Saturday, February 21, 2009

Pemimpin berintegriti, amanah tonggak kecemerlangan negara

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

AMANAH adalah nilai peribadi mukmin sejati dan sangat dituntut Islam ke atas setiap umatnya, tanpa mengira pangkat serta kedudukan lebih-lebih lagi terhadap pemimpin. Pemimpin yang memiliki sifat amanah adalah imej perwatakan diri yang unggul.

Ketiadaan sifat amanah boleh menjerumuskan seseorang dalam kategori orang munafik seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tanda orang munafik itu ada tiga, apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mengingkarinya dan jika diberi amanah dia khianati."

Saidina Abu Bakar ketika menyampaikan ucapan dasarnya selepas dilantik sebagai khalifah menyatakan, kejujuran adalah suatu amanah dan pendustaan adalah suatu khianat.

Demikian gambaran kedudukan nilai amanah pada setiap mukmin supaya amanah menjadi sebahagian daripada jati diri umat Islam ke arah mencapai kecemerlangan dalam apa juga yang dilakukan di dunia ini.

Amirul Mukminin Umar Abdul Aziz dikunjungi emak saudaranya. Tujuannya adalah kerana berhajat untuk meminta tambahan wang saraan dari Baitulmal. Pada waktu itu Umar sedang makan kacang bercampur bawang dan adas, iaitu makanan yang dimakan rakyat biasa.

Melihat emak saudaranya datang berkunjung, Umar pun berhenti makan lalu mengambil sekeping wang bernilai satu dirham dan membakarnya. Kemudian, Umar membungkus wang itu dengan sehelai kain dan diberikannya kepada emak saudaranya sambil berkata: "Inilah tambahan saraan wang yang makcik minta."

Apabila dipegang, emak saudaranya lantas menjerit kerana kepanasan. Kemudian Umar berkata: "Jika api dunia terasa sangat panas, bagaimana nanti api neraka yang akan membakar diriku dan makcik kerana mengkhianati amanah dan berbuat seleweng terhadap harta kaum muslimin?"

Peristiwa antara Khalifah Umar Abdul Aziz dengan emak saudaranya itu jelas menunjukkan Umar sangat menjaga nilai amanah hatta kepada kaum kerabatnya sendiri. Begitulah suci dan luhurnya peribadi seorang khalifah agung.

Peristiwa itu sewajarnya memberi pengajaran supaya sentiasa mengamalkan sifat amanah sebagai agenda hidup. Jika amanah sudah kukuh dan mantap terserap dalam diri seseorang mukmin, pasti sukarlah syaitan mempengaruhinya.

Membentuk dan menggemilangkan sesebuah negara, pemimpin mesti seorang yang berintegriti dan kuat sikap amanahnya. Rasulullah SAW ketika memilih pemimpin sangat peka terhadap nilai amanah pada seseorang itu sebelum dilantik sebagai pemimpin.

Hal itu bertepatan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya sebaik-baik orang hendak engkau ambil untuk bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai)." (Surah al-Qasas, ayat 36)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)." (Surah al-Nisa', ayat 58)

No comments: