Friday, February 20, 2009

Ummah wajib mentaati pemerintah

Bersama Wan Zahidi Wan Teh

IMAM Ibnu Hajar Al-Makky A-Haitamy, seorang ulama syafi'e terkemuka menyebut dalam kitabnya Al-Zawajir 'An Iqtiraf Al-Kabaair bahawa menderhaka kepada pemerintah adalah satu dosa besar.

Beliau menyebut beberapa dalil, antaranya hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: "Tiga golongan Allah tidak berkata-kata dengan mereka pada hari kiamat, tidak melihat kepada mereka, tidak membersihkan dosa mereka dan mereka akan menerima azab yang pedih."

Diriwayatkan lagi yang bermaksud: "Seorang yang mengaku setia kepada seorang pemerintah, ia berbuat demikian kerana keduniaan; jika diberi, ia tunaikan kesetiaannya, tetapi jika tidak diberi, ia menderhaka."

Imam Ibnu Hajar juga memetik perkataan Saidina Ali yang bermaksud: "Dosa besar itu ialah mensyirikkan Allah, membunuh manusia, makan harta anak yatim, menuduh seseorang berzina, menderhaka kepada dua ibu bapa dan membatalkan kesetiaan kepada pemerintah."

Perhatikan bagaimana menderhaka kepada pemerintah diletakkan sama dengan dosa besar yang utama seperti syirik, membunuh, derhaka kepada ibu bapa, makan riba dan seterusnya.

Apa yang disebut Ibnu Hajar ini adalah pendapat yang ijmak di kalangan ulama, seperti dinyatakan Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam kitabnya Fathul Baari: "Sesungguhnya fuqaha sudah sependapat mengatakan wajib taat kepada sultan yang memerintah dan berjihad bersamanya."

Ijmak ulama itu bersandarkan dalil al-Quran dan sunnah seperti berikut:

# Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul-Nya dan ulil amri daripada kalangan kamu." - (Surah an-Nisaa, ayat 59)

Imam al-Mawardi sewaktu mengulas ayat ini menyatakan, melalui ayat ini Allah mewajibkan kita taat kepada ulil amri, iaitu pemimpin negara yang memerintah kita. (Al-Ahkam al-Sultaniyah)

# Selain daripada itu ada hadis yang banyak menjelaskan kewajipan ini. Antaranya, hadis sahih riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Hibban dan Thabarani yang meletakkan ketaatan kepada pemerintah setara dengan rukun Islam.

Ketika berkhutbah pada Haji Wida', Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Demi sesungguhnya hendaklah kamu beribadat kepada Tuhanmu, tunaikan solat lima waktu, berpuasalah pada Ramadan, keluarkan zakat harta dengan suci hatimu, dan taatilah pemerintah kamu; maka dengan itu kamu akan memasuki syurga Tuhanmu."

Perhatikan bagaimana kemasukan ke syurga diikat juga dengan mentaati pemerintah di samping menunaikan rukun Islam.

Berpandukan nas yang ada dalam al-Quran dan sunnah, Imam Abu Bakar Al-Turtusyi dalam kitabnya Siraj Al-Muluk merumuskan: "Orang yang keluar daripada garis ketaatan akan terputus perlindungan Allah, terlepas daripada jaminan-Nya, serta menukar nikmat dengan kufur (nikmat). Taat kepada pemerintah adalah tali Allah yang kukuh, agama-Nya yang lurus, perisai-Nya yang melindungi dan pemeliharaan-Nya yang tinggi."

Bertolak daripada keterangan di atas juga, maka sebarang bentuk tunjuk perasaan bertujuan mencabar pemerintah adalah haram seperti dinyatakan dalam sebuah hadis sahih riwayat al-Bazzar yang bermaksud: "Mana-mana kumpulan manusia berarak ke arah sultan dengan tujuan merendahkannya, maka mereka akan dihina oleh Allah sebelum hari kiamat."

Dengan demikian, adalah jelas bahawa kenyataan dibuat oleh Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria baru-baru ini mengenai kewajipan mentaati titah Sultan Perak adalah benar dan mengikut hukum syarak seperti yang disepakati ulama berasaskan dalil daripada al-Quran dan sunnah.

Penulis ialah Mufti Wilayah Persekutuan

No comments: