RASULULLAH bersabda yang bermaksud: "Para ulama itu adalah pewaris para Nabi." (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi)
Hari ini kita melihat orang yang mengejar ilmu pengetahuan semakin bertambah hingga bilangannya amat mengejutkan terutama muda mudi dalam pelbagai bidang. Ini menunjukkan wujud tanda positif bahawa kesedaran menuntut ilmu semakin meningkat sama ada di bandar atau luar bandar.
Allah SWT menciptakan alam dengan seluruh isinya penuh dengan rahsia yang perlu dibongkar demi manfaat manusia. Lantaran itulah Allah menjadikan manusia yang dibekalkan akal sebagai khalifah di muka bumi ini.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, sesungguhnya Aku hendak menjadikan Khalifah di bumi ini." (Surah al-Baqarah, ayat 30)
Sebagai khalifah, kita bertanggungjawab menguruskan bumi untuk kebaikan manusia, haiwan, alam sekitar dan planet lain yang berkaitan. Justeru, ia memerlukan penguasaan ilmu pengetahuan supaya amanah dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Selama manusia berusaha untuk meningkatkan taraf kehidupannya, menambah ilmunya, memperhebatkan peribadinya, prestasi kerjanya, penampilannya, maka selama itulah proses pendidikan berjalan terus.
Ini bermakna proses pendidikan dalam kehidupan manusia tidak terhad pada zaman persekolahan dan universiti saja malah berlaku sepanjang hayat. Sebab itu kita melihat ramai tokoh politik, pemimpin kerajaan, ulama dan mereka yang berjaya terus membaca dan menjadi ulat buku bagi memenuhi keperluan tuntutan agama, organisasi, masyarakat dan negara.
Jadikanlah usaha menuntut serta menguasai ilmu sebagai warisan generasi kita. Menuntut ilmu perlu menjadi budaya setiap individu, keluarga, masyarakat dan negara untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat.
Thursday, July 17, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment