Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
PIHAK industri luar negara memohon pensijilan halal Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana mengakui kelebihan logo halal itu terutama untuk meningkatkan hasil jualan serta menarik pengguna Islam.
Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Mohd Amri Abdullah, berkata pensijilan halal kini bukan mengenai hukum syarak saja, sebaliknya menjadi strategi utama pemasaran pihak industri termasuk syarikat luar negara untuk meningkatkan penjualan.
Bagi sijil halal Malaysia pula katanya, ia mendapat perhatian industri luar negara kerana sistem pensijilan halal yang dipertanggungjawabkan kepada Jakim itu diiktiraf dunia dari segi dokumentasi dan kualiti standard yang ditetapkan.
"Pensijilan halal Jakim menggabungkan Islam (hukum syarak) dan sains (teknologi) menjadikan logo halal Malaysia diiktiraf di peringkat dunia. Oleh itu, setiap tahun kita lihat ada peningkatan permintaan menggunakan logo halal Malaysia termasuk dari luar negara.
"Kajian menunjukkan jualan produk mempunyai sijil halal meningkat 30 peratus berbanding sebelum itu juga menjadi faktor pendorong kepada syarikat untuk memohon sijil dan logo halal," katanya di pejabat Bahagian Hab Halal Jakim di Cyberjaya.
Beliau yang baru pulang daripada membuat pemeriksaan produk di Brazil berkata, Malaysia sering menjadi rujukan pensijilan halal sehingga ada syarikat pengeluar logo halal akan bertanya kepada syarikat yang memohon sama ada Jakim sudah datang membuat penyelidikan atau belum.
Dalam erti kata lain, jika Jakim sudah membuat penyelidikan di sesebuah syarikat itu, maka tugas badan pengeluar sijil halal akan menjadi lebih mudah kerana tahap keyakinan terhadap ketegasan Jakim dalam aspek mengeluarkan sijil halal.
Mohd Amri berkata, ketegasan Jakim memastikan hukum syarak dipatuhi dan aspek kebaikan toyyibah produk serta perkhidmatan terjamin juga adalah faktor mendorong pihak industri mendapatkan pensijilan halal daripada jabatan itu.
Justeru, pihaknya sentiasa memberi kefahaman mengenai maksud halalan toyyibah secara meluas supaya pihak industri serta pengguna tahu bahawa halal bukan saja bebas daripada unsur haram mengikut syarak malah merangkumi perkara lain yang perlu diberi perhatian serius.
"Sembelih ayam putus halkum sudah menepati syarak dan halal tetapi jika tempat meletak ayam tidak bersih boleh menyebabkan kuman bakteria, itu tidak boleh. Konsep baik itu subjektif kerana pemahaman berbeza dan disebabkan itu kita keluarkan standard supaya mudah faham.
"Sekarang ramai sudah faham halal itu bukan tidak ada babi atau benda haram lain dan perlu ditekankan Jakim meneliti secara keseluruhan. Jika makanan, boleh dikatakan kita periksa dari ladang hinggalah dihidangkan di atas meja.
"Rangkaian penyediaan diambil kira termasuk bahan mentah digunakan, serbuk tambahan, label, pembungkusan, pengangkutan, pekerja dan premis. Semua itu dilihat satu persatu kerana ini amanah dan kita bakal dipertanggungjawabkan," katanya.
Katanya, penyebaran maklumat mengenai konsep halal dan kepentingannya dilakukan melalui laman web hab halal, ceramah, seminar, kedutaan di luar negara, badan Islam luar negara yang diiktiraf Jakim serta hebahan di media.
Mengenai syarat bagi syarikat luar negara yang ingin memohon pensijilan halal Malaysia, selain borang permohonan, pihak syarikat perlu melantik eksekutif halal atau menubuhkan jawatankuasa halal dalaman.
Oleh kerana kebanyakan pemilih syarikat dari luar negara bukan Islam, eksekutif halal dan jawatankuasa halal dalaman bertanggungjawab memastikan syarat penggunaan sijil dan logo halal Malaysia dipatuhi dengan berkesan.
Pemeriksaan ke premis pemohon biasanya tidak memakan masa lama tetapi jika ada aspek yang tidak menepati peraturan ditetapkan Jakim, maka pemilik syarikat diminta membuat penambahbaikan dan juruaudit Jakim akan melakukan pemeriksaan semula. Tetapi, bagi permohonan yang jelas tidak menepati hukum syarak, ia tidak akan diluluskan.
Selain syarat permohonan Jakim, pensijilan halal Malaysia turut disertai sijil lain seperti HACCP, Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Sistem Keutamaan Am (GSP).
Mohd Amri berkata, tugas di galang juruaudit Jakim yang melakukan pemeriksaan di premis pihak yang memohon pensijilan halal pemohon bukan mudah dan memerlukan tahap kecekapan serta semangat tinggi kerana tugas itu memang mencabar.
Selain itu, juruaudit yang pakar dalam bidang syariah perlu mengetahui ilmu serta perkembangan teknologi, begitu juga sebaliknya bagi pakar teknologi supaya masing-masing dapat melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.
"Juruaudit perlu ada niat suci, roh halal dan jihad halal. Contohnya, nak periksa ayam yang bakal disembelih selalunya operasi bermula seawal jam tiga pagi. Maknanya juruaudit kena bangun pagi dan jika tidak kuat roh jihad, maka syahid jawapannya.
"Begitu juga tugasan luar yang ada kalanya terpaksa melalui penerbangan hingga 30 jam dan jadual di sana pula ketat. Semua itu memerlukan kesabaran dan jika tidak ada jiwa halal, itu yang rasa susah," katanya.
Menyentuh mengenai penguatkuasaan seperti pemeriksaan ke premis yang mendapat pensijilan halal Jakim, ia dilakukan mengikut kategori iaitu bagi berisiko tinggi seperti rumah sembelihan dan syarikat pengeluar produk berasaskan daging, tiga bulan sekali.
Bagi syarikat besar yang menjaga kepatuhan kepada syarat pensijilan yang dikategorikan sebagai berisiko rendah, pemeriksaan dilakukan setahun sekali.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment