ABU Hurairah berkata: "Seorang lelaki memberi hutang kepada Rasulullah SAW lalu ditagihnya secara kasar. Oleh sebab itu para sahabat tidak senang terhadap orang itu. Maka bersabda Nabi SAW: Orang yang memberi hutang berhak menagih. Belikan dia seekor unta muda kemudian berikan kepadanya. Berkata para sahabat: Tidak ada unta muda ya Rasulullah. Yang ada hanya unta dewasa dan lebih bagus daripada untanya. Sabda Baginda: Belilah, kemudian berikan kepadanya. Sesungguhnya sebaik-baik kamu ialah yang paling baik membayar hutang." (Hadis riwayat Muslim)
Pada dasarnya, Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang. Perkara ini dijelaskan menerusi hadis daripada Uqbah bin 'Amir yang bermaksud: "Janganlah kalian membuat takut jiwa selepas ketenangannya. Mereka berkata: Apa itu wahai Rasulullah? Baginda SAW bersabda: Hutang."
Oleh itu Rasulullah mengajarkan sepotong doa yang bermaksud: "Ya Allah! Aku berlindung kepada-Mu daripada kegundahan dan kesedihan, daripada kelemahan dan kemalasan, daripada sifat pengecut dan bakhil, daripada kesempitan hutang dan penindasan orang."
Maka dengan itu orang yang berhutang hendaklah menjelaskan hutangnya kerana Allah SWT mengetahui apa yang mereka lakukan. Membayar balik hutang sesungguhnya adalah sesuatu yang wajib dilakukan sehingga harta orang yang sudah meninggal dunia pun perlu ditolak hutang-piutang mereka terlebih dulu, sebelum diagihkan kepada waris.
Adalah dikira berdosa bagi orang yang tidak mahu membayar hutangnya dengan sengaja walau bagaimana kecil pun hutang itu. Hal ini termasuk juga hutang dengan orang bukan Islam.
Bukan itu saja, Islam juga menjanjikan bahawa jika seseorang itu berhutang dengan niat untuk membayar, Allah SWT akan memudahkan ia membayarnya. Sebaliknya, jika berhutang dan berniat tidak mahu membayar, maka Allah Maha Kaya dalam perhitungan-Nya.
Dijelaskan dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: "Sesiapa yang berhutang dengan niat untuk membayar balik, Allah akan membayarkan. Tetapi, jika sesiapa berhutang dengan niat menyeleweng, Allah akan musnahkan harta bendanya."
Maksud Allah SWT akan membayarkan di sini adalah Allah SWT akan memudahkan rezeki seseorang itu supaya dia dapat membayar hutangnya dan begitulah jika sebaliknya.
Islam sebagai agama yang sempurna menyusun beberapa langkah mengenai proses berhutang di mana hutang yang dibuat hendaklah dicatat jumlah dan masa pembayarannya serta dilantik seorang penulis yang adil sebagai saksi bagi mengelak penipuan dan penganiayaan.
Membantu orang berhutang daripada hutangnya adalah suatu perbuatan yang mulia. Ganjaran besar menanti iaitu berupa naungan Arasy di akhirat kelak.
Thursday, July 24, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment