Saturday, July 26, 2008

Amin iktiraf tokoh dakwah menerusi media

Oleh Hasliza Hassan
bhagama@bharian.com.my

DIIKTIRAF: Ismail menerima anugerah daripada Zahid sambil diperhatikan Wan Mohamad pada majlis Anugerah Media Islam Negara kali kedua di Putrajaya, malam kelmarin.


Komunikasi medium integrasi pertingkat martabat Islam tepati perubahan

ANUGERAH Media Islam Negara (Amin) kali kedua anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang berlangsung malam kelmarin bagi mengiktiraf sumbangan pengamal media cetak dan elektronik berjaya memberi persepsi baru dalam dunia dakwah masa kini.

Ibarat majlis penyampaian anugerah Grammy, penerima Anugerah Perdana Media Islam Negara, Datuk Dr Ismail Ibrahim, 71, berkata Amin adalah dakwah integrasi yang mampu meningkatkan martabat Islam melalui media sebagai medium penting.

"Kehadiran serta pembabitan ramai artis tanah air memungkinkan majlis ini setanding majlis anugerah lain dan peningkatan dalam usaha dakwah sentiasa dialu-alukan supaya mengikut atau menepati perubahan semasa," katanya.

Dalam ucapan ringkas selepas diumumkan sebagai penerima Anugerah Perdana Media Islam Negara kali kedua, Ismail sempat berkongsi perasaannya menerima pengiktirafan terhadap sumbangan yang semuanya hasil daripada cetusan pemikirannya

Penyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim Institut Islam Hadhari (Hadhari) Universiti Kebangsaan Malaysia dan Tokoh Maal Hijrah 2002 itu berkata, sumbangan dalam penulisan atau pelaksanaan tugas diamanahkan lahir daripada sifat semula jadi.


TERBAIK: Dari kiri Eja, Razali dan Erma bersama anugerah diterima.

Di samping itu, beliau mengakui pencapaian diraih sekarang adalah berkat asuhan ibunya yang sentiasa berpesan setiap kali keluar untuk menuntut ilmu supaya pergi terus, jangan tengok ke belakang.

"Masa itu saya tidak tahu kenapa ibu saya berkata begitu tetapi sekarang saya faham maksud jangan paling belakang iaitu apabila pergi menuntut ilmu tumpu perhatian kepada apa yang diusahakan," katanya.

Anugerah disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid. Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Anugerah Perdana Media Islam Negara diberikan kepada tokoh yang banyak memberi sumbangan dalam media khususnya mengenai perkembangan dan dunia Islam. Penerima membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi, sijil penghargaan, tiket mengerjakan umrah untuk dua orang dan set kitab tafsir terjemahan Fi Zilal al-Quran.

Pada majlis itu juga akhbar Berita Harian sekali lagi dipilih penerima anugerah Penerbit Akhbar Terbaik untuk kali kedua. Kemenangan itu mengiktiraf sumbangan Berita Harian yang menyediakan dua halaman setiap hari bagi menyiarkan isu semasa mengenai Islam.

Berikutan pemilihan itu, Berita Harian menerima hadiah wang tunai RM2,000, trofi, sijil penghargaan dan set kitab tafsir terjemahan Fi Zilal al-Quran.

Anugerah Amin kali kedua menyediakan empat kategori utama iaitu Anugerah Penerbitan TV, Anugerah Penerbitan Radio, Anugerah Penerbitan Media Cetak, Anugerah Penerbitan Drama, Anugerah Laman Web serta Anugerah Perdana Media Islam Negara.

Sebanyak lima kategori diberikan kepada Anugerah Penerbitan TV iaitu Penerbitan Dokumentari Berunsur Islam TV Terbaik, Penerbitan Majalah Berunsur Islam TV Terbaik, Penerbitan Bicarawara Berunsur Islam TV Terbaik, Penyampai Rancangan Agama TV Lelaki Terbaik dan Penyampai Rancangan Agama TV Terbaik.

Anugerah Penerbitan Radio juga turut merangkumi lima kategori iaitu Penerbitan Dokumentari Berunsur Islam Radio Terbaik, Penerbitan Majalah Berunsur Islam Radio Terbaik, Penerbitan Bicarawara Berunsur Islam Radio Terbaik, Penyampai Rancangan Agama Radio Lelaki Terbaik dan Penyampai Rancangan Agama Wanita Radio Terbaik.

Anugerah Penerbitan Media Cetak pula, lima kategori yang disediakan ialah Penerbit Buku Terbaik, Penerbit Terbitan Berkala Terbaik, Penerbit Akhbar Terbaik, Penulis Buku Terbaik dan Penulis Rencana Terbaik.

Anugerah Penerbitan Drama menyediakan lapan kategori iaitu Penulis Skrip Drama Berunsur Islam Radio Terbaik, Penulis Skrip Drama Berunsur Islam TV Terbaik, Pelakon Drama Berunsur Islam Radio Lelaki Terbaik, Pelakon Drama Berunsur Islam Radio Wanita Terbaik, Pelakon Drama Berunsur Islam TV Lelaki Terbaik, Pelakon Drama Berunsur Islam TV Wanita Terbaik, Penerbit Drama Berunsur Islam Radio Terbaik, Penerbit Drama Berunsur Islam TV Terbaik.

Majlis anugerah kali ini memperlihatkan kelainan apabila menampilkan gandingan pengacara, pelakon, penyanyi dan pelawak terdiri daripada Shamsul Ghau-Ghau, Fazley Yaacob, Fahrin Ahmad dan Wan Ashahilly.

Artis tanah air turut menyerikan Amin sebagai penyampai anugerah antaranya Datuk Rahim Razali, Datuk Aziz Singah, Datuk Yusuf Haslam, Datuk Sarimah Ahmad, Kartina Aziz dan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang turut membuat persembahan. Penonton turut dihiburkan dengan persembahan penyanyi Siti Fairuz, Aris Ariwatan, kumpulan nasyid Far East, Nasir Wahab dan Mohram.

Kemuncak acara malam itu ialah cabutan nombor bertuah untuk semua pengunjung yang menawarkan hadiah pakej umrah serta buku. Malam anugerah Amin disiarkan secara langsung melalui RTM1.

No comments: