73).
Maka jelaslah bahawa ayat itu mempamerkan orang Kristian pada zaman Rasulullah SAW ada menggunakan nama Allah. Namun, penggunaannya dalam bentuk Tuhan selain dari Tuhan yang Esa adalah silap.
Justeru, mereka dikategorikan sebagai orang kafir yang akan dikenakan azab Allah, bukan hukuman daripada manusia. Dengan itu, tidak ada nas yang mengatakan Rasulullah pernah bertindak menghukum, menghalang atau melarang mereka daripada menggunakan nama Allah, apatah lagi membakar tempat ibadah mereka kerana kesemuanya adalah urusan mereka dengan Allah secara persendirian sama seperti orang kafir lain.
Apa yang lebih penting apakah seorang Muslim pernah melahirkan rasa tidak puas hati apabila saudara mereka yang bernama Muhammad, Abdullah dan sebagainya mencemarkan nama suci itu dengan mengerjakan maksiat dan sebagainya, padahal maksiat itu adalah suatu yang dimurkai Allah Taala dengan nas-nas yang amat jelas.
Penggunaan nama Allah di kalangan orang Kristian khusus di dalam kitab suci mereka adalah amat kecil sekali, kerana hanya berlaku di dalam Bible terjemahan bahasa Arab dan bahasa Indonesia. Adapun bahasa Greek iaitu bahasa asal yang digunakan untuk menulis Bible menggunakan perkataan 'qeos'.
Perkataan itu diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dengan perkataan 'Deus'. Perkataan yang hampir sama juga digunakan dalam bahasa Perancis iaitu 'Dieu' dan 'Dios' dalam bahasa Sepanyol. Perkataan itu adalah sama pengertiannya dengan perkataan 'God' yang digunakan dalam terjemahan bahasa Inggeris dan 'Pra cau' dalam bahasa Thai.
Di sini, mempamerkan bahawa Bible tidak mengutamakan penggunaan nama Allah, sebaliknya ia mengutamakan pengertian atau maksudnya iaitu Tuhan, kecuali Bible terjemahan bahasa Indonesia.
Ada kemungkinan juga muncul idea pembaharuan agama di kalangan orang Kristian di alam Melayu. Jika hal itu berlaku di dalam akidah asas seperti nama Tuhan dan sifat-sifat-Nya, maka jelaslah bahawa akidah berkenaan masih lagi di dalam lubuk kesesatan yang kelam kerana akidah asas adalah suatu yang sudah disimpulkan kemas dan tidak menerima sebarang pembaharuan lagi.
Selain kesesatan, ia juga melambangkan bahawa ajaran Kristian tidak mampu berdepan dengan peradaban Islam, tidak mampu menahan jati akidahnya di dalam masyarakat Islam, sekalipun mereka pernah bertahan dalam masyarakat Eropah, China dan sebagainya.
Berkaitan dengan apa yang berlaku di negara Malaysia, maka kerajaan perlu mengambil langkah yang bijak dalam menguruskan masalah dalaman negara ini. Negara Malaysia memiliki perlembagaan yang tersendiri.
Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan agama Islam sebagai agama rasmi negara Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan juga memberikan kuasa kepada Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri.
Dengan perlembagaan dan undang-undang sedia ada, negara Ma laysia boleh membentuk jati dirinya sendiri sama ada akan membenarkan orang Kristian menggunakan nama Allah atau tidak berdasarkan pertimbangan keadaan keamanan, keharmonian dan kekeliruan yang akan berlaku di kalangan penduduknya yang beragama Islam dengan melaksanakan kaedah memilih mudarat yang lebih ringan berbanding mudarat lebih besar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment