Sunday, July 20, 2008

Balasan segera terhadap dosa jadi iktibar

PENGALAMAN ini berlaku ketika saya mengerjakan haji bersama ibu dan ayah. Ketika kami sampai di Lapangan Terbang Jeddah, tiba-tiba seorang jemaah menjerit-jerit seperti kebudak-budakan. Dia mengambil batang penyapu dan beraksi seperti kanak-kanak bermain `tembak-menembak'. Saya mendapat tahu, dia mengerjakan haji menggunakan wang anak yatim. Apakah semestinya pembalasan perbuatan dosa berlaku di Tanah Suci dan mengapa pula ada yang tidak menerima pembalasan begitu?

NORCAHAYA RAMLI,
Selangor.

Manusia yang melakukan dosa pasti menerima balasan azab dari Tuhan, kerana ia adalah sunnatullah yang tetap akan berlaku walaupun tidak dapat dilihat.

Kita perlu mengambil iktibar daripada sejarah lampau bahawa segala yang diperintahkan oleh Allah wajib ditaati dan nikmat Allah hendaklah disyukuri, kerana Allah yang berkuasa menjadikan sesuatu.

Sesungguhnya balasan Allah terhadap mereka yang melakukan kezaliman dan mereka yang melakukan zina amat menyakitkan.

Janji dan amaran Allah itu pasti akan berlaku dan wajib diyakini. Rasulullah menggambarkan azab paling ringan di akhirat (neraka) yang akan dialami oleh seseorang, iaitu jika dua biji api neraka itu diletakkan di kedua-dua telapak kaki, nescaya menggelegak otak orang itu.

Dalam sebuah hadis dijelaskan, sesungguhnya Allah apabila mengasihi hamba yang melakukan dosa Allah akan menyegerakan balasannya ketika masih hidup di dunia. Itulah yang diistilahkan sebagai `kifarah'.

Kifarah boleh berlaku dalam bentuk kefakiran, kematian atau penyakit. Bukan mustahil kemusnahan harta seperti kebakaran, kecurian, rebutan harta di kalangan keluarga, kerugian yang tidak diduga, musnah akibat banjir dan sebagainya adalah kifarah Allah terhadap orang yang banyak melakukan dosa seperti rasuah, peras ugut, harta yang diperoleh hasil perbuatan haram, judi dan pelacuran.

Begitu juga dengan penyakit yang menimpa seseorang, anak isteri dan sebagainya yang boleh berlaku mungkin sebagai kifarah Allah, yang akhirnya memusnahkan segala-galanya.

Allah memberi amaran mengenai bala akibat daripada maksiat hamba di muka bumi.

Apabila ketentuan Allah itu berlaku, maka ia tidak membezakan antara mereka yang terbabit melakukan dosa dan tidak melakukan dosa, termasuk kanak-kanak dan bayi yang masih menyusu dalam dakapan ibu. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat yang telah kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak kami berikan kepada kamu. Dan kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka. Kemudian kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka sendiri dan kami ciptakan sesudah mereka umat yang lain?" (Al-An'aam: 6)

Disediakan oleh Panel Soal Jawab Agama, Bahagian Dakwah Jakim

No comments: