Saturday, March 6, 2010

Jahil pengetahuan agama rencat perpaduan kaum

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my

Pertelingkahan dalam masyarakat boleh dielak jika saling menghormati anutan bangsa lain

TINDAKAN pihak tertentu membakar beberapa gereja di negara ini diikuti insiden empat kepala babi bersama wang tunai di letakkan di pekarangan dua masjid di Petaling Jaya, yang masing-masing menjadi rumah ibadat penganut Kristian dan Islam, awal Januari lalu boleh disifatkan sebagai jahil terhadap pengetahuan agama.

Keharmonian, keamanan dan perpaduan rakyat pelbagai kaum, keturunan, etnik dan agama di negara ini dilihat begitu unik dan amat dikagumi. Namun, beberapa insiden seumpama itu sedikit sebanyak menggugat ketenteraman.

Kejahilan atau fanatik terhadap agama masing-masing secara melulu boleh mendorong dan mencetuskan perkara tidak diingini sehingga merencatkan perpaduan negara. Pada asasnya, semua jenis agama sama ada Islam, Kristian, Hindu atau Buddha menggalakkan pengikutnya melakukan kebaikan dan mengutuk perbuatan buruk.

Pensyarah Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Fadlan Mohd Othman, berpendapat Islam memang menggalakkan umatnya banyak membaca untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan mengelak seseorang itu terus jahil agama.

Dalam senario di Malaysia, kejahilan terhadap agama juga boleh mendorong seseorang melakukan perkara yang melangkaui batasan termasuk tidak menghormati agama lain.

Malah, Islam tidak pernah menyekat umatnya untuk bercampur atau bergaul dengan rakan lain yang berlainan agama sebaliknya yang lebih penting adalah menghormati dan memahami agama mereka supaya wujud kesejahteraan dalam masyarakat.

"Allah suka kepada kelembutan dan mengelakkan permusuhan. Kita digalakkan menjadi penyelamat serta berlaku adil untuk kepentingan hidup bermasyarakat. Kalau ada permusuhan antara Islam dan bukan Islam ia boleh diselesaikan dengan baik menerusi perbincangan," katanya pada majlis diskusi ilmiah bertajuk 'Jahil Agama Rencat Perpaduan Negara' di Universiti Malaya, baru-baru ini.

Diskusi ilmiah itu antara lain bertujuan mengenal pasti peranan dimainkan oleh agama dan memastikan perpaduan di antara kaum terus dikekalkan.

Namun, Fadlan berkata, dalam aspek global, negara yang memusuhi Islam seperti Yahudi tidak seharusnya diberi tempat untuk mengelakkan perpecahan yang semakin membarah dalam masyarakat Islam sendiri.

Sementara itu, Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 1, Bandar Kinrara, Dharma Lingam, berkata dalam Mazhab Saiva (Tamil) percaya bahawa pencapaian tertinggi adalah mendampingkan diri dengan tuhan yang memiliki nilai kasih sayang.

Sekiranya pencapaian tertinggi itu dapat dilakukan, maka sifat saling menyayangi mampu menjadi benteng kepada perpaduan tanpa wujudnya diskriminasi agama dalam apa juga bentuk. Bagaimanapun, kecetekan terhadap agama masing-masing menyebabkan wujud diskriminasi, selain mendatangkan rasa kurang senang dengan penganut lain dan menimbulkan ketegangan.

"Diskriminasi dan salah faham itu adalah disebabkan oleh agama, bangsa, bahasa, budaya, status, pendidikan, paras rupa dan warna kulit. Oleh itu, kita juga digalakkan faham apa yang terkandung dalam agama lain. Oleh itu, jika kita lihat masjid, kuil atau gereja masing-masing tahu menghormati apa fungsi rumah ibadat itu.

"Kalau kita tahu agama, tidak mungkin, ada orang Islam, Hindu, Kristian atau Buddha memaling muka masing-masing apabila melihat rumah ibadat yang bukan dianuti mereka. Sebenarnya arah dan destinasi setiap agama sama tetapi hanya cara saja berbeza," katanya.

Beliau berkata, seruan agama meminta umatnya memberi makanan, pakaian dan bantuan yang diperlukan kepada orang yang memerlukan tanpa mengira kaum budaya dan agama boleh mewujudkan perpaduan.

Seruan agama menyuruh mengikiskan sifat seperti ego, sombong, tamak, bernafsu tinggi, perasaan mudah marah, cemburu, tidak bersyukur dan prejudis.

"Oleh itu, kita dapati dengan memiliki agama yang sempurna ia mampu memperkukuhkan asas perpaduan negara khususnya yang dihuni oleh pelbagai anutan agama dan bangsa," katanya.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Kinrara Metta Buddhist serta Kumpulan Bodhi Buddish dan Rangkaian Perniagaan Buddha, Tan Huat Chye, berpendapat amalan beragama menuntut kehidupan yang sejahtera, keamanan serta mengelakkan permusuhan atau peperangan.

Malangnya, apa yang berlaku sekarang permusuhan masih bertapak dalam hati setiap penganut berlainan agama disebabkan kejahilan mereka terhadap agama yang dianuti.

"Malaysia adalah sebuah negara yang aman dan dianggap bumi rahmat, sekiranya semua manusia memegang label kepada agama masing-masing yang mengutamakan persefahaman dan saling menghormati," katanya.

Felo Evengentical Siswazah dan Pelajar, Universiti Malaya, Prof Dr Lee Chai Peng, yang mewakili penganut Kristian, pula turut memberi pandangan sama dengan menegaskan agama adalah aspek penting kerana ia mempunyai peranan penting dalam memandu manusia ke arah kebaikan, keamanan dan kesejahteraan.

Seseorang itu tidak kira apa saja agama yang mereka anuti, perlu belajar agama masing-masing dengan mendalam supaya dapat memahami secara keseluruhan.

"Perselisihan faham antara kaum yang berlainan agama mengenai sesuatu isu berkaitan agama boleh diatasi jika mereka saling memahami kehendak dan kepercayaan agama masing-masing kerana semua agama mempunyai persepsi sama dalam aspek berbuat kebaikan.

"Kita juga boleh berbincang untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengelak kekecohan dan permusuhan berpanjangan," katanya.

Malah, seseorang itu digalakkan belajar memahami agama lain dan bukannya hanya bergantung kepada punca sekunder saja kerana ia lazimnya kurang tepat sehingga boleh mewujudkan ketegangan dan salah faham.

No comments: