Oleh Mohd Adid Ab Rahman
KEKUATAN ekonomi, ilmu pengetahuan dan modal insan mampu menjadikan umat Islam hidup selesa di dunia dan berjaya di akhirat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila seseorang manusia meninggal, maka terputuslah amalannya kecuali daripada tiga sumber iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak salih yang mendoakannya." (Hadis riwayat Muslim)
Mungkin ada menganggap ia sebagai perkara biasa dan tiada kaitan dengan kehidupan di akhirat sedangkan itulah tonggak kekuatan umat Islam sebenarnya walaupun setelah mereka meninggal dunia.
Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam melakukan sedekah jariah untuk membantu saudara mereka yang kurang bernasib baik. Mencari harta kekayaan digalakkan begitu juga bersedekah.
Orang yang cinta Allah ialah orang yang dapat memenuhi sepanjang perjalanan hidupnya dengan bekerja mencari kekayaan dan pendapatan. Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Bahawasanya Allah itu cinta kepada orang mukmin yang bekerja (tidak menganggur)." (Hadis riwayat Tabrani)
Ilmu pengetahuan adalah pentingnya bagi manusia dan Islam dengan tegas mewajibkan setiap Muslim menuntut ilmu pengetahuan yang bermanfaat, bukan saja saja khusus kepada dirinya bahkan umat Islam secara amnya.
Ilmu yang mendatangkan faedah termasuk ilmu al-Quran dan hadis, fiqh dan ilmu agama dan ilmu lain termasuk kimia, falak, hayat, jiwa, kemasyarakatan dan kedoktoran.
Ilmu juga jambatan yang dapat mendekatkan hamba dengan Allah hingga menimbulkan rasa cinta kerana ilmu pengetahuan membolehkan seseorang menguasai segala macam kebaikan.
Allah berfirman yang bermaksud: "Tuhan memberi hikmat (ilmu pengetahuan) kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya dan barang siapa sudah diberi hikmat, maka bererti bahawa ia dikurniakan kebaikan sangat banyak. Tidak dapat mengingat yang sedemikian ini kecuali orang yang mempunyai akal." (Surah al-Baqarah, ayat 269)
Sesungguhnya anak yang salih tidak akan lahir jika salah didikan. Islam menitikberatkan bagaimana perlunya kepada pemilihan calon isteri yang baik untuk mendidik dan membimbing anak menjadi insan memiliki nilai Islam.
Apabila anak terbiasa dalam iklim lingkungan keluarga yang baik, ibu bapa mematuhi perintah Allah, anak akan dipengaruhi dengan nilai murni.
Sayyid Sabiq berkata: "Mendidik hati harus dilaksanakan sejak kecil dengan pengajaran dan latihan serta membiasakan sifat keutamaan bernilai tinggi. Selain itu juga dengan mematuhi menunaikan segala kewajipan yang telah ditentukan menurut peraturan agama..."
Jika umat Islam dapat menampilkan keluhuran akhlak, sudah tentu dapat mewujudkan kekuatan umat seperti mana tergambar dalam kegemilangan masyarakat di bawah pimpinan Rasulullah SAW di Madinah.
Thursday, July 17, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment