Thursday, February 26, 2009

Berbalah tamakkan kuasa roboh perpaduan

Nik Salida Suhaila Nik Saleh


TANGGUNGJAWAB mempertahankan negara dengan apa juga cara pun besar ganjarannya di sisi Allah, apatah lagi yang sanggup mengorbankan nyawa kerana tanah air tercinta. - Foto hiasan


Semangat jihad tinggi, kekentalan rohani mampu pertahan tanah air daripada dijajah

PELBAGAI cara boleh digunakan untuk mempertahankan negara dan tanah air tercinta daripada gangguan serta pencerobohan luar yang tamak kuasa untuk menguasai segala-galanya di sesebuah negara.

Sejak awal pembinaan tamadun lagi sejarah membuktikan bahawa bangsa asing akan meninjau sesebuah penempatan sebelum mula menapak untuk membina empayar keluarga, ekonomi, politik malah hubungan antarabangsa sehingga akhirnya mereka menuntut hak sama dengan warga asal sesuatu penempatan diteroka.

Hal ini bukanlah luar biasa, cuma senario hari ini tidak sama dengan apa yang dibuktikan sejarah. Tiada lagi kapal layar berlabuh meletak sauh atau rempah ratus yang menjadi boneka dagangan, yang ada ialah pencerobohan minda mengkhayalkan sehingga kita lupa asal usul dan kepayahan menuntut kebebasan daripada penjajahan.

Kadangkala kita lupa menyelak latar belakang dan asal kejadian kerana lali dengan kuasa serta kemewahan sehingga sanggup berperang sesama saudara, akhirnya orang lain yang menang.

Tugas mempertahankan negara dengan apa juga cara pun besar ganjarannya di sisi Allah, apatah lagi yang sanggup mengorbankan nyawa kerana tanah air tercinta.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa berperang di jalan Allah walaupun sekejap, iaitu sekadar tempoh orang memerah susu unta, maka wajib baginya syurga. Dan barang siapa memohon kepada Allah dengan sungguh-sungguh untuk berjihad kemudian ia meninggal dunia atau dibunuh, maka sesungguhnya baginya adalah balasan syahid.

"Dan barang siapa terluka atau ditimpa kemalangan di jalan Allah, maka ia datang pada hari kiamat sederas darah yang mengalir ketika ia luka, warnanya seperti za'faran dan baunya bagaikan wangian kasturi." (Hadis riwayat Imam Abi Daud daripada Muaz)

Justeru, tidak hairanlah apabila kita membaca kisah para sahabat Rasulullah SAW yang syahid di medan perang, darahnya merah segar mengalir deras tanpa henti dan baunya sewangi kasturi yang boleh dihidu berbatu jauhnya.

Bahkan syuhada di Gaza juga sudah ditunjukkan Allah akan kekuasaan-Nya, di mana mereka yang terbunuh bagaikan tidak sabar menghuni syurga diwajibkan bagi mereka. Yang hidup pula bagaikan tidak sabar mengikut jejak mereka yang terpilih oleh Allah dan sentiasa berdoa supaya masanya tiba buat mereka turut syahid kerana mempertahankan negara demi agama.

Untuk mempertahankan negara, kita bukan saja dibentuk oleh agama supaya mempunyai semangat juang yang tinggi malah juga kekentalan rohani. Keampuhan jiwa inilah menjadikan seseorang itu pejuang sebenar di jalan Allah.

Mereka mampu bertahan dalam apa juga keadaan, tidak mudah mengaku kalah walau ditawarkan pelbagai habuan sebagai balasan mempertaruhkan tanah air kepada kuasa luar. Tentera Islam dulu kala juga kuat dan teguh kerana ketaatan kepada Allah yang ditonjolkan dengan mentaati pemimpin.

Menjadi kewajipan orang yang dipimpin mentaati ketua selagi perkara yang diarahkan tidak melanggar hukum Islam. Inilah yang dapat membentuk angkatan tentera benar-benar bertanggungjawab dan rela berkorban demi negara.

Bayangkan jika mereka berbalah sesama sendiri kerana tamakkan kuasa, sudah tentu ia boleh memecah-belahkan perpaduan dan persefahaman serta merobohkan benteng serta kekuatan yang dibina dengan susah payah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan musuh maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapi dan sebutlah serta ingatlah Allah dengan banyakkan berdoa, supaya kamu berjaya mencapai kemenangan." (Surah al-Anfaal, ayat 45)

Ia dibuktikan dalam Peperangan Uhud, apabila tentera pemanah keluar dan turun dari tempat pertahanan mereka dan melanggar perintah Rasulullah SAW supaya bertahan di lereng bukit Uhud walaupun apa terjadi dengan mendakwa mereka tahu apa yang perlu dibuat dan akhirnya pasukan tentera Islam berpecah belah kerana keliru antara perintah ketua serta dorongan perasaan.

Mujur semangat jihad tinggi yang tidak ada pada tentera musuh menyebabkan mereka masih dapat bertahan menghadapi serangan walaupun akhirnya ramai yang syahid. Islam tidak mengajar umatnya menceroboh atau memerangi sesiapa saja yang menolak agama Allah tetapi umat Islam dituntut mempertahankan negara kerana agama.

Allah meminta kita berlaku adil kepada setiap warga negara meskipun berlainan agama dengan mengamalkan cara hidup yang damai dan makmur selagi mana umat Islam tidak dimusuhi kerana agama mereka dan selagi tidak diusir dari tanah air mereka.

Tetapi Allah melarang orang Islam berbaik dengan orang yang memusuhi mereka kerana mereka beragama Islam apatah lagi yang menolak hukum Allah ke atas umat Islam sendiri.

Allah berfirman yang bermaksud: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim." (Surah al-Mumtahanah, ayat 8 dan 9)

Bukan mudah mempertahankan negara, bahkan ia menuntut komitmen semua pihak daripada setiap lapisan masyarakat. Jika angkatan bersenjata menggunakan semua kelengkapan pertahanan yang ada untuk menghalang segala ancaman dan pencerobohan musuh yang menggugat keamanan dan kedaulatan negara, bagaimana pula dengan yang lainnya?

Kepada seorang pendekar, negara dibela dengan mata pedangnya, pemimpin dengan menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat penuh wibawa dan kesungguhan, pendidik dengan suluhan ilmu menjadi perisai kepada setiap yang berfikir supaya membuat pertimbangan waras apabila menghadapi kemelut dan konflik.

Imam dan cerdik pandai agama dengan mengentalkan jiwa dan rohani setiap warga tanah air supaya sentiasa waja mempertahankan negara daripada penjajahan minda serta budaya yang boleh menggadaikan agama.

Sementara setiap individu pula perlu menanam rasa kasih dan cinta kepada tempat tumpah darahnya, jangan sampai tergadai kerana diulit mimpi yang indah-indah.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Malaysia (Usim)

No comments: