FAHAMAN yang berbahaya jika menular di kalangan suatu bangsa, alamat budi pekerti dan kesopanan bangsa itu akan rosak binasa, akalnya ditumbuhi kejahatan, hati tiap-tiap orang akan penuh dengan tipu daya, sehingga melemahkan pergantungan umat itu dalam kehidupan.
Syahwat dan nafsu angkara murka itulah kelak yang akan menjadi pedoman kehidupan mereka.
Di antara satu dengan lain hilang rasa amanat, percaya mempercayai, akhirnya hilanglah nama umat atau bangsa itu, jatuh kepada melarat dan perhambaan.
Ada golongan yang mengaku pintar, mengatakan bahawa dengan mengingkari Tuhan dia menjadi orang merdeka dan menghidupkan budi pekerti mulia, menegakkan kesopanan serta mengangkat kedudukan suatu bangsa.
Disebabkan kepercayaan salah itu banyak tersiar, berlaku kerosakan kepada negeri dan bangsa, rakyat serta pemerintah sama-sama kehilangan pegangan.
Manusia tersesat berasa tidak cukup dan lengkap hidupnya sebelum tercapai segala kehendak syahwatnya.
Apabila kepercayaan kepada Allah sudah hilang, syahwat yang memerintah. Untuk mencapai kehendak syahwat, ada jalan lurus dan ada yang bengkok, ada baik dan ada mendatangkan malu, ada dikerjakan dengan terus terang.
Jika masyarakat hendak diatur, keamanan dan keharmonian terus dijaga, manusia tidak disamakan hidupnya dengan binatang perlu ada empat rukun untuk dijaga iaitu mempertahankan diri, menjaga kehormatan, mengikut peraturan serta mengakui kekuasaan ghaib melindungi alam dan memberi ganjaran baik buruk di hari kemudian.
(Sumber: Tasauf Moden oleh Prof Dr Hamka)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment