Monday, March 1, 2010

Merealisasikan Raja sebagai ketua agama

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

RAJA-Raja Melayu dalam Mesyuarat Majlis Raja Raja Melayu ke-220 lalu, begitu prihatin dengan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam bagi merujuk tuhan mereka. Raja-Raja Melayu juga dilaporkan memberi jaminan untuk memenuhi tanggungjawab melindungi status dan kesucian Islam sebagai agama negara tanpa mengetepikan hak dan kebebasan agama rakyat yang lain.

Raja-Raja Melayu selanjutnya menyarankan supaya kemelut penggunaan lafaz jalalah oleh penganut bukan Islam ini dapat diselesaikan segera. Ketetapan ini dikeluarkan hasil pelbagai permintaan, surat dan memorandum pertubuhan dan individu yang disampaikan kepada Sultan-Sultan selaku Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing.

Penzahiran rasa dukacita Raja-Raja Melayu dalam isu ini menunjukkan keprihatinan dan tanggungjawab mereka dalam menjalankan ‘tanggungjawab berperlembagaan’ baginda. Sudah tentu golongan eksekutif dan legislatif seharusnya mengambil maklum ketetapan yang diambil oleh Raja-Raja Melayu ini.

Segenap lapisan masyarakat sepatutnya tidak mempolitikkan isu ini atau terlalu gopoh untuk memberi pandangan tanpa memahami isu sebenar perkara ini. Jangan pula ada yang mendahului Raja-Raja Melayu dan mufti semata-mata kerana kepentingan peribadi. Jangan pula terperangkap dalam mainan dan percaturan golongan musuh agama yang hanya ingin mengganggu gugat kedudukan istimewa Islam di Malaysia.

Saya menzahirkan penuh kesyukuran dengan ketetapan ini dan menjunjung kasih kepada Raja-Raja Melayu kerana amat prihatin dalam isu penting sebegini. Sebenarnya, saya sendiri sudah menulis beberapa kali dalam ruangan ini mengenai peranan institusi Raja-Raja Melayu dalam mempertahankan Islam.

Menghormati Raja-Raja Melayu yang bukan saja menjadi ketua agama Islam malah simbol perpaduan dan ketua utama negara boleh menjadi faktor utama kejayaan bagi penyelesaian konflik berkaitan sensitiviti agama yang sedang hangat diperkatakan.

Menurut Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, Raja-Raja adalah ketua agama Islam bagi negeri masing-masing manakala Yang di-Pertuan Agong ialah ketua agama Islam bagi negeri baginda, negeri yang tidak mempunyai Raja dan Wilayah-Wilayah Persekutuan. Malah peruntukan sama wujud dalam perlembagaan negeri yang memberikan kesan sama.

Menelusuri sejarah, kita akan dapati kedudukan Raja sebagai ketua agama Islam sudah wujud sebelum zaman penjajah. Ia bukan suatu ciptaan Britain melalui Suruhanjaya Reid. Perlembagaan Persekutuan hanya memberi keabsahan kepada susun atur yang sudah lama tersemat di dalam masyarakat ketika itu. Ia sudah menjadi tradisi dan amalan yang diterima berkurun lamanya.

Peruntukan itu sudah wujud dalam sesetengah perlembagaan negeri sebelum kedatangan Inggeris lagi dan kedudukan ini tidak pernah dicabar atau diganggu Inggeris. Kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam adalah jatidiri bagi negara kita. Ia adalah hak, kuasa dan tanggungjawab yang diberikan perlembagaan.

Pengiktirafan perlembagaan ini mempunyai kesan besar dan mendalam di mana Raja-Raja Melayu harus jadi rujukan dan diterima dalam mendepani isu berkaitan agama Islam. Ketua Agama yang diiktiraf perlembagaan perlu diberi ruang untuk didengar dan dipatuhi dalam apa juga keadaan berkaitan agama Islam.

Sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dalam Jadual 4 Perlembagaan meletakkan tanggungjawab perlembagaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga dan mempertahankan kedudukan Islam. Oleh itu, titah Yang di-Pertuan Agong perlu didukung dalam isu berkaitan agama Islam. Jika sebaliknya, jawatan Ketua Agama Islam dan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong itu hanya peruntukan perlembagaan yang sia-sia.

Hal sebegini tidak harus terjadi kerana perlembagaan bukan dokumen yang sia-sia dan kaku. Seluruh peruntukan perlembagaan mempunyai firasat dan nafas tertentu. Perlembagaan Persekutuan itu ‘hidup’ dan perlu diberi tafsiran sesuai dengan sifatnya yang ‘hidup’.

Hak, kuasa dan tanggungjawab Raja sebagai Ketua Agama Islam tidak berapa terserlah penguasaannya. Ini mungkin menjadi antara punca kepada kurangnya sensitiviti sesetengah pihak. Oleh itu, sudah tiba masa bagi semua golongan termasuk Raja-Raja dan rakyat menyedari peri penting hak, kuasa dan tanggungjawab yang mesti didukung ketua agama.

Mungkin ketika Islam dalam kontroversi seperti ini kuasa ketua agama amat diperlukan untuk keutuhan Islam dan juga keharmonian agama dan bangsa di negara ini. Merosakkan agama dominan akan menyebabkan kerosakan kepada seluruh tamadun.

Sebenarnya, dalam urusan agama Islam, perlembagaan memberi ruang kepada Raja membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada jemaah menteri. Oleh itu, isu Raja berperlembagaan dalam konteks hak, kuasa dan tanggungjawab baginda sebagai ketua agama adalah tidak begitu relevan. Sekiranya relevan, ia hanya berkisar dalam polemik kuasa Raja terbatas oleh perlembagaan kerana perlembagaan yang mengiktiraf kuasa berkenaan.

Namun, perlu diambil perhatian bahawa kuasa Raja berkaitan agama Islam adalah konklusif. Sekiranya tidak, baginda tidak dapat memelihara Islam seperti dimaksudkan dalam sumpah jawatan. Keadaan ini memberikan Raja satu posisi selesa sebagai ketua agama.

Berbalik kepada ketetapan dikeluarkan Majlis Raja-Raja itu, sudah pasti ia mempunyai nilai dari sisi undang-undang dan bukan sia-sia saja. Oleh itu, semua pihak perlu mendukung dan mengambil perhatian kepada ketetapan berkenaan.

Sudah tiba masa Malaysia merealisasikan kedudukan Raja sebagai ketua agama. Ia adalah konvensyen perlembagaan kerana pengiktirafan yang sudah diberikan sekian lama. Dalam prinsip undang-undang perlembagaan, walaupun konvensyen tidak mempunyai kesan perundangan, tetapi boleh dijadikan sumber kepada tafsiran Perlembagaan Persekutuan. Walau apapun keadaannya, kedudukan istimewa Islam di Malaysia wajib dipertahankan selaras dengan sumpah Yang di-Pertuan Agong itu.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui: zainul.rijal@abubakar.my

No comments: