Dr Juanda jaya
Pemimpin ulama perlu bertanggungjawab halang kemungkaran demi agama, bangsa, negara
ISU keselamatan negara yang dipandang ringan sesetengah pihak boleh menghancurkan umat Islam. Adalah menjadi tanggungjawab setiap mukmin untuk menjaga keselamatan negara kerana ia membabitkan masa depan umat Islam. Ia mesti diberi keutamaan melebihi perkara lain.
Melihat kemajuan pesat dicapai umat Islam, jangan lupa tipu daya jahat sentiasa mahu memadamkan cahaya Islam yang sudah bersinar di bumi Malaysia. Boleh jadi ia datang daripada musuh di luar atau dari dalam tubuh umat Islam sendiri.
Faktor menghancurkan umat sudah dikaji ramai sarjana Islam yang prihatin terhadap keadaan umat sepanjang zaman. Ia mesti diambil berat dan dijadikan peringatan supaya umat lebih berhati-hati dengan keadaan mereka pada setiap saat.
Kebangkitan Islam menjadi perbincangan hangat, usaha ke arah itu semakin dipergiatkan walaupun berdepan gelombang ujian yang tidak ringan. Menyedari hal ini, usaha menggembleng kekuatan umat dengan mewujudkan amal lebih terancang hendaklah dilakukan mulai saat ini.
Pilihlah pemimpin berpengaruh
Umar bin al-Khattab pernah bertanya kepada Ziyad bin Jadir: "Apakah kamu tahu perkara yang boleh menghancurkan Islam? Jawapnya: Tidak. Beliau berkata: Islam boleh diruntuhkan oleh kegelinciran orang alim, pertelingkahan orang munafik dan kesesatan pemimpin." (Riwayat Al-Darimi dalam al-Mukadimah; Al-Muwafaqat)
Umat tidak akan selamat tanpa pemimpin yang amanah, mencintai agamanya melebihi isteri, anak, keluarga, harta benda dan dirinya sendiri. Mereka hidup untuk menjaga agama Allah dengan menguasai kemahiran berpolitik, kecerdikan memimpin dan ketegasan mentadbir urusan umat.
Semangat amar makruf dan nahi mungkar sentiasa menghidupkan jiwa mereka seraya mengingati firman Allah yang bermaksud: "Dan peliharalah dirimu dari seksaan yang tidak hanya menimpa orang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras seksaannya." (Surah Al-Anfal, ayat 25)
Al-Imam Ibnu Kathir berkata, "Daripada Ibnu Abbas RA beliau berkata: Allah memerintahkan kepada orang beriman supaya mereka mengingkari kemungkaran yang berada di tengah-tengah mereka. Kerana jika tidak, nescaya Allah akan meratakan azab ke atas mereka semuanya."
Kehancuran moral generasi Islam, kemiskinan, kebodohan umat, keganasan dan jenayah yang menjadi-jadi, semua berpunca daripada tiada rasa bertanggungjawab dalam diri setiap individu Muslim. Begitu pula pemimpin yang enggan menggunakan kuasanya untuk menghalang kemungkaran akan mengundang kemurkaan Allah.
Apabila tidak wujud pemimpin berkaliber dan disegani, tidaklah mungkin masalah umat dapat dipecahkan, bahkan umat bagai hilang arah, hidup tanpa kemudi kerana matinya semangat dan keberanian pemimpin serta sikap mereka yang suka mengorbankan agama, bangsa dan negara untuk kepentingan peribadi. Akibatnya negara menuju kemusnahan.
Begitu pula dalam barisan ulama, lurusnya jalan ditempuhi umat bergantung kepada petunjuk dibawa ulama. Jika baik ulamanya maka baiklah umat, dan jika mereka tidak amanah dengan ilmu dimiliki maka akan menjelmalah kemungkaran di mana-mana.
Ulama adalah pemimpin yang akan disoal di hadapan Allah di akhirat nanti, untuk apakah ilmunya itu dimanfaatkan? Apakah untuk hawa nafsunya semata-mata atau untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.
Bersatunya aliran pemikiran dalam satu saf
Pandangan boleh berbeza dalam mencapai matlamat yang satu. Kaedah dan metodologi pun boleh berlainan tetapi jangan sesekali berbangga dengan kumpulan sendiri dan menikam kumpulan lain daripada belakang semata-mata kerana sifat dengki.
Punca kejatuhan suatu tamadun tidak lain disebabkan kerana berpecah-belah. Ia juga menjadi suatu muslihat penjajah untuk menguasai suatu bangsa, pecah- belah dan kemudian jajah. Banyaknya aliran pemikiran umat Islam adalah fenomena biasa yang tidak dapat dihindari, kerana sudah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW, ketika sahabat saling berbeza pendapat dalam sesetengah isu.
Tetapi malangnya perbezaan pendapat pada masa kini bukan membawa rahmat bagi sebahagian umat Islam, ia berubah menjadi kejahatan yang dihalalkan ke atas satu sama lain. Jiwa permusuhan yang membakar itu cepat meranapkan seluruh bangunan Islam tanpa disedari.
Padahal Allah mengingatkan pentingnya bersatu hati untuk membentuk kekuatan umat Islam. Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat mengenai sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Surah Al-Nisa, ayat 59)
Bahkan ditunjukkan jalan bagi orang yang berselisih supaya mereka kembalikan segala perselisihan itu kepada Allah dan Rasul-Nya barulah dapat dicapai perdamaian.
Al-Imam Ibnu Abdul Bar menyatakan di dalam kitab Jami' al-Bayan wal 'Ilmi wa fadhlih: "Khilaf apabila berlaku maka ia sama ada silap atau betul. Yang wajib dilakukan ketika khilaf ulama ialah mencari dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah, Ijma dan Qiyas dengan usul bagi dalilnya. Dengan itu perkara ini tidak terhapus. Apabila dalil itu sama tarafnya maka wajib mengikuti yang paling hampir dengan apa yang disebutkan dalam al-Quran dan al-Sunnah. Apabila perkara ini tidak jelas maka diwajibkan tawaquf (menggantungkan sementara keputusan) dan tidak boleh memutuskan hukum melainkan dengan keyakinan."
Begitulah jalan keluar jika berlaku khilaf di kalangan pemikir Islam. Umat yang jahil akan sentiasa bertelagah, jika ulama dan pemimpin mereka tidak mampu meluruskan yang terseleweng, maka akan porak-peranda agama. Lebih malang lagi jika alim dan cerdik pun suka bertelagah, maka siapakah boleh menyelamatkan mereka yang jahil?
Seruan kepada kasih sayang
Sering kita mendengar idea negara kebajikan dilaungkan orang politik, sementara pendakwah dalam pelbagai jemaah pula datang dengan seruan dakwah rahmatan lil alamin yang berteraskan semangat menebar kasih sayang, di samping semboyan perpaduan diserukan pemimpin.
Tetapi apakah ia cukup berkesan? Apakah ia benar-benar dipraktikkan? Mengapa di sana-sini muncul ketegangan antara puak dan kumpulan, agama yang satu dengan lain, fahaman politik saling berbeza?
Bukankah agenda kebajikan rakyat belum tuntas dilunaskan? Rintihan umat yang jahil belum sempat dilayan, mereka dahagakan ilmu semakin kering kontang jiwanya? Di manakah ulama dan umara? Umat ini perlukan kasih sayang.
Masih banyak tanggungjawab belum dilaksana. Bagaimana mungkin perselisihan boleh membangkitkan kemajuan. Adakah boleh kebencian menjana keikhlasan beramal? Di manakah kasih sayang untuk umat ini? Jika di sana sini api pemusuhan sengaja ditiupkan?
Penulis ialah Mufti Perlis, kini menjadi tamu Pusat Kajian Islam di Universiti Oxford, United Kingdom
Tuesday, January 26, 2010
Tajdid Iman: Menyatukan saf umat Islam dalam menghadapi kemelut perbezaan idea
Labels:
(A) Dr Juanda Jaya,
(B) Tajdid Iman,
Kemungkaran,
Pemimpin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment