Friday, January 22, 2010

Terjemah pendekatan Islam dalam urusan perniagaan

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan


PRODUK halal mempunyai nilai beratus bilion ringgit di seluruh dunia dan wajar dikuasai umat Islam sendiri. - Gambar hiasan


Kebajikan kepada masyarakat, ekonomi negara jadi matlamat utama

PERANAN dimainkan seseorang usahawan dalam membangun sesebuah masyarakat adalah besar. Nabi SAW dalam sebuah hadis ada bersabda dengan maksud, "Seorang pedagang jujur akan dibangkit pada hari akhirat bersama dengan yang soleh dan yang mati syahid" (At-Tirmizi dan Al-Hakim daripada Abi Said).

Kejujuran di sini bukan hanya terhad kepada amalan dalam berurusan saja, malah turut menuntut usahawan Melayu semoga berperanan secara berkesan membangun sebuah masyarakat yang mulia dan bertamadun. Justeru, arahan Nabi SAW perlu difahami dalam konteks sedemikian.

Dalam sebuah hadis lain, Nabi SAW turut bersabda dengan maksud "Kegiatan perniagaan adalah suatu kegiatan yang sangat dituntut kerana dalam kegiatan itu, ada 90 peratus rezeki" (Riwayat Tirmizi). Mengambil pengajaran daripada arahan Nabi SAW itu, usahawan Melayu perlu memahami bahawa pembabitan mereka dalam urusan perniagaan adalah satu tugasan keagamaan demi memperkuat kedudukan ekonomi ummah dalam negara.

Tanpa kekuatan ekonomi, masyarakat Melayu akan lemah dan lebih membimbangkan agama Islam itu sendiri akan tercabar. Justeru, untuk ummah maju dan menjadi contoh ikutan masyarakat keseluruhannya, kekuatan ekonomi bangsa Melayu perlu diperkuatkan. Pencapaian ini hanya mampu diperoleh jika masyarakat Melayu benar-benar memahami dan menterjemahkan pendekatan Islam dalam mengendalikan urusan perniagaan.

Produk dan perkhidmatan yang diniagakan juga perlu bermutu dengan harga pasaran berpatutan. Natijahnya, keluasan penguasaan pasaran bagi produk terbabit akan menjadi kenyataan. Jumlah pasaran yang besar akan diterjemah kepada jumlah jualan yang meningkat dan jika kos pengurusan berkesan dan cekap mampu diperoleh, natijah akhir yang akan diperoleh usahawan Melayu ialah keuntungan besar.

Strategi pilihan, 'berniaga untuk menyumbang kepada kebajikan masyarakat' memerlukan kepada kemampuan bersaing melalui kualiti proses pengeluaran yang cekap, produk bermutu dan harga produk berpatutan. Pendekatan strategi pilihan ini dalam perniagaan lebih menepati semangat akhlak Islam. Budaya niaga membicarakan bagaimana aliran pemikiran, peranan dan cara sesebuah masyarakat berniaga.

Bagi Islam, budaya niaga perlu bersandarkan kepada falsafah tauhid. Ia memberi satu perspektif bermasyarakat dengan melihat penyusunan masyarakat manusia memenuhi pelbagai keperluan dan mengutamakan kesepaduan di antara akhlak dengan segala kegiatan manusia, termasuk urusan perniagaan.

Tauhid menganjur budaya niaga yang berpaksi kepada semangat keadilan dan muafakat. Oleh itu, urusan perniagaan hendaklah dijayakan dalam konteks untuk mewujud satu masyarakat yang bertamadun mulia, bukan untuk mewujud budaya rakus dalam me-ngendali amalan perniagaan menerusi amalan penindasan atau penipuan untuk mengaut keuntungan. Budaya niaga Islam mempunyai ciri berikut:

# Pertama, amalan berniaga adalah tuntutan keagamaan. Justeru, organisasi dan usahawan Melayu seharusnya sentiasa berusaha meningkatkan mutu prestasi perniagaannya. Mutu prestasi perniagaan adalah nilai positif yang mampu sentiasa dimajukan. Pandangan ini memerlukan kepada usaha mewujudkan satu budaya semoga mempertingkatkan mutu dan membesar saiz perniagaan adalah usaha berterusan untuk menyumbang kepada kebajikan masyarakat.

Budaya niaga Islam melalui mekanisme dalaman menuntut bahawa keimanan dan prestasi perniagaan dengan itu ada hubung kait yang rapat. Bagi seseorang usahawan Melayu yang ingin menghayati Islam, beliau seharusnya turut berusaha meningkatkan prestasi niaga dari semasa ke semasa.

# Kedua, menepati semangat tauhid yang menganjurkan bahawa sifat yang ada dalam diri manusia berada dalam satu kesatuan, usahawan Melayu seharusnya menjaga dan mempertingkatkan akhlak perilaku dirinya dalam menjalani amalan perniagaannya. Peningkatan prestasi dan saiz niaga seharusnya dicapai melalui peningkatan akhlak usahawan. Bahkan penghayatan kepada akhlak Islam adalah faktor utama kepada kejayaan dalam perniagaan.

Islam melihat tuntutan akhlak sebagai sesuatu yang positif dan berdaya maju. Akhlak membentuk sikap dan daya penggerak positif kepada kemajuan perniagaan dari semua dimensi. Oleh itu, agama menuntut umatnya supaya sentiasa kreatif dan bersikap proaktif. Tanpa amalan akhlak itu dalam urusan perniagaan, prestasi niaga akan menurun.

# Ketiga, budaya niaga Islam memberi tekanan tinggi kepada disiplin. Umat Islam, melalui penghayatan ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji sepatutnya memiliki disiplin tinggi. Masyarakat tanpa disiplin akan pasti menghadapi pelbagai masalah. Kejayaan dalam urusan perniagaan memerlukan daya juang tinggi melalui disiplin diri yang tinggi. Kejayaan bukan dicapai melalui jalan singkat dan ia memerlukan ketekunan dan kesabaran.

# Keempat, semangat tauhid menganjur kepada amalan berniaga secara bermuafakat dan berpasukan. Jalinan kerjasama di kalangan ahli perniagaan sangat penting. Budaya muafakat akan melicinkan perjalanan urusan perniagaan. Kos pengeluaran akan dapat dikurangkan dan kebajikan itu dapat dinikmati keseluruhan masyarakat. Budaya niaga Islam memberi tumpuan kepada pencapaian matlamat akhir iaitu kebajikan kepada masyarakat dan ekonomi negara.

Daripada perbincangan di atas, jelas kepada kita bahawa usahawan Melayu perlu memahami kepada pendekatan mengendali urusan perniagaan mengikut Islam. Ramuan yang dimaju di atas boleh meneraju usahawan Melayu memperoleh kejayaan.

Datuk Nik Mustapha ialah Ketua Pengarah Ikim

No comments: