Wednesday, March 12, 2008

Peguam Syarie Menulis: Laknat menimpa jika berdusta ketika li'an

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

KEBELAKANGAN ini banyak timbul isu atau kes di Mahkamah Syariah berkaitan kecurangan suami mahupun isteri dan kesan daripada kecurangan itu menyebabkan kebanyakan daripada mahligai yang dibina musnah atau hancur di pertengahan jalan.

Kesan daripada kecurangan itu juga menyebabkan kepercayaan pada pihak suami atau isteri akan tergugat sehingga timbul kes di mana seorang suami sanggup menuduh isterinya melakukan zina atau menafikan kandungan yang dikandung isteri bukan darah dagingnya.

Tuduhan seorang suami bahawa isterinya berzina atau menuduh anak yang bakal dilahirkan itu adalah bukan darah dagingnya satu tuduhan yang serius dan amat berat dalam Islam.

Jika berlaku, suami perlu membuktikan isterinya sudah berzina dan ini menjadi beban kepadanya melainkan beliau sendiri nampak dengan mata kepalanya atau dapat mengemukakan saksi di mahkamah yang boleh memberi bukti isterinya melakukan zina.

Sebaliknya, jika suami tidak melihat kejadian itu ataupun tiada saksi yang menyaksikan isteri berzina, suami diharuskan oleh hukum syarak untuk menuduh isterinya berzina atau menafikan nasab yang dikandung adalah anaknya dengan cara berli'an.

Li'an adalah sumpah seorang suami apabila dia menuduh isterinya melakukan zina tanpa saksi atau menafikan kandungan isterinya bukan daripada benihnya dan isterinya bersumpah menafikan tuduhan suaminya.

Li'an adalah jalan terbaik jika suami yakin bahawa anak yang bakal dilahirkan isterinya bukan daripada darah dagingnya. Dengan itu, suami perlu bersumpah di hadapan mahkamah bahawa anak itu bukan anaknya dan jika ia berbohong maka Allah akan melaknatnya.

Sumpah dibuat dengan nama Allah dan si suami menyebut: "Saya naik saksi atas nama Allah bahawa isteri saya sudah melakukan zina" atau "Saya naik saksi atas nama Allah bahawa anak yang dikandung bukan dari benih saya."

Sumpah itu hendaklah diulang sebanyak empat kali berturut-turut dan akhir sekali si suami akan melafazkan: "Sesungguhnya Allah melaknat saya jika saya berdusta" dan sumpah ini hanya diulang sekali saja.

Bagaimanapun, tuduhan suami hanya akan bersabit selepas isteri tidak mahu bersumpah. Jika isteri sanggup bersumpah maka segala tuduhan suami dengan sendirinya akan tertolak. Sama seperti suami, isteri perlu bersumpah dan sumpah dibuat dengan nama Allah.

Isteri menyebut: "Saya bersaksi kepada Allah, saya tidak berzina" atau "Saya bersaksi kepada Allah, kandungan ini dari benih suami saya." Sumpah itu juga hendaklah diulang sebanyak empat kali berturut-turut dan akhir sekali si isteri akan melafazkan: "Bahawa suami saya berdusta, dan kemurkaan Allah ke atas saya jika suami saya bercakap benar" dan sumpah ini hanya diulang sekali saja.

Dari segi hukum syarak, li'an memberi impak besar kepada hubungan suami isteri di mana hubungan mereka sebagai suami isteri akan berakhir dan mereka tidak boleh merujuk semula. Disebabkan ia termasuk dalam kategori bain kubra ia adalah satu bentuk perceraian yang tidak boleh dirujuk sampai bila-bila.

Selain daripada itu, anak tidak boleh dinasabkan kepada suami dan hendaklah dinasabkan semata-mata kepada ibunya. Suami juga tidak diwajibkan membayar nafkah anak.

Daripada sudut jinayat syariyah pula, suami akan gugur had qazaf (tidak dikenakan 80 kali sebatan atas tuduhan itu) jika beliau bersumpah, manakala bagi si isteri pula wajib dikenakan had zina (rejam) jika isteri tidak sanggup untuk bersumpah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Orang-orang yang menuduh isterinya (dengan berzina) tetapi mereka tiada mempunyai saksi kecuali dirinya sendiri maka kesaksiannya ialah empat kali bersumpah dengan Allah bahawa ia seorang yang benar. Dan yang kelima bahawa laknat Allah atas dirinya jika ia dusta. Dan hukuman dapat tertolak dari isteri jika ia bersumpah empat kali dengan Allah bahawa suaminya itu dusta. Dan yang kelima bahawa kemurkaan Allah atas dirinya jika suaminya yang benar." (Surah al-Nur, ayat 6-9)

Seksyen 51 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan: "Jika pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan telah mengangkat sumpah dengan cara li'an mengikut hukum syarak di hadapan Hakim Syarie, apabila penghakiman, maka Hakim Syarie itu hendaklah memerintahkan mereka difaraqkan, dipisahkan dan hidup berasingan selama-lamanya."

Hakikatnya, bagi mengelakkan hal ini daripada berlaku adalah lebih baik suami tidak terus menuduh isteri berzina jika tiada bukti yang kukuh atau menafikan nasab anak dikandung isterinya. Jika beliau berasakan tiada sefahaman lagi selepas pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkan perkahwinan, talak adalah diharuskan dan bukannya terus menuduh dan kemudian berli'an.

Allah berfirman yang bermaksud: "Talak itu dua kali, maka hendaklah kamu pegang atau kamu lepaskan." (Surah al-Baqarah, ayat 229)

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Perkara halal yang dibenci oleh Allah adalah talak." (Hadis riwayat Abu Daud)

Berkaitan dengan kandungan pula, jika ingin dinafikan kandungan itu sewajarnya dibuat ujian DNA untuk mengetahui sama ada suami adalah bapa biologi kepada anak itu. Ini penting bagi mengelakkan adanya perasan curiga mencurigai antara satu sama lain.

Mengikut peruntukan undang-undang, seseorang lelaki boleh berli'an menafikan anak yang lahir daripada bekas isterinya itu sebagai anaknya dalam tempoh empat tahun selepas perceraiannya dengan syarat bekas isteri tidak berkahwin lain dalam tempoh empat tahun itu. Jika lelaki itu tidak berli'an, maka anak hendaklah dinasabkan kepadanya.

Peruntukan ini termaktub dalam seksyen 111 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor, 2003 yang memperuntukkan: "Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh dengan cara li'an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah."

Walaupun li'an dibenarkan oleh hukum syarak bagi menjaga nasab serta maruah suami, sewajarnya hendaklah direnung dulu sebelum sebarang tindakan untuk melakukannya dibuat kerana kesan atau impak dari li'an ini amat serius.

Masalah akan timbul apabila apa yang dituduh tidak benar, sudah tentu kesan buruk adalah lebih daripada baiknya. Tambahan, laknat Allah akan menimpa jika tuduhan dibuat secara palsu. Ingatlah laknat Allah amat berat dan bukan saja di akhirat malah, di dunia jika Allah mengkehendaki.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

No comments: