Tuesday, March 2, 2010

Guna hadis palsu pinggir peranan wanita

Oleh Dr Juanda Jaya


WANITA di negara ini diberi peluang yang sama untuk membabitkan diri dalam semua bidang. - Gambar hiasan


Umat Islam disaran kaji secara mendalam ajaran agama elak diperguna golongan melampau


ORANG yang berjuang mahu meletakkan lelaki dan wanita pada satu kedudukan sama dalam semua perkara akan menghadapi tentangan daripada budaya dan adat manusia di sekeliling mereka. Hal ini berlaku sejak zaman berzaman.

Bagaimanapun janganlah sesetengah pihak menuduh agama Islam sebagai tidak adil kepada wanita kerana amalan budaya sesetengah masyarakat Muslim yang tidak memahami nilai Islam sebenar. Bahkan amalan meminggirkan wanita itu didakwa ada sandaran hadis tertentu yang menyuruh mengongkong wanita demi kepentingan lelaki rupa-rupanya hadis yang dibawakan itu adalah batil, palsu lagi menipu.

Di antara dalil palsu yang digunakan oleh sesetengah pihak ialah:

Rasulullah SAW bertanya kepada Fatimah: Apakah yang paling baik untuk wanita? Fatimah menjawab: Apabila wanita tidak melihat lelaki dan lelaki tidak melihatnya. Lalu baginda mencium Fatimah seraya bersabda: Sebahagian manusia adalah keturunan bagi sebahagian yang lain." Dr Yusuf Al-Qaradawi mengulas bahawa hadis ini sangat lemah nilaiannya dan tidak sepadan dengan harga tinta yang dipergunakan untuk menulisnya.

Hadis lain yang pula bertentangan dengan prinsip al-Quran seperti hadis palsu yang bermaksud: "Berbincanglah dengan mereka (perempuan) dan kemudian tentanglah pendapat mereka."

Padahal al-Quran menyuruh suami dan isteri berbincang mengenai kehidupan rumah tangga, daripada perkara kecil seperti menyapih anak hinggalah perkara besar. Sebagaimana ayat al-Quran yang bermaksud: Apabila keduanya ingin menyapih (sebelum usia anak dua tahun) dengan kerelaan mereka dan permusyawarahan, maka tiada dosa di antara mereka." � Surah Al-Baqarah ayat: 233

Rasulullah SAW juga bermusyawarah dan mengambil pandangan isterinya Ummu Salamah ketika peristiwa perjanjian Hudaibiyah. Bahkan yang lebih ekstrem lagi pernah dijadikan sandaran oleh mereka yang menentang hak wanita memiliki pendidikan sama taraf dengan lelaki seperti riwayat Al-Hakim dalam kitab al-Mustadrak suatu hadis yang bermaksud: "Dan janganlah kalian suruh wanita tinggal dalam kamar dan janganlah kalian ajarkan mereka menulis!". Hadis ini adalah palsu sebagaimana yang dikatakan oleh al-Hafiz al-Zahabi ketika mengulas riwayat hadis ini.

Mereka yang jahil ini mahu menjadikan kehidupan wanita bagai penjara, kerana itu wanita tidak diizinkan keluar rumah, pergi ke masjid dan bermuamalah dengan lelaki walaupun bercakap dengan bahasa yang santun. Di Pakistan, India dan Afghanistan bahkan di negara Arab, sebahagian perkahwinan wanita masih menjadi hak mutlak bapa dan saudara lelaki mereka untuk menentukannya.

Hukum adat masyarakat setempat juga amat menakutkan wanita, hukuman bunuh boleh dijatuhkan kepada wanita yang berkahwin lari dan bagi mangsa rogol amat menyedihkan kerana tiada siapa yang percayakan mereka, akhirnya mereka direjam sampai mati. Semua itu jelas pembohongan atas nama Islam, perlakuan tidak adil kepada wanita sama sekali bukan daripada ajaran kasih sayang dan keadilan yang diperjuangkan Rasulullah SAW.

Wujud tiga aliran yang menjuarai kedudukan wanita. Pertama, mereka yang mahu membebaskan wanita sebebas-bebasnya tanpa ikatan agama, adat dan budaya. Kedua, golongan yang ekstrem lagi jahil mahu menjaga kesucian wanita sehingga membawa kepada implikasi lain seperti kongkongan, penindasan, penjajahan maruah dan kezaliman. Yang ketiga, mereka yang mengajak kembali kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dan meletakkan wanita pada tempat yang sebaik-baiknya.

Salah faham umat Islam terhadap hadis Rasulullah SAW mengenai wanita cuba dijawab di dalam kitab Tahrirul Mar'ah fi 'Ashrir Risalah karangan Prof Dr Abdul Halim Abu Syuqqah. Beliau membawakan hadis sahih dengan menafsirkan secara adil maksud yang tersirat mengenai kasih sayang Rasulullah SAW kepada wanita.

Seperti hadis yang bermaksud: "Wahai wanita, aku tidak pernah melihat orang yang kurang akal dan agama mampu melumpuhkan hati seorang lelaki melebihi kamu. Mereka bertanya: Apakah kekurangan akal dan agama kami ya Rasulullah? Rasulullah bersabda: Bukankah persaksian wanita sama dengan setengah lelaki? Mereka menjawab: Benar. Rasulullah bersabda: Maka di situlah letak kekurangan akalnya. Bukankah wanita ketika haid tidak boleh solat dan puasa? Mereka menjawab: Benar. Rasulullah bersabda: Maka disitulah letak kekurangan agamanya."

Prof Dr Abdul Halim mengulas bahawa memahami makna hadis memerlukan kajian dan penelitian, sama ada dari segi bilakah masa diperkatakannya hadis itu dan kepada siapa ditujukan dan bentuk susunan bahasanya. Hal ini amat penting untuk mengetahui ia relevan atau tidak dengan karakter wanita.

Saat Rasulullah mengeluarkan fatwa ini mereka dalam keadaan bersuka ria di pagi hari raya pada Syawal, maknanya bentuk nasihat ini didasari dengan perasaan kegembiraan dan tiada mungkin kerana sebab kekecewaan Rasulullah SAW kepada sahabiyah ketika itu.

Rasulullah SAW bukan menghina dan menjatuhkan maruah mereka dengan menyebutkan kurang akal dan kurang agama tetapi Rasulullah mahu menyatakan kekaguman Baginda SAW kepada wanita yang boleh melemahkan hati lelaki. Perkara kurang akal dan agama ini sengaja diperbesar-besarkan oleh golongan yang melampau sehingga mereka terus menyalahkan Islam merendahkan martabat wanita.

Padahal isi sebenar hadis ini bukan pada penekanan 'kurang akal dan agama' tetapi justeru kepada kekaguman Rasulullah SAW terhadap wanita yang memiliki kebolehan melemahkan lelaki. Golongan yang ekstrem pula terus menjadikan dalil bahawa wanita haram berada di hadapan, menjadi ketua dan mempunyai kedudukan.

Lihatlah betapa mereka memesongkan hadis ini daripada nilai sebenar. Padahal isteri Baginda SAW adalah guru kepada sahabat yang menimba ilmu, berperang bersama lelaki, bermusyawarah meletakkan dasar politik dan pemerintahan di sisi Rasulullah SAW.

Di sinilah pentingnya kita mengkaji secara lebih mendalam lagi ajaran agama yang ditolak habis-habisan dan sesetengahnya diperguna oleh golongan yang melampau.

Penulis ialah Mufti Perlis yang kini menjadi Felo Tamu di Pusat Pengajian Islam, Universiti Oxford, United Kingdom

No comments: