salidasuhaila99@yahoo.com
IKUT SUNNAH: Umat Islam digalakkan bersederhana dalam berbelanja dan menjamu selera supaya tidak berlaku pembaziran dan menjaga kesihatan. - Gambar hiasan
Sikap bertolak ansur tidak bermakna pendakwah menggadaikan prinsip Islam
KESEDERHANAAN atau wasatiah adalah salah satu ciri keistimewaan agama Islam. Sederhana selalunya merujuk kepada satu keadaan yang tidak lebih dan tidak kurang, keadaan biasa dan sedang.
Walau bagaimanapun, dalam bahasa Arab ada juga maksud lain iaitu daripada perkataan at-tawazun iaitu seimbang antara dua pihak, pihak yang melampau dalam sesuatu tindakan dan pihak yang mempermudahkan sesuatu perkara.
Kesederhanaan juga merujuk kepada makna meletakkan sesuatu pada tempatnya ataupun memberikan sesuatu yang berhak kepada pemiliknya atau disebut al-'adl atau adil. Islam sangat menekankan persoalan kesederhanaan kerana ia adalah satu bukti atau tanda kekuatan dan kecemerlangan umat Islam.
Umat Islam yang sederhana dalam tindak tanduk dan perbuatan serta gaya hidup bukan bermaksud umat yang cukup dengan apa yang ada, tetapi diukur daripada aspek kejayaan, mereka yang sederhana ialah yang cemerlang, lebih daripada itu gemilang dan unggul.
Firman Allah yang bermaksud: "Begitulah Kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia." (Surah al-Baqarah, ayat 143)
Umat Islam yang positif kepada kesederhanaan adalah umat yang cintakan keamanan. Dengan erti kata lain, umat sederhana ialah umat yang bencikan kekacauan dan kerosakan. Kesederhanaan juga satu lambang kekuatan.
Melalui kesederhanaan juga, fitrah manusia dapat dipenuhi dan dibentuk dengan baik. Ini berdasarkan sahabat Rasulullah SAW (yang mempunyai kecenderungan masing-masing) berjumpa isteri Baginda SAW bertanyakan mengenai amalan Baginda.
Seorang daripada mereka memberitahu bahawa dia asyik berpuasa dan tidak berbuka. Seorang lagi menyatakan dia asyik mengerjakan solat sunat pada waktu malam tanpa tidur. Manakala seorang lagi mendedahkan bahawa dia tidak berkahwin.
Bagaimanapun apabila sampai cerita mereka itu kepada Rasulullah SAW, Baginda menegaskan bahawa Baginda orang yang paling bertakwa di kalangan mereka itu. Namun Baginda pernah berkahwin, mengerjakan solat sunat pada waktu malam tetapi tetap merehatkan badan dengan tidur dan berpuasa pada waktu siang tetapi berbuka apabila sampai waktu berbuka.
Tegasnya, kesederhanaan penting bagi mengimbangi tuntutan fardu ain dan fardu kifayah demi kebaikan di dunia dan akhirat. Ini sejajar firman Allah yang bermaksud: "Wahai Tuhan kami! Anugerahkan kami kebaikan di dunia dan akhirat." (Surah al-Baqarah, ayat 201)
Islam menuntut umatnya supaya bersederhana dalam pelbagai aspek. Umpamanya daripada sudut ibadah, kesederhanaan itu terserlah apabila umat Islam mengerjakan ibadah tetapi tidak lupa terus tanggungjawabnya kepada masyarakat.
Justeru, bolehlah dikatakan bahawa kesederhanaan Islam dalam urusan ibadah terletak antara amalan penganut yang hanya mementingkan kerohanian semata-mata dan penganut yang menolak aspek kerohanian keseluruhannya.
Dalam aspek kesihatan dan keterampilan pula, jelas Islam menggalakkan umatnya bersederhana daripada segi pemakanan, cara pakaian dan corak perbelanjaan.
Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai anak Adam! Pakailah pakaianmu yang indah pada setiap kali (memasuki) masjid. Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan." (Surah al-`Araf, ayat 31)
Dalam urusan dakwah juga umat Islam dikehendaki bersederhana tetapi itu tidak bermakna pendakwah menggadaikan prinsip Islam ketika mengajak golongan sasaran kepada Islam. Ia lebih merujuk kepada pendekatan dan cara pendakwah mendekati golongan sasaran supaya mereka faham dan mengikuti ajaran Islam.
Pendekatan itu terangkum dalam firman Allah yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu dengan cara hikmah, membawa pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka menggunakan pendekatan yang baik. Orang yang sederhana ialah orang berada antara dua pihak, iaitu pihak yang melampau dengan pihak yang mempermudah-mudahkan sesuatu urusan." (Surah an-Nahl, ayat 125)
Bukan mudah bersederhana, menjadi imam solat pun perlu bersederhana, jangan dibaca surah yang panjang, jika makmumnya tidak mampu berdiri lama. Sekali kita tidak akur pada nasihat Dia, tentulah iltizam kita pada-Nya pun berkurangan. Biarlah konsisten, asalkan selama-lamanya iman dan roh tauhid kita kental di persada agama.
No comments:
Post a Comment