Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Umat Islam dituntut pelihara pertuturan bagi mengelak perpecahan akibat fitnah
SEJAK akhir-akhir ini, amalan fitnah memfitnah, tuduh menuduh, sindir menyindir, menyebarkan khabar angin, e-mel layang atau berita palsu, perkataan lucah, mendedahkan keburukan orang lain, berprasangka buruk semakin menjalar dan membarah dalam masyarakat Islam.
Semua amalan itu secara umumnya datang daripada lidah yang tidak bertulang. Namun lidah boleh menjadi lebih berbahaya daripada mata pedang yang terhunus hingga memungkinkan akibat dan implikasi buruk kepada umat manusia seluruhnya.
Oleh itu, Islam dari awal lagi sudah memperingatkan umat Islam akan bahaya penyalahgunaan nikmat lidah yang dianugerahi Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: "Dan (ingatlah) angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati)." (Surah al-Baqarah, ayat 217)
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Kebanyakan dosa anak Adam adalah kerana lidahnya." (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi)
Walaupun lidah adalah satu anggota tubuh badan manusia yang kecil menghiasi kesempurnaan kejadian makhluk Allah, lidah mempunyai peranan besar dalam kehidupan manusia.
Pada satu ketika, lidah boleh memuliakan serta mengangkat maruah seseorang dan dalam ketika yang lain, lidah mampu pula untuk menghina dan menjatuhkan seseorang. Malah, lidah berupaya membawa kejayaan juga kegagalan. Maka tidak hairanlah orang tua ada bermadah, 'sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa'.
Menyedari akan kedudukan lidah yang penting, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ketika seseorang memasuki pagi yang hening, seluruh anggota tubuhnya akan berlutut merayu kepada lidah seraya berkata: Hendaklah engkau bertakwa kepada Allah kerana kami sangat bergantung kepada engkau. Apabila engkau beristiqamah, kami pun akan turut sama beristiqamah. Sebaliknya jika engkau menyimpang dari jalan yang benar, kami pun turut menyimpang." (Hadis riwayat Tirmizi)
Maksudnya, lidah umpama pisau bermata dua. Ia boleh hadir sebagai rahmat kepada manusia di kala ungkapan ucapannya terselit unsur nasihat dan ketaatan kepada Allah dan pada masa sama boleh membawa kepedihan di kala lisannya mendedahkan belang yang tersembunyi.
Contohnya, khabar angin yang disebarkan bisa melonjakkan indeks ekonomi sesebuah negara, begitu juga ia mampu membuatkan indeks ekonominya jatuh merudum gara-gara spekulasi yang tersebar. Begitulah peranan lidah yang mengundang bahaya tersembunyi di sebalik kepetahan dan keindahan bahasa terungkap.
Menurut perspektif Islam, lidah akan melambangkan identiti seseorang sama ada dia seorang yang bertakwa dan beriman kepada Allah ataupun sebaliknya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik-baik ataupun dia berdiam saja." (Hadis riwayat Bukhari)
Seseorang insan dianggap beriman kepada Allah dan juga hari akhirat jika dia dapat memelihara lidah daripada perkara batil dan dilarang Islam. Seterusnya seorang yang beriman dan bertakwa akan menjuruskan lidahnya dengan amalan kebajikan serta mengelak perkara yang melalaikan.
Hal ini juga ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman; iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan serta perkataan sia-sia." (Surah al-Mukminun, ayat 1-3)
Allah menyediakan panduan dalam al-Quran bagaimana lidah seseorang yang beriman sewajarnya disalurkan dan dimanfaatkan kerana setiap perkataan yang terkeluar akan dirakam dan direkodkan oleh malaikat.
Firman Allah yang bermaksud: "Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)." (Surah Qaf, ayat 18)
Alangkah berbahagia dan beruntung seorang beriman yang menyumbangkan kebaikan dan kedamaian alam sejagat melalui ungkapan kata-kata yang sentiasa bermakna dan bermanfaat.
Allah berfirman yang bermaksud: "Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisik mereka kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar." (Surah al-Nisa', ayat 114)
Tiga jenis amalan dianjurkan Islam iaitu menyuruh orang melakukan amalan sedekah, juga menyuruh orang lain berbuat kebaikan dan kebajikan serta mendamaikan antara dua orang atau dua pihak yang bergaduh.
Ini bermakna amalan selain daripada itu seperti melepak, mengumpat, bergurau senda berlebihan, memfitnah adalah perbuatan sia-sia yang dilarang Islam dan mengakibatkan dosa kepada si pelakunya dan orang bersubahat dengannya.
Malah dia termasuk di kalangan orang yang rugi sama ada di dunia dan di akhirat seperti firman Allah yang bermaksud: "Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan dengan kebenaran (iktiqad kepercayaan, tutur kata dan amal perbuatan) serta berpesan dengan sabar (dalam menjalankan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya)." (Surah al-'Asr, ayat 1 - 3)
Selanjutnya, Islam amat melarang umatnya melakukan perbuatan keji yang berpunca daripada lidah seperti mengumpat dan mengutuk. Malah, amalan itu tidak termasuk dalam adab susila kesopanan Islam.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Bukanlah seseorang mukmin itu yang menjadi pencaci, pelaknat, bukan yang suka berkata kotor atau yang lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina." (Hadis riwayat Bazzar dan Hakim)
Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: "Tidak akan masuk syurga orang yang suka memfitnah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Islam melarang keras sebarang perbuatan keji yang terbit daripada lidah. Ini kerana natijah perbuatan itu merbahaya bukan saja kepada individu, bahkan boleh membabitkan komuniti masyarakat keseluruhannya.
Jika diimbas zaman Khulafa' al-Rasyidin, sejarah Islam sudah menyaksikan perpecahan dan pertelagahan di kalangan umat Islam akibat berlakunya fitnah terbesar di zaman Saidina Othman bin Affan dan Saidina Ali bin Abi Talib.
Sebab itulah, munculnya pelbagai mazhab ilmu kalam yang berselisih pendapat dalam beberapa isu agama. Selain itu, ia memberi kesan secara tidak langsung kepada kekuatan sesuatu bangsa dalam meneruskan perjuangan hidup yang sentiasa bergolak dengan pelbagai krisis.
Seterusnya, Islam menegaskan bahawa kemuliaan dan penghormatan seseorang manusia di sisi Allah bukanlah berdasarkan kepada rupa parasnya, kekayaannya, hartanya atau warna kulitnya. Sebaliknya neraca yang sebenarnya di sisi Allah ialah nilai keimanan dan ketakwaan yang sentiasa bertakhta dalam jiwa.
Oleh itu, setiap Muslim hendaklah sentiasa berwaspada ketika bercakap dan bertutur dengan saudaranya yang lain, juga memelihara lidah daripada melakukan perbuatan tercela lagi dilarang Allah.
Allah memerintahkan umat Islam supaya menapis dan menyaring terlebih dulu sebarang khabar berita atau fitnah yang tersebar seperti surat layang supaya tidak terperangkap dengan jerangkap dosa yang merugikan.
Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa satu berita, maka hendaklah kamu selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali terhadap apa yang kamu lakukan." (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Saturday, July 5, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment