DARIPADA Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: " Sesungguhnya Allah meredakan tiga perkara bagi kamu dan Ia membenci tiga perkara bagi kamu. Ia reda supaya kamu mengabdikan diri kepada-Nya dan janganlah kamu menyengutukan-Nya dengan sesuatu supaya kamu semua berpegang teguh dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu berpecah-belah. Dan Ia membenci bagi kamu berkata begini begitu, banyak bertanya dan mensia-siakan harta." (Hadis riwayat Muslim)
Selaku hamba, kesukaan kita hendaklah selari dengan kesukaan Allah. Apa saja yang kita lakukan jika Allah menyukainya, maka kita hendaklah menjadikannya sebagai satu amalan. Sama ada kecil atau besar, wajib atau sunat, asalkan Allah menyukainya, kita mestilah melakukannya.
Itulah manifestasi cinta yang mendalam terhadap Allah. Samalah juga keadaannya dengan seseorang yang tentu akan menyukai apa saja disukai orang yang dicintainya. Ia bukan soal mendapat pahala atau fadilat tetapi lebih kepada hasrat menyatakan, membuktikan cinta dan kehambaan kepada Allah.
Begitu juga aspek kebencian. Ia hendaklah selari kebencian Allah dengan maksud bahawa kita meninggalkan apa saja perbuatan dan amalan dibenci Allah.
Dalam hal ini tidak dinafikan nafsu pasti mendorong untuk berbuat apa Allah benci kerana nafsu suka kepada apa Allah benci dan benci kepada apa yang Allah suka.
Bagaimanapun, iman yang kuat dan teguh akan dapat melawan nafsu disebabkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang mendalam dalam diri. Itulah antara ciri-ciri takwa yang sejati.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment