TELITI TERMA: Pengguna perlu memahami segala syarat perjanjian sebelum menandatangani sebarang dokumen jual beli atau pinjaman.
Perjanjian mesti dalam persekitaran adil, saksama
MANUSIA pada amnya mengharapkan pelbagai perkara untuk meneruskan kelangsungan hidup. Pada pandangan Islam, keperluan adalah semua yang perlu bagi menjaga lima asas kehidupan iaitu agama, nyawa, akal fikiran, zuriat dan harta kekayaan.
Lazimnya, manusia berusaha memenuhi keperluan yang paling asas sebelum memenuhi kehendak lain pada peringkat lebih tinggi. Bagi memenuhi tuntutan itu kita akan berurus niaga yang sudah tentu merancakkan ekonomi negara.
Bagaimanapun, individu atau pengguna perlu sentiasa berhati-hati apabila memasuki sebarang perjanjian/akad yang mengikat mereka kerana kebanyakan perjanjian antara peniaga dan pengguna mengandungi syarat tidak adil.
Walaupun pengguna mungkin mengatakan dia tidak menyedari kewujudan syarat itu atau mungkin tidak membacanya, semua sudah terlewat apabila perjanjian ditandatangani.
Satu daripada perkembangan penting dalam perkara ini adalah kewujudan perjanjian bentuk seragam. Kemunculan perjanjian sebegini menghapuskan andaian bahawa ia hasil kerelaan bebas antara pihak terbabit.
Perjanjian bentuk seragam lazimnya banyak dicetak untuk diguna berulang kali bagi urusan sama. Ini biasanya digunakan oleh syarikat besar dalam urusan dengan pengguna. Penggunaan perjanjian ini begitu meluas sehingga hampir semua perjanjian pada hari ini adalah sebegitu rupa.
Amat sukar bagi pengguna meminda perjanjian bentuk seragam. Tiada rundingan antara kedua-dua pihak, mereka hanya mematuhinya. Perjanjian seperti ini jelas menafikan kebebasan pihak lain, yang selalunya lebih lemah untuk berunding syarat perjanjian.
Mungkin boleh disebut mengenai perjanjian pemberian biasiswa atau pinjaman pelajaran yang diberikan penaja kepada pelajar. Perjanjian sebegini bukan bertujuan berniaga serta mengaut keuntungan, namun jangan terperanjat jika perjanjian sebegini juga mengandungi syarat tidak adil serta bayaran tidak munasabah.
Sepatutnya perjanjian sebegini tidak menganiaya pelajar kerana ia diberi atas tujuan murni, iaitu untuk melanjutkan pelajaran, maka seharusnya niat murni itu juga terpancar pada perjanjian tanpa ada unsur penindasan mereka yang lemah.
Perjanjian bentuk seragam juga mengandungi syarat menghapus atau mengurangkan tanggungan pihak yang menyediakan perjanjian (fasal pengecualian). Contohnya apabila meletak kenderaan di suatu tempat berbayar, kita diberi tiket mengatakan syarikat tidak akan bertanggungjawab jika berlaku apa-apa pada kenderaan ketika berada di situ.
Kebanyakan perjanjian bentuk seragam juga menggunakan bahasa Inggeris. Bayangkan bagaimana seseorang yang tidak memahami bahasa Inggeris ketika menandatangani perjanjian yang mungkin mengandungi syarat yang memudaratkan itu.
Pengguna yang boleh berbahasa Inggeris pula, tetap menghadapi masalah memahami maksud syarat itu. Namun disebabkan tiada pilihan, ramai pengguna selalunya bersetuju dengan syarat itu tanpa memahami maksud sebenar.
Pengguna perlu dilindungi daripada syarat perjanjian yang berat sebelah dan tidak adil.
Undang-undang Inggeris mempunyai akta Akta Terma Tak Adil 1977 (Unfair Contract Terms Act 1977) yang akan mengawal syarat tidak adil dalam perjanjian bentuk seragam, termasuk fasal pengecualian.
Syarat yang didapati tidak adil, tidak boleh dilaksanakan. Malaysia masih belum mempunyai akta sebegini, jadi perlindungan kepada pengguna adalah mustahil. Kita masih dengan andaian bahawa individu itu bebas untuk membuat pilihan bijak, walaupun dalam perjanjian bentuk seragam, andaian itu tidak tepat sama sekali.
Islam menggalakkan usaha mewujudkan persekitaran yang adil dan saksama dalam sebarang perjanjian atau akad. Demi kemaslahatan bersama, pengguna dan peniaga sepatutnya bekerjasama dan berunding.
Pasaran terbuka menggalakkan persaingan, sepatutnya peniaga berminat memberi lebih maklumat dan kefahaman kepada pengguna sebelum mereka membuat keputusan. Kaedah begini lebih berkesan bagi jangka panjang daripada cara mengaut keuntungan segera dengan menindas pengguna.
Hubungan antara kedua-duanya mesti berlandaskan akhlak dan tingkah laku yang digalakkan Islam.
Undang-undang Islam memandang berat unsur penindasan dan penipuan dalam urus niaga.
Pengguna dan peniaga mesti sedar hubungan antara kedua-duanya akan menjadi saksi di hadapan Allah kelak. Hukuman akibat menipu dan muslihat dalam muamalat kepenggunaan pasti berlaku.
Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia
No comments:
Post a Comment