Thursday, January 21, 2010

Pertahan agama jika sayangkan negara

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


HANYA mereka yang mempunyai jati diri kental mampu bertanggungjawab dan rela berkorban demi negara. - Gambar hiasan


Warga tanah air perlu kental jiwa, rohani elak penjajahan minda asing tamak kuasa

SEJAK awal pembinaan tamadun, sejarah sudah membuktikan bahawa bangsa asing akan meninjau sesebuah penempatan sebelum mula menapak untuk membina empayar keluarga, ekonomi, politik malah hubungan antarabangsa sehingga akhirnya mereka menuntut hak sama dengan warga asal sesuatu penempatan yang diteroka.

Pelbagai cara boleh digunakan untuk mempertahankan negara dan tanah air tercinta daripada gangguan dan pencerobohan luar yang tamakkan kuasa, tetapi paling penting ialah jangan gadaikan agama. Tuntutan yang melampaui batasan sehingga mempersendakan mana-mana agama sudah tentu menjadi ancaman baru yang tidak terampun dengan mudah.

Hal ini bukan luar biasa, cuma senario hari ini tidak sama dengan apa yang dibuktikan oleh sejarah. Yang ada ialah pencerobohan minda, membuatkan kita lupa asal usul dan kepayahan menuntut kebebasan daripada penjajahan.

Justeru, tidak hairanlah apabila kita membaca kisah sahabat Rasulullah SAW yang syahid di medan perang dengan darah merah segar mengalir deras tanpa henti dan baunya sewangi kasturi yang boleh dihidu berbatu jauhnya.

Untuk mempertahankan negara kita bukan saja dibentuk oleh agama agar mempunyai semangat juang tinggi malah juga kekentalan rohani. Keampuhan jiwa inilah yang menjadikan seseorang itu pejuang sebenar di jalan Allah SWT.

Mereka mampu bertahan dalam apa juga keadaan, tidak mudah mengaku kalah walau ditawarkan pelbagai habuan agar mempertaruhkan tanah air kepada kuasa luar. Tentera Islam dulu kala juga kuat dan teguh kerana ketaatannya kepada Allah SWT yang juga ditonjolkan dengan mentaati pemimpinnya.

Adalah menjadi kewajipan orang yang dipimpin mentaati ketua mereka selagi perkara yang diarahkan tidak melanggar hukum Islam. Inilah yang dapat membentuk angkatan tentera yang benar-benar bertanggungjawab dan rela berkorban demi negara. Bayangkan jika mereka berbalah sesama sendiri kerana tamakkan kuasa, sudah tentulah ia boleh memecah-belahkan perpaduan dan persefahaman serta merobohkan benteng dan kekuatan yang dibina dengan susah payah.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Anfaal ayat 45 yang mafhumnya: "Wahai orang yang beriman. Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan musuh, maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapi dan sebutlah serta ingatlah Allah SWT dengan banyakkan berdoa, supaya kamu berjaya mencapai kemenangan."

Islam tidak mengajar umatnya menceroboh atau memerangi sesiapa saja yang menolak agama Allah SWT, tetapi umat Islam dituntut mempertahankan negara kerana agama. Allah SWT meminta kita berlaku adil kepada setiap warga negara meskipun berlainan agama dengan mengamalkan cara hidup damai dan makmur selagi umat Islam tidak dimusuhi kerana agama mereka dan selagi mereka tidak diusir dari tanah air mereka.

Bukan mudah mempertahankan negara, apatah lagi ia menuntut komitmen semua pihak daripada setiap lapisan masyarakat. Kalau angkatan bersenjata menggunakan semua kelengkapan pertahanan yang ada untuk menghalang segala ancaman dan pencerobohan musuh yang menggugat keamanan dan kedaulatan negara, bagaimana pula dengan yang lain?

Kepada seorang pendekar, negara dibela dengan mata pedangnya, pemimpin dengan menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat dengan penuh wibawa dan kesungguhan, pendidik dengan suluhan ilmu yang menjadi perisai kepada setiap yang berfikir agar membuat pertimbangan waras apabila menghadapi kemelut dan konflik.

Imam dan cerdik pandai agama dengan mengentalkan jiwa dan rohani setiap warga tanah air agar sentiasa waja mempertahankan negara daripada penjajahan minda dan budaya yang boleh menggadaikan agama dan setiap individu pula perlu menanam rasa kasih serta cinta kepada tempat tumpah darahnya, jangan sampai tergadai kerana diulit mimpi yang indah-indah.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom

No comments: