KHUSYUK: Orang ramai yang menghadiri Seminar 'Cabaran Saudara Baru dan Memahami Agama Lain' di Dewan MBSA, Shah Alam, baru-baru ini.
Pendakwah perlu faham agama lain sebagai persediaan perjelas kebenaran Islam
PERANCANGAN mengenai keperluan saudara baru di negara ini terutama berkaitan penggubalan undang-undang perlu merujuk kepada kumpulan berkenaan atau mereka yang pakar supaya hasilnya benar-benar memberi manfaat dalam pembangunan golongan itu.
Berdasarkan perkembangan semasa, niat murni untuk membantu menyelesaikan masalah dihadapi saudara baru gagal menghasilkan jalan penyelesaian terbaik sebaliknya menimbulkan lebih banyak masalah atau kekeliruan.
Naib Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Ridhuan Tee Abdullah, berkata perkara itu berlaku disebabkan saudara baru atau pertubuhan yang menjaga kebajikan mereka tidak diajak berbincang untuk mengetahui keperluan serta masalah dihadapi.
Katanya, perancangan yang dibuat sama ada pembangunan atau perundangan membabitkan kepentingan saudara baru tidak pernah mengambil kira maklum balas atau pandangan golongan itu sedangkan mereka berhak menentukan apa yang terbaik untuk mereka.
"Contohnya, cadangan supaya saudara baru memberitahu keluarga mereka ingin memeluk Islam. Perkara ini sukar dilaksanakan kerana ada keluarga membantah keras hasrat mereka untuk memeluk Islam.
"Disebabkan itu, ada yang belum sempat memeluk Islam terpaksa membatalkan hasrat itu, manakala yang sudah memeluk Islam pula mendapat tekanan keluarga. Cadangan itu menyusahkan mereka dan ia juga kerugian kepada Islam.
"Sepatutnya apabila ada yang ingin memeluk Islam kita perlu mudahkan urusan itu serta meringankan bebanan mereka dengan memberi segala bentuk bantuan," katanya pada Seminar Cabaran Saudara Baru dan Memahami Agama Lain, baru-baru ini.
Seminar anjuran bersama Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Jemaah Islah Malaysia (JIM) dan Majlis Bandaraya Shah Alam bertujuan mendedahkan cabaran dihadapi saudara baru apabila mereka memilih Islam.
Ridhuan berkata, cabaran dihadapi saudara baru kini semakin rumit apabila wujud campur tangan termasuk daripada bukan Islam yang tidak memahami urusan kehidupan mereka yang memeluk Islam.
Katanya, jika dulu cabaran hanya tentangan keluarga terhadap hasrat untuk memeluk Islam tetapi kini berlaku tentangan perundangan hingga menyebabkan berlaku salah faham seolah-olah Islam menganiaya bukan Islam.
"Hingga kini belum ada undang-undang khusus untuk membantu mereka terutama apabila berdepan masalah tentangan, ancaman atau perundangan bagi membolehkan saudara baru menyelesaikan kemelut dihadapi.
"Masalah timbul sebab kita tidak ada dokumen, jika ada dokumen tidak ada hak orang bukan Islam campur tangan dalam urusan saudara baru. Ini cabaran baru kerana dulu tidak ada. Ini sebab masalah timbul kerana perebutan mayat.
"Selama ini saudara baru banyak bertolak ansur dalam semua perkara membabitkan mereka dan apabila tidak ada masalah, tidak mengapa. Tetapi sekarang pelbagai masalah timbul hingga mengganggu ketenangan saudara baru," katanya.
Beliau berkata, tidak dinafikan peraturan atau undang-undang cuba dilaksanakan untuk menjaga kebajikan saudara baru, tetapi usaha itu memerlukan kajian mendalam terutama dari segi implikasinya kepada mereka yang ingin memeluk Islam.
Ridhuan berkata, pendekatan dakwah juga tidak mesra saudara baru kerana cara dakwah yang diadakan sekarang lebih bersifat perkauman dan tidak menunjukkan nilai Islam sejagat hingga di negara ini gagal menangkis persepsi masuk Islam itu bererti masuk Melayu.
Justeru katanya, usaha perlu dilakukan bagi memastikan saudara baru tidak merasa terpinggir dan hanya berada dalam kumpulan mereka saja kerana Islam menggalakkan umatnya berkenal-kenalan serta menjalinkan silaturahim.
"Seperti masjid di negara ini, apa salahnya jika ada papan tanda tulisan Cina atau Tamil supaya saudara baru bangsa Cina dan India berasakan mereka juga dialu-alukan untuk masuk ke masjid itu. Memang nampak remeh tetapi ini boleh membantu," katanya.
Sementara itu, Pengasas Hidayah Centre Jemaah Islah Malaysia (JIM), Muhammad Abdullah Nicholas Sylverster yang membincangkan mengenai asas ajaran Kristian sebagai perbandingan antara agama di Malaysia berkata, pendakwah perlu mendalami agama lain bagi memudahkan mereka berhujah dengan masyarakat pelbagai bangsa di negara ini.
Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk 'Mengenali Sejarah dan Ajaran Kristian Serta Isu Berkaitan' berkata usaha mengadakan perbincangan atau dialog antara agama sering gagal kerana bukan Islam akan menggunakan landasan itu untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka.
Oleh itu katanya, dialog perlu fokus kepada matlamat memahami antara satu sama lain dan bagi tujuan itu pendakwah atau ulama Islam hendaklah mengetahui sejarah serta ajaran agama lain sebagai persediaan.
"Bagi tujuan dakwah memang kita perlu mengetahui ajaran agama lain. Bukan untuk merendah atau mencari perbezaan tetapi menjelaskan kebenaran Islam. Mereka hendak terima atau tidak, terpulang tetapi persediaan perlu supaya kita mampu berdepan dengan mereka.
"Bagi umat Islam memahami agama lain bagus kerana Islam tidak pernah rasa kalah atau takut kalah kerana tidak ada rahsia dalam Islam. Oleh itu kita perlu membuka ruang untuk berdialog kerana usaha itu menguntungkan," katanya.
Perkara sama turut dibangkitkan Pengarah Unit Dakwah Persatuan Kebajikan dan Perubatan Islam Malaysia, Muhammad Fitri Abdullah yang berkata, titik persamaan dalam agama yang dianuti boleh membuka lebih banyak ruang perbincangan.
Beliau yang sudah memeluk Islam sejak 17 tahun lalu berkata, mengenali kepercayaan dan kebudayaan orang India di Malaysia pula memudahkan jalan untuk berdakwah serta mengekalkan perpaduan pelbagai kaum.
Katanya, mereka yang mendalami ajaran serta kepercayaan agama lain pasti akan terkejut kerana di sebalik tanggapan bahawa semua itu berbeza sebenarnya wujud persamaan terutama dalam kitab asal ajaran sebelum diubah suai mengikut kehendak semasa.
"Selama ini kita mempunyai tanggapan salah terhadap agama Hindu. Masyarakat di Malaysia menganggap menyembah berhala dan menyambut hari kebesaran keagamaan adalah agama Hindu. Yang paling malang, masyarakat Hindu sendiri salah faham terhadap agama mereka.
"Hakikatnya, agama Hindu adalah antara agama yang terawal membicarakan mengenai tauhid tetapi kerana tiada dakwah dan penguatkuasaan, agama itu diubah mengikut cita rasa dan keperluan semasa," katanya yang membentangkan kertas kerja bertajuk 'Mengenali Agama Hindu'.
No comments:
Post a Comment