Friday, March 5, 2010

Pertumbuhan ekonomi, kebajikan perlu seiring

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

Strategi berasas falsafah tauhid perlu jadi dasar pembangunan rakyat

SUASANA ekonomi di serata dunia walaupun angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sedikit memberangsangkan tetapi hakikatnya membimbangkan pada masa hadapan. Angka pengangguran berada pada tahap tinggi. Kos sara hidup terus meningkat. Hutang makin membesar dan kadar kemiskinan masih di tahap tinggi di serata dunia.

Pertumbuhan KDNK tidak mencerminkan kebajikan masyarakat turut meningkat. Bahkan angka KDNK yang menjadi penanda aras pertumbuhan ekonomi sekarang mula dipersoalkan terhadap kesan positif kepada kebajikan masyarakat.

Persoalan yang perlu diberi perhatian ialah adakah pengukuran pertumbuhan ekonomi sahaja mampu menyelesaikan keperluan guna tenaga, penurunan kadar kemiskinan dan penurunan kos sara hidup.

Dengan erti kata lain, pertumbuhan ekonomi dalam perjalanan sistem ekonomi semasa tidak semestinya menjamin kebajikan hidup rakyat akan berjaya dicapai, hatta menjana kepada kemajuan ekonomi seterusnya.

Jika sesebuah masyarakat mahu mencapai kemajuan ekonomi dan kebajikannya maka strategi penyusunan kehidupan yang menyeluruh perlu diberi perhatian pemerintah. Ini bermakna, tumpuan kepada perancangan membangun negara hendaklah secara menyeluruh dan perancangan kemajuan ekonomi hendaklah menjadi sebahagian daripada dasar pembangunan masyarakat.

Pendekatan ini memerlukan sesebuah negara menggubal hanya satu rancangan pembangunan negara meliputi semua aspek termasuk bidang kerohanian, pendidikan, kebudayaan, ekonomi, institusi keluarga, politik dan sebagainya.

Melalui pendekatan itu, semua aspek yang menghasil kepada kebajikan rakyat akan dirancang dan dilaksana secara komprehensif serta bersepadu. Maknanya, pendekatan itu mampu menghala masyarakat membina sebuah peradaban sempurna.

Dengan mengambil pendekatan syumul dan komprehensif dalam menggubal dasar pembangunan negara, semua aspek yang dikenal pasti akan menjadi pengukur kepada kemajuan sesebuah masyarakat. Pendekatan itu akan mengukur tahap kemajuan negara secara menyeluruh dengan cara sepadu. Ukuran kepada pencapaian semua perkara itu akan memberi gambaran lebih tepat kepada kedudukan kebajikan masyarakat yang sebenar. Matlamat akhir perancangan pembangunan negara yang menyeluruh hendaklah mampu menjana kesejahteraan rakyat.

Pendekatan bersifat syumul ini mengambil langkah untuk membangun peradaban masyarakat yang utuh. Peradaban atau cara hidup yang serba maju ini jika dijadikan pendekatan kepada usaha untuk membangunkan negara, hasilnya sudah pasti menjamin kepada pencapaian kesejahteraan rakyat yang sebenar.

Krisis dan kemelut ekonomi dihadapi masyarakat dunia kini adalah natijah daripada pendekatan negara memberi tumpuan kepada usaha mencapai pertumbuhan ekonomi.

Tidak menghairankan jika strategi ini menjadi panduan kebanyakan negara semasa kerana mereka yakin dengan kapitalisme. Walaupun kerenah kemanusiaan hasil daripada pelaksanaan sistem ini kepada masyarakat sangat teruk, manusia seolah-olah tidak mampu merujuk kepada pendekatan alternatif. Apa yang disarankan masih dalam gagasan ideologi itu.

Kapitalisme dibina atas falsafah kebendaan, individualisme dan naturalisme. Ia bersifat kebendaan kerana pada awal lagi manusia ditakrif sebagai makhluk kebendaan (economic man). Matlamat hidup manusia ialah memuaskan nafsu jasadnya (hedonisme). Kejayaan hidup manusia hanya di dunia melalui pengumpulan begitu banyak harta bagi memenuhi hedonisme.

Cara harta itu dikumpul bagaimanapun tidak menjadi perhatian. Hasilnya, banyak kerenah ketidakadilan berlaku dalam masyarakat pada hari ini.

Dalam menyusun perjalanan sistem ekonomi, sistem kapitalisme mengemukakan pendekatan laisse faire (kebebasan mutlak hendaklah diberi kepada individu) melalui institusi pasar. Melalui institusi pasar semua aktiviti ekonomi akan dijalankan.

Di samping itu, peranan sektor awam hendaklah diminimumkan. Jika sektor awam turut aktif dalam penyusunan ekonomi negara, sektor swasta (sektor individu) akan terhakis. Asas falsafah kepada penyusunan sistem ekonomi kapitalisme pada masa kini sudah tidak menepati ideologi dan pendekatan asal kapitalisme.

Pembabitan sektor awam sudah menjadi terlalu besar untuk menghadapi kekangan ekonomi yang dihadapi masyarakat pada hari ini. Kemelut ekonomi terus berlaku sehingga menyebabkan peradaban manusia semakin terhakis.

Dunia kini dalam keadaan sangat membimbangkan. Keadaan alam sekitar membuktikan kerakusan tingkah laku manusia membolot hasil bumi dalam proses mengumpul kekayaan.

Apa yang turut membimbangkan institusi keluargaan kini bertambah rapuh. Akibat masa yang lebih banyak terpaksa diperuntukkan sebahagian daripada masyarakat pada hari ini untuk menampung keperluan hidup akibat kos sara hidup yang tinggi sehinggakan masa untuk memenuhi keperluan keluarga terpaksa diabaikan.

Dalam suasana sedemikian, manusia terus gagal mencari pendekatan baru kembali kepada kesejahteraan. Pendekatan baru penyusunan ekonomi bernegara dan perhubungan ekonomi di peringkat antarabangsa masih kekal dalam kerangka kapitalisme.

Sudah tiba masa manusia kembali kepada agama. Malangnya pendekatan baru yang berunsurkan agama masih tidak dapat dikemukakan di luar kerangka kapitalisme.

Bahkan apa yang dianggap pendekatan menepati kehendak agama tidak bersifat syumul dan komprehensif. Ia hanya disandar kepada persoalan teknikal dan mekanikal hukum. Bukan semangat hukum untuk menjayakan matlamat syariah.

Justeru, pendekatan agama khususnya Islam mesti diasaskan kepada falsafah tauhid. Semangat keadilan dan memupuk muafakat di kalangan umat manusia dalam menyusun dan memajukan peradaban manusia, termasuk aspek ekonomi perlu menjadi gagasan model baru dasar pembangunan sesebuah negara.

Hanya melalui pendekatan ini kemelut ekonomi semasa dapat ditangani dengan memberi penyelesaian kepada akar umbi permasalahan itu. Jika kita hanya cuba mencari penyelesaian ekonomi melalui dasar fiskal dan kewangan smata-mata, permasalahan ekonomi seperti kemiskinan, pengangguran, kos sara hidup yang tinggi serta kebajikan hidup pada keseluruhannya tetap tidak berjaya dicapai.

Negara dan dunia pada masa ini memerlukan model pembangunan syumul yang menepati keperluan bagi membina semula tamadun manusia.

No comments: