Tuesday, July 1, 2008

Perspektif Ikim: Hidup sederhana didik sikap berjimat

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

Peraturan dianjurkan Islam untuk peniaga, pengguna boleh atasi desakan ekonomi

SUASANA ekonomi tidak menentu dan kos sara hidup makin meningkat adalah masa terbaik untuk kita renungi ajaran Islam berkaitan amalan kepenggunaan. Usaha itu bukan sebagai reaksi kepada suasana ekonomi semasa, tetapi amalan yang sepatut dihayati umat Islam.

Islam dalam mengatur proses kepenggunaan ke arah pencapaian matlamat memberi kebajikan kepada pengguna serta melahirkan pengguna sempurna, mempunyai prinsip tertentu terhadap pengguna dan barangan serta perkhidmatan.

Prinsip dianjurkan Islam dalam mempengaruhi gelagat pengguna adalah melalui prinsip umum percaya kepada alam akhirat, konsep kejayaan dan kekayaan menurut Islam.

Percaya kepada alam akhirat mempunyai pertalian rapat dengan kepercayaan kepada Allah. Ia memberi pengertian bahawa manusia wujud di dunia untuk sementara waktu dan kewujudan yang hakiki adalah di alam akhirat. Ini bererti kehidupan manusia akan berterusan hingga di alam akhirat.

Corak kehidupan seseorang di dunia akan mewarnakan kehidupan di alam akhirat, sebagai penerusan hidup manusia selepas mati. Kepercayaan ini memberi kesan mendalam kepada gelagat pengguna.

Pertama, pengguna akan menilai tindak tanduknya dari sudut kesan yang ia peroleh sekarang dan di alam akhirat. Oleh itu, pengguna Muslim akan cuba menjalankan aktiviti kepenggunaan barangan serta perkhidmatan untuk faedah pada masa ini dan di alam akhirat.

Kedua, pilihan untuk membelanjakan pendapatan akan bertambah dengan wujudnya keyakinan terhadap faedah yang dinikmati khususnya di alam akhirat hasil daripada tindakannya. Umpamanya seorang pengguna membelanjakan sebahagian pendapatannya untuk menolong fakir miskin.

Tindakan itu tidak memberi faedah kepadanya pada masa ini tetapi pembalasan Allah di akhirat akan dikecapi. Justeru, gelagat pengguna akan dipengaruhi oleh kepercayaan kepada alam akhirat.

Konsep kejayaan dalam Islam memberi pengertian sangat mendalam dan sudah tentu mempengaruhi aktiviti kepenggunaan umat Islam. Islam mentakrifkan kejayaan sebagai mendapat keredaan Allah. Ini berbeza dengan erti kejayaan dalam kapitalisme (mengumpul kekayaan).

Pengabdian mutlak kepada Allah adalah kunci dalam mencapai keredaan Ilahi. Segala urusan kehidupan manusia termasuk kepenggunaan mestilah dalam konteks mencapai keredaan Allah. Pentingnya mencapai objektif ini untuk menyelamatkan manusia daripada malapetaka dan masalah kehidupan.

Pengabdian kepada Allah akan membentuk dan mengatur kehidupan manusia semoga bersesuaian dengan fitrah kejadiannya. Pengabdian mutlak bererti menghayati segala perintah Allah dalam segala tindak tanduk manusia.

Manusia yang rasional perlu kepada kejayaan di dunia dan kehidupan di akhirat. Aktiviti kepenggunaan sudah tentu akan diusahakan ke arah kejayaan ini, iaitu membelanjakan ke atas barangan dan perkhidmatan dalam hubungan mencapai keredaan Allah.

Konsep kekayaan mengikut Islam adalah faktor ketiga yang boleh mempengaruhi gelagat pengguna Islam. Islam melihat kekayaan sebagai pengurniaan Allah dan bukan sebagai perkara yang dimurkai.

Kekayaan boleh menjurus ke arah mencapai keredaan Allah dan boleh menyebabkan kekufuran.

Kefahaman dan keyakinan terhadap konsep kekayaan mendorong pengguna membelanjakan kekayaan kurniaan Allah untuk mencapai kejayaan dan keredaan.

Natijah daripada keyakinan dan kefahaman mengenai ketiga-tiga prinsip itu, pengguna Muslim akan berbelanja dengan matlamat memenuhi keperluan diri serta mencari keredaan Allah.

Islam di samping menyediakan garis panduan yang dapat mempengaruhi gelagat pengguna, juga mempunyai peraturan tertentu terhadap barangan dan perkhidmatan yang akan dihasilkan dalam negara.

Mengikut pandangan Islam, jenis barangan dan perkhidmatan mempunyai hubungan rapat dengan ajaran Islam. Barangan dan perkhidmatan yang disediakan semestinya dapat memberi manfaat kepada pengguna.

Barangan dan perkhidmatan yang akan menjejaskan keperibadian pengguna dari segi kesihatan, nilai akhlak dan ajaran agama tidak diiktiraf sebagai barangan dan perkhidmatan seperti arak dan judi.

Islam juga menyediakan garis panduan pengeluaran barangan dan perkhidmatan dalam sesebuah negara. Jenis barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan boleh dikategorikan sebagai keperluan asas untuk kesenangan dan keperluan untuk kemewahan.

Keperluan asas adalah barangan dan perkhidmatan yang perlu untuk kehidupan seperti makanan, pakaian, perumahan, perubatan dan lain-lain. Keperluan untuk kemewahan adalah barangan dan per-khidmatan yang mana kepenggunaannya akan menjejas kecekapan pengguna dan peruntukan sumber misalnya pembinaan rumah besar atau kereta yang mahal.

Dalam negara Islam, perhatian utama akan diberi kepada pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang menjadi keperluan asasi, diikuti pengeluaran barangan kesenangan. Barangan mewah dianggap sebagai membazir dan bertentangan dengan Islam.

Islam menganjurkan pengajaran kepada umatnya bahawa manusia adalah khalifah dalam firman yang bermaksud: "Kepunyaan Allah kerajaan semesta langit dan bumi dan apa yang di antara keduanya." (Surah al-Maidah, ayat 17)

Anjuran ini memberi pengertian yang nyata, bahawa barangan dan perkhidmatan yang dihasil semestinya dinikmati bersama, dan manusia bukan empunya yang mutlak.

Ajaran Islam berhubung proses kepenggunaan diasaskan kepada matlamat untuk mencapai kejayaan, iaitu mencapai keredaan Allah. Segala tindakan manusia termasuk kepenggunaan sewajibnya di dalam lingkungan Islam.

Keadaan itu akan dapat mewujudkan proses kepenggunaan yang sederhana. Firman Allah yang bermaksud: "Mereka apabila membelanjakan hartanya dengan tiada berlebihan dan tiada pula kikir, melainkan pertengahan antara keduanya." (Surah al-Furqan, ayat 67)

Akhlak kegiatan ekonomi mengikut Islam berhasrat mengurangkan keperluan kebendaan yang melampaui dalam rangka membebaskan tenaga manusia ke arah pembentukan manusia mempunyai kerohanian tinggi.

Islam mengatur segala amalan manusia termasuk proses kepenggunaan untuk memberi kebahagiaan, kebajikan yang tulen bersesuaian dengan fitrah, kehendak dan kejadian manusia.

Meyakini dan beramal dengan anjuran Islam dalam amalan kepenggunaan menjadikan umat manusia lebih bahagia dan kurang tertekan dengan cabaran kos sara hidup makin meninggi. Suasana semasa sepatutnya membuka pintu hati manusia untuk berfikir sejenak dan mengambil langkah sesuai menyelamat diri dan masyarakat daripada kongkongan hidup hasil pembikinan manusia.

Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia.

No comments: