Wednesday, January 27, 2010

Peguam Syarie Menulis: Usaha martabat perundangan Syariah perlu berterusan

Oleh Tuan Musa Awang
sekretariapgsm@yahoo.com

Pengiktirafan amalan 5S bukti komitmen mahkamah

SEBAGAI institusi awam tempat masyarakat membawa dan mengadu masalah untuk diselesaikan, bukanlah sesuatu yang mudah bagi Mahkamah Syariah memuaskan semua hati pelanggannya.

Namun, pujian wajar diberikan kepada kakitangan Mahkamah Syariah di seluruh negara kerana setakat ini berjaya menjalankan fungsi dengan baik dan berkesan, walaupun usianya masih muda berbanding Mahkamah Sivil yang wujud sejak zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu. Pada 15 Januari lalu, satu majlis penyampaian sijil pengiktirafan amalan 5S diadakan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan yang dirasmikan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan kehakiman Syariah Malaysia, Tan Sri Ibrahim Lembut.

Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan berjaya mendapat pengiktirafan amalan 5S pada sesi audit yang dijalankan oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC) pada 21 Disember lalu. 5S merujuk kepada gabungan lima perkataan Jepun yang bermula daripada huruf S iaitu Seiri (sisih), Seiton (susun), Seiso (sapu), Seiketsu (seragam) dan Shitsuke (sentiasa amal).

Amalan 5S adalah amalan mengasing dan membuang barangan yang tidak diperlukan, menyusun barang diperlukan secara sistematik supaya mudah diambil dan dikembalikan di tempat asal selepas digunakan, membersihkan tempat bekerja, mewujudkan standard amalan terbaik di tempat kerja dan memas-tikan ia dipatuhi.

Ia juga melatih pekerja mengamalkan rutin ini secara berterusan agar membudaya dalam organisasi. Kebersihan, keceriaan dan sistematik di tempat kerja mempengaruhi budaya kerja kakitangan mahkamah agar dapat melayan kerenah pelanggan dengan baik, ceria dan sistematik.

Sijil pengiktirafan diterima Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan ini bukan yang pertama kerana sebelum itu beberapa negeri lain termasuk Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia meraih beberapa pencapaian sama. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Putrajaya, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang sudah mendapat pengiktirafan pensijilan MS ISO 9001: 2000.

Pada 15 Disember lalu, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor muncul jabatan kehakiman syariah negeri pertama dianugerahi sijil MS ISO 9001: 2008, iaitu pengiktirafan bertaraf dunia kerana menyediakan sistem pengurusan dan pentadbiran terbaik dalam mengendalikan kes mal, jenayah, rayuan dan pembahagian faraid.

Pengiktirafan ini membuktikan kakitangan Mahkamah Syariah komited dan bersungguh-sungguh merealisasikan wawasan menjadikan perkhidmatan awam sebagai terbaik dan terunggul, meskipun Mahkamah Syariah masih muda usianya, dengan bilangan pendaftaran kes meningkat setiap tahun, serta cabaran semasa dihadapi mahkamah seperti kecaman dan tanggapan negatif sesetengah pihak.

Sebagai usaha berterusan untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah, penulis mencadangkan pada setiap tahun diadakan satu hari dikenali sebagai 'Hari Mahkamah Syariah' sebagai memperingati tarikh penubuhan rasmi Mahkamah Syariah di Malaysia. Rujukan boleh dibuat terhadap tarikh terawal penubuhan Mahkamah Syariah di negara ini.

Menyorot sejarah, pada 1948 ordinan Mahkamah Persekutuan dan sistem kehakiman persekutuan memisahkan Mahkamah Syariah daripada hierarki mahkamah. Selangor pertama mewujudkan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (1952), diikuti negeri lain di Malaysia Barat.

Waktu itu Mahkamah Syariah dikenali sebagai Mahkamah Kadi bagi menjalankan peraturan dan peruntukan undang-undang pentadbiran agama Islam bagi setiap negeri di Tanah Melayu.

'Hari Mahkamah Syariah' yang dicadangkan ini juga sebagai menghargai jasa kakitangan yang bekerja keras memajukan organisasi dan meningkatkan syiar syariah di Malaysia.

Satu daripada usaha memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai peranan Mahkamah Syariah adalah mengetahui sejarah dan perkembangannya. Dengan itu kita tahu bagaimana sesuatu perkara bermula dan menghargai susah payah pejuang terdahulu berhempas-pulas untuk kesejahteraan dan nikmat yang dirasai pada hari ini.

Dengan memahami sejarah juga, masyarakat sedar peranan Inggeris selepas menduduki Pulau Pinang pada 1786, dengan membawa undang-undang mereka ke Tanah Melayu, menubuhkan mahkamah dan melantik hakim yang mahir dengan undang-undang Inggeris untuk mengadili kes di Tanah Melayu.

Inggeris juga memperkenalkan tiga piagam Charters of Justice pada 1807, 1826 dan 1885, bertujuan mengangkat taraf undang-undang Inggeris dan secara langsung menenggelamkan undang-undang Islam yang dulunya diamalkan sebagai undang-undang tempatan. Usaha memartabatkan perundangan Syariah perlu berterusan. Usaha murni untuk tujuan itu wajar disokong kerajaan dan umat Islam agar perundangan Syariah di Malaysia akan lebih berkesan, mantap dan cemerlang dari semasa ke semasa.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan boleh dihubungi melalui e-mel sekretariapgsm@yahoo.com

No comments: