Wednesday, July 30, 2008

Peguam Syarie Menulis: Perpaduan Islam wajar teras muzakarah

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

CAPAI KESEPAKATAN: Perbincangan secara baik untuk mencari penyelesaian mengenai sesuatu amat dituntut Islam. - Gambar hiasan


Pertemuan Pas-Umno perlu kesatuan akidah disertai keikhlasan hati

PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) gembira apabila pelbagai pihak mula membincangkan mengenai muzakarah antara Pas dengan Umno. Ia bermakna sesi percambahan fikiran sedang diadakan.

Kebaikan dan keburukan perkara ini diperhalusi semua pihak yang akhirnya akan membuahkan suatu keputusan jitu lagi padu pada kedua-dua belah pihak. Selepas semua perbincangan diadakan, terserahlah kepada Pas dan Umno membuat keputusan berhubung isu ini selepas mengambil kira semua pertimbangan serta faktor semasa.

Cakap-cakap politik mengenai perkara ini terus rancak berhubung pertemuan Pas dengan Umno dalam rangka kerjasama demi menjaga kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu. Perkara ini terus diperkatakan pada peringkat pimpinan Pas dan Umno. Malah, Parti Keadilan Rakyat (PKR), MCA dan DAP turut memberi ulasan masing-masing.

Menangani isu politik negara, kita harus menerima hakikat bahawa kedudukan parti politik di Parlimen ketika ini ialah tiada satu pun parti politik yang mempunyai kelebihan majoriti. Daripada 222 kerusi di Parlimen, pembahagian kedudukan kerusi ialah Umno (79), PKR (31), DAP (28), Pas (22), MCA (15), MIC (tiga) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) memiliki 14 kerusi.

Jika diteliti sebaiknya, kedudukan kerusi itu memang wajar mendesak kedua-dua pihak, iaitu Pas dan Umno untuk bersemuka bagi membincangkan kepentingan agama serta bangsa. Walau apa pun nama yang diberikan sama ada muzakarah (ingat mengingati), muqabalah (pertemuan), hiwar, musyawarah (bermesyuarat) atau muhadasah (perbincangan), tujuan utamanya adalah bagi membincangkan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu.

Sudah tentu pemimpin pelbagai peringkat kedua-dua parti akan berasa tidak selesa dan sedikit canggung dengan perkembangan terbaru ini kerana sejarah membuktikan bahawa renggangnya hubungan antara dua parti ini.

Kita sering melihat kedua parti ini saling bercakaran antara satu sama lain, bahkan kadang-kadang sampai ke tahap membimbangkan. Sering pula sesuatu strategi politik digarap bagi menjatuhkan parti satu lagi dan membiarkan parti lain tidak berteraskan Islam dan bangsa Melayu mempunyai ruang cukup untuk mengatur percaturan politik mereka. Natijahnya orang Islam tidak bersatu dan saling bercakaran antara satu sama lain.

Seperti diketahui umum, kerajaan Persekutuan tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen. Jika Pas menyokong usul kerajaan, maka kerajaan mempunyai kuasa lebih besar.

Begitu juga pada pihak Pakatan Rakyat. Jika terjadi tindakan melompat parti seperti dikatakan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi sekiranya Pas tidak menyertainya, maka kerajaan Pakatan Rakyat mungkin tidak akan dapat dibentuk.

Itulah senario kedudukan Pas sekarang. Walau apa pun kelebihan atau kekurangan, sepatutnya itu bukanlah faktor utama yang perlu diambil kira. Apa yang lebih penting ialah berbincang dan mencari jalan penyelesaian bagaimana dapat meletakkan Islam di tempat yang sebenar.

Reaksi diterima pada kedua-dua belah pihak adalah bercampur-campur. Ia dapatlah difahami kerana sejarah pertelingkahan antara kedua-dua pihak sukar dilupakan pihak pimpinan mahu pun ahli kedua-belah parti. Ketidakpuasan hati ini mungkin tidak dapat dipadamkan daripada memori pemikiran mereka.

Sebenarnya kerjasama sebegini hendaklah diteraskan kepada semangat Islam. Jika teras Islam itu diterima kedua belah pihak, maka akan lebih mudahlah ia mendatangkan keadilan kepada semua pihak.

Berbalik kepada muzakarah antara Pas dengan Umno, penulis berpendapat jika kedua-dua pihak ikhlas mahu mempertahankan Islam, maka ada baiknya setiap ruang dilihat bagi menilai sejauh mana kerjasama dapat dilakukan.

Walaupun kerajaan campuran tidak dibentuk, sekurang-kurang suatu tahap pemahaman dapat ditingkatkan antara kedua parti ini agar apa pun tindakan selepas ini, ia semestinya berteraskan kepada Islam.

Pertelingkahan yang terlalu lama antara Pas dan Umno tidak mudah dipadamkan dalam sekelip mata atau menerusi beberapa siri pertemuan. Tetapi langkah pertama itu sudah pun diambil bagi menuju ke arah ini.

Oleh itu, kedua-dua pihak mesti lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan atau membuat sebarang tindakan supaya selaras dengan hasrat menegakkan kalimah Allah di bumi Malaysia. Tanpa kesatuan aqidah disertai dengan keikhlasan hati, tidak mungkin sebarang kerjasama dapat diadakan.

Jika Pas dan Umno menoleh ke belakang, sudah tentu tidak akan dapat dicapai kata sepakat. Tetapi lihatlah ke depan. Namun kedua-dua belah pihak berhak berhati-hati dan berwaspada dalam semua tindakan kerana mungkin ada pelbagai helah yang akan memakan diri sendiri dari sudut politik.

Sudah sampai masanya orang Islam melihat sesuatu menjangkaui batasan siasah kepartian dan berusaha memastikan Islam itu terus dipertahankan.

Sebenarnya terlalu banyak perlu dilakukan untuk Islam, sama ada di Malaysia atau pada peringkat global. Orang Islam perlu mengorak langkah ke hadapan dan menjadi model kepada orang lain, bukan menjadi bahan cemuhan atau diperlekehkan.

Jika muzakarah ini tidak berjaya menghasilkan sesuatu dalam masa terdekat, kita semua tidak boleh berputus asa. Apa yang lebih penting ialah kesedaran mengenai perpaduan umat Islam dapat disemai pada kedua-dua belah pihak.

Mungkin masa belum sesuai lagi bagi merealisasikan impian, tetapi usaha ke arah itu hendaklah dimulakan sekarang. Selaku sebuah badan Islam, PGSM menyokong sepenuhnya sebarang usaha ke arah menjayakan muzakarah ini.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Layari http://peguamsyarie.blogspot.com

No comments: