Sunday, February 22, 2009

Persoalan Agama: Ketua jabatan datang lewat, balik awal cetus perbalahan

Soalan:

Saya bekerja di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang. Saya mempunyai ketua yang sering masuk lewat iaitu pada tengah hari sedangkan dia sepatutnya masuk jam 9 pagi seperti kami.

Anehnya, beliau juga pulang paling awal kira-kira jam 4.30 petang berbanding pekerja lain. Apakah hukum tindakan seperti itu? Bagaimana dengan status gaji yang diterimanya sama ada halal atau haram kerana tempoh kerjanya tidak mencukupi lapan jam?

Bagaimana pula dengan kami? Apakah kami perlu menegurnya atau membiarkan keadaan itu?

Norain Ali,
Pulau Pinang.

Jawapan:
Bekerja adalah ibadat jika dilakukan dengan memenuhi syarat seperti niat yang betul atau cara kerja tidak melanggar syariat. Dengan niat dan etika yang betul, bekerja memperoleh pahala.

Oleh itu, jika seseorang tidak menepati waktu, sentiasa menggunakan waktu pejabat untuk perkara lain atau datang lambat balik awal, maka pekerja itu tidak berintegriti, tiada disiplin dan amanah serta tidak beretika.

Apatah lagi yang melakukannya seorang ketua yang sepatutnya menunjukkan teladan kepada orang bawahan kecuali jika dia mempunyai keperluan keluar pejabat bagi urusan kerja seperti mesyuarat, seminar atau majlis yang perlu dihadiri ketua jabatan.

Saudari dan rakan boleh menegur secara berhemah. Contohnya, menganjurkan hari kualiti, ceramah integriti, melanggan buku motivasi atau majalah agama.

Ia satu cadangan dalam memberi kesedaran kepada ketua saudari, tetapi pada waktu sama turut meningkatkan kesedaran serta semangat kepada kakitangan lain.

No comments: