Oleh Mohd Kamel Mat Salleh
ISLAM dari sudut bahasa diambil daripada perkataan bahasa Arab salima yang mengandungi tiga makna iaitu, tulen dan suci daripada sebarang kecacatan zahir dan batin; damai, aman dan sejahtera dan taat tunduk, patuh dan menyerah.
Pengertian kedua jelas menggambarkan Islam adalah agama perdamaian, keamanan dan tidak suka kepada perpecahan. Justeru, dapat dilihat Islam sejak dekad awal penyebarannya hingga ke abad ini menyerlahkan ciri-ciri keselamatan terkandung dalam inti pati ajarannya yang menjadi teras dan prinsip utama dakwah Islamiah.
Lafaz al-Salam dan al-Islam adalah umpama darah mengalir dalam tubuh yang menghidupkan insan, lantas ia tidak boleh dibahaskan secara terpisah lantaran kedua-dua istilah ini bertemu dalam skop dan konotasi yang sama iaitu dalam ruang lingkup perdamaian dan keamanan.
Lantaran itu, jika diteliti salah satu daripada Asma Allah al-Husna ialah al-Salam manifestasi kepada keindahan nama dan sifat Allah yang memiliki ciri-ciri kesempurnaan.
Rasulullah sebagai utusan Allah yang menyebarkan agama ini pastinya juga adalah pembawa risalah al-Salam yang melaksanakan perintah Khaliqnya menyeru kepada perdamaian, petunjuk, cahaya dan kebaikan menepati kebenaran wahyu Ilahi yang bermaksud "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam" � (Surah al-Anbiya' ayat 107).
Dalam menjaga hubungan baik sesama Muslim, Islam mengajar satu kaedah pertautan hati, silaturahim dan pertalian insan bersaudara melalui ucapan salam. Tepatlah maksud hadis Nabi Muhammad SAW, "Orang yang paling utama di sisi Allah dan yang paling hampir dengan-Nya ialah orang yang memulakan pertemuan dengan ucapan salam".
Rasulullah juga mendidik umat melalui sabdanya yang bermaksud "Mulakan salam sebelum kalam (berkata-kata)". Tujuannya ialah kerana ucapan salam itu menjamin keamanan, kesejahteraan, menghilangkan persengketaan dan menjauhkan dendam serta permusuhan. Begitu juga dalam adab berdoa dipanjatkan kepada Allah diakhiri dengan ucapan selawat serta salam.
Dalam etika peperangan, Islam mengajar, sekiranya pihak musuh inginkan perdamaian (termasuk jika mengucapkan salam), maka peperangan itu hendaklah dihentikan. Hal ini dijelaskan oleh ayat yang panjang dalam surah al-Nisa' ayat 94. Adab ini amat jauh bertentangan dengan sifat buruk tentera Israel yang tanpa belas kasihan membunuh kanak-kanak, orang tua, kaum perempuan, memusnahkan tempat kediaman dan rumah Ibadah (masjid) sedangkan semua itu dihalang oleh Islam daripada dibunuh dan dimusnahkan. Ia adalah kerana konsep al-Salam hanya ditekankan oleh Islam tetapi ia diabaikan oleh musuh Islam.
Fakta dijelaskan ini adalah bukti yang membenarkan Islam adalah agama yang mementingkan kesejahteraan dan sentosa sama ada sesama masyarakat Islam mahupun terhadap berlainan agama.
Untuk perbahasan yang lebih luas dan global, al-Salam bukan sekadar moto yang dilaungkan untuk diaplikasi dalam hubungan sesama Muslim, malah lebih luas mencakupi hubungan baik antara orang Islam dengan pelbagai agama lain.
Nabi SAW bersabda bermaksud "Perbandingan sesama orang mukmin dari sudut kasih sayang antara mereka adalah seumpama satu jasad, apabila satu anggota berasa sakit, maka anggota lain turut merasa sakit dan berjaga malam".
Dalam menjalinkan hubungan di antara orang Islam dengan bukan Islam, ia diikat atas asas taaruf iaitu perkenalan antara satu sama lain.
Maka tuntutan dalam merealisasikan perhubungan baik ini antaranya ialah saling berbaik antara satu sama lain, menjunjung prinsip keadilan dalam perhubungan, menyuruh membuat kebaikan dan mencegah dari berleluasanya keburukan serta kejahatan.
Penekanan terhadap konsep keamanan, keselamatan dan kesejahteraan dijunjung oleh Islam melangkaui batasan agama dan bangsa, malah ia tegak juga atas dasar pentingnya menjaga kehormatan insan itu sendiri walaupun berbeza anutan dan kepercayaan.
Penghormatan terhadap kemuliaan insani ini bertitik tolak kepada perlunya sesama makhluk mendapat hak untuk hidup, kebebasan, bergerak ke mana saja, keperluan memiliki harta dan sebagainya. Maka apabila hak ini dihalang atau dicabuli, ia adalah suatu kesalahan dan dosa kerana melampaui hak asasi manusia lain.
Lantaran, Islam mengharamkan rampasan hak orang lain sama ada melalui pencerobohan, pergaduhan, peperangan dan seumpamanya. Firman Allah SWT yang bermaksud "Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya" - (Surah al-A'raf ayat 56).
Secara kasarnya syariat Islam tidak membenarkan berlakunya peperangan lantaran menjunjung prinsip yang cintakan keamanan dan kestabilan hidup. Namun dalam keadaan tertentu Islam membenarkannya dengan tujuan mempertahankan diri dan mempertahankan daripada berlakunya kezaliman.
Keistimewaan Islam dalam hal berkaitan peperangan ini sifat tasamuh atau bertolak ansur terutama apabila pihak musuh inginkan perdamaian walaupun dalam keadaan perdamaian yang ditunjukkan adalah helah atau tipu daya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment