Judul: Inspirasi Menuju Jalan Sempurna
Susunan: Muhammad Ibrahim Salim
Penterjemah: Zainudin Hashim
Penerbit: Mustread Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM29.90 (Semenanjung Malaysia) RM32.90 (Sabah/Sarawak)
MERENUNG sejenak terhadap tingkatan jiwa dengan menghayati ayat al-Quran membantu menuju jalan kesempurnaan. Pastinya niat murni itu perlu berpandukan kepada petunjuk yang diperoleh daripada pencarian ilmu.
Buku Inspirasi Menuju Jalan Sempurna mengandungi siri pendidikan yang dipetik daripada ayat al-Quran sebagai asas perbincangan untuk membawa generasi baru ke arah hala tuju hidup yang sempurna seperti dikehendaki Allah.
Walaupun ringkas, ia memuatkan tajuk yang boleh disifatkan padat, bertenaga dan mampu merubah sikap masyarakat terutama anak muda meniti jalan kebenaran kerana kupasannya menepati kehendak masyarakat masa kini.
Kepelbagaian persembahan yang mudah dengan mengumpulkan ayat al-Quran dalam kategori khusus memudahkan pembaca menggarap maklumat dengan pantas sekali gus dipraktikkan secara langsung.
Buku Inspirasi Menuju Jalan Sempurna secara keseluruhan menekankan persoalan akidah sebagai fokus perbincangan dan memfokuskan kepada remaja hari ini yang semakin hilang jati diri supaya merujuk ajaran Islam yang sepatutnya menjadi pegangan.
Di samping itu turut diselitkan beberapa contoh sifat mulia yang menjadi pemangkin kekuatan jati diri Muslim serta sifat keji yang perlu dihindari sebagai golongan mengharapkan kasih sayang Allah diperkuatkan nilai diteladani daripada sirah Nabi SAW, sahabat dan tokoh Islam terbilang.
Bab empat di bawah tajuk Berseronok Dengan Cahaya Petunjuk menggariskan asas tarbiah dan prinsip budi pekerti menurut perspektif al-Quran bagi membaik pulih jiwa, persoalan akidah dan hubungan individu dengan masyarakat.
Golongan yang disukai dan tidak disukai Allah turut dimuatkan dalam buku setebal 136 halaman itu berserta ayat dan sifat yang ada sebagai peringatan supaya umat Islam mengambil apa yang baik demi kesejahteraan hidup dan meninggalkan segala yang buruk.
Begitu juga manusia yang disebut Allah dalam al-Quran iaitu orang salih kerana mereka menggadaikan diri serta harta benda untuk mempertahankan kepentingan agama. Siapa yang dijanjikan suka dan duka turut didedahkan.
Bagaimana manusia mampu membentuk diri menjadi insan beriman? Ada tiga perkara perlu diberi perhatian dan jika pembaca bersungguh-sungguh ingin mengetahuinya, bacalah bab 10 buku Inspirasi Menuju Jalan Sempurna
Hakikatnya, al-Quran bukan saja membicarakan perkara ilmiah malah menyediakan petunjuk sepanjang jalan dalam pembentukan peribadi mulia terutama kepada anak remaja yang ingin membina wawasan mencari jalan ke syurga.
Wednesday, July 23, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment