Oleh Ruzain Syukur Mansor
UMUM mengetahui sirah kelahiran dan kenabian junjungan besar Rasulullah SAW adalah suatu catatan peristiwa agung penuh pengajaran dan iktibar. Kesusahan dilalui sepanjang kehidupannya nyata memberikan suatu kesinambungan terhadap kegemilangan tamadun Islam sepanjang zaman.
Ternyata kekentalan dan ketinggian peribadi Nabi Muhammad SAW adalah hasil daripada tarbiah ruhiyyah dan jasadiyyah yang diasaskan kesungguhan kedua ibu bapanya.
Ketabahan ibunya Siti Aminah menghadapi saat getir sebagai ibu tunggal selepas kematian suaminya memberikan contoh dan teladan secara langsung kepada Baginda dalam menghadapi detik sukar serta menyedihkan.
Justeru, ketabahan itu diterjemahkan ketika Rasulullah SAW menghadapi kematian dua insan tersayang iaitu isterinya Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib dengan tabah.
Contoh dan teladan itu wajar dicontohi remaja terutama ketika menghadapi saat getir atau musibah. Kesedihan adalah dugaan dan ujian Allah bagi menduga ketabahan serta keimanan umat-Nya.
Apabila ketabahan Rasulullah SAW diambil kira, maka golongan pelapis kepemimpinan negara akan lebih matang dalam menghadapi segala cabaran dan dugaan hebat. Selain itu, proses tarbiah ruhiyyah dan jasadiyyah terhadap keunggulan peribadi Rasulullah SAW diteruskan melalui peristiwa besar ketika Baginda berumur empat tahun apabila dadanya dibedah.
Penyucian hati serta segumpal darah hitam dikeluarkan daripada tubuhnya membuktikan seorang tokoh itu seharusnya mempunyai peribadi bersih, suci zahir dan batin.
Ini jelas isyarat bagi seorang pemimpin muda khususnya untuk melakukan pembersihan sifat dalaman melalui tarbiah rohaniah dengan memperbanyakkan solat serta amalan kerohanian berterusan seperti zikir dan qiamullail.
Selepas melewati usia remaja, sebagai belia yang unggul peribadinya, Rasulullah SAW memegang tanggungjawab besar sebagai individu yang membantu perniagaan usahawan bernama Khadijah binti Khuwailid.
Ternyata sifat amanah Baginda menghasilkan laba dan keuntungan menakjubkan pemilik perniagaan itu. Melalui pembantu Khadijah, Maisarah, rahsia hebat Rasulullah SAW mengendalikan perniagaan diperhatikan.
Tutur kata baik serta menjalankan perniagaan tanpa penipuan adalah resipi kejayaan Baginda. Amat menarik, sifat amanah dan bertanggungjawab Nabi Muhammad membuatkan Saidatina Khadijah terpikat kepadanya.
Rasulullah SAW sudah menetapkan asas kukuh bagi peribadi anak muda yang ingin bergerak aktif dalam bidang perniagaan. Walaupun kekurangan dalam aspek pengalaman, tetapi amanah dan sifat bertanggungjawab pastinya menjadi azimat mujarab untuk usahawan muda menghadapi cabaran dunia perniagaan.
Bersifat adil dan bersederhana bakal menjanjikan corak kepemimpinan berkualiti. Tidak bersikap tamak pula dapat mengelakkan kes penipuan seperti tawaran pekerjaan dan perniagaan di luar negara yang tidak diketahui maklumat jelas mengenainya.
Selanjutnya, kita tidak harus melupakan kepada fakta bahawa Baginda Rasulullah SAW menerima wahyu kenabian ketika umurnya masih dalam lingkungan 40-an iaitu umur belia meniti peringkat kematangan seorang dewasa.
Umum mengetahui bahawa Baginda menerima amanah pertama perintah Iqra’ dalam keadaan gementar, namun kematangan dan kepintaran Saidatina Khadijah menenangkannya menguatkan kembali semangat junjungan besar kita untuk menerima tanggungjawab diberikan.
Situasi dan corak kepemimpinan negara sejak akhir-akhir ini menunjukkan bahawa pemimpin muda kian mendapat tempat untuk diletakkan sebagai pemimpin sesebuah organisasi. Amanah yang diberikan ternyata cukup besar, namun berguna bagi mempercepatkan proses kematangan mereka.
Bagi seorang anak muda, perasaan gementar dan gemuruh apabila diberi tanggungjawab besar adalah suatu perasaan yang sedikit sebanyak mengganggu emosi dan tumpuan.
Seperti sokongan Saidatina Khadijah terhadap Rasulullah SAW ketika menerima wahyu pertama dijadikan teladan, bermakna anak muda kita memerlukan sokongan dan dorongan supaya terus tenang, tabah menerima apa juga amanah diberikan.
Terlalu banyak teladan dan contoh ikutan ditunjukkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW buat pedoman remaja dan belia. Sesungguhnya kehidupan seorang pemuda dan pemudi Islam tidak dapat lari daripada menjadikan Rasulullah SAW sebagai model ikutan sepanjang zaman.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment