Wednesday, March 12, 2008

Iqra: Meneroka taman mukjizat Rasulullah

Judul: 1000 Mukjizat Rasul
Penulis: Dr Mustafa Murad
Penerbit: Berlian Publications Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM35

MUKJIZAT Nabi Muhammad SAW yang agung dan mutlak ialah mukjizat al-Quran al-Karim yang tidak diberikan kepada nabi sebelumnya, mengandungi ratusan mukjizat maknawi berkekalan hingga kiamat.

Mukjizat menurut pengertian dari sudut istilah ialah perkara luar biasa yang dizahirkan Allah kepada nabi yang selamat daripada bantahan dan bertujuan untuk mencabar orang yang menentang.

Buku 1000 Mukjizat Rasul menampilkan pelbagai mukjizat Rasulullah SAW yang ditulis oleh Dr Mustafa Murad yang memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) bidang Dakwah dari Universiti al-Azhar membawa pembaca meneroka taman mukjizat baginda.

Beliau berkata, jika diselami lautan yang dalam, nescaya bilangan mukjizat Nabi Muhammad akan sampai kepada jumlah jutaan tetapi beliau hanya mengisyaratkan dan memberi contoh saja, yang ada kalanya daripada satu hadis dikeluarkan lebih satu mukjizat.

Katanya, ini membuktikan ketelitian dalam kajian dan bagi mereka yang ingin menambah bilangan yang ada dalam buku dihasilkan beliau, maka bacalah kitab mukjizat ilmiah, mukjizat bayan, mukjizat objektif al-Quran dan mukjizat at-tibbiy dalam hadis nabi berkaitan perubatan.

Dalam karyanya kali ini, Dr Mustafa memulakan pengembaraan pembaca mengenai kisah mukjizat nabi dengan menjelaskan dalil kenabian, dalil kebenaran risalah Muhammad SAW, dalil kebenaran risalahnya dan dalil menunjukkan kebenaran Rasulullah iaitu mukjizatnya.

Selepas mukadimah itu, barulah penjelajahan 1000 Mukjizat Rasul yang dibahagikan kepada enam segmen bermula dengan segmen pertama memberi tumpuan kepada mukjizat Isra' dan Mikraj yang mempunyai 30 kisah mukjizat.

Antara mukjizat berkaitan Isra' dan Mikraj ialah apabila orang Quraisy menanyakan baginda mengenai sifat Baitulmaqdis dan bilangan pintunya, lalu Allah memperlihatkan kepada Nabi SAW, maka baginda memberitahu apa yang orang Quraisy inginkan tanpa tersalah sedikit pun.

Paling banyak mukjizat Nabi yang diketengahkan dalam buku ini ialah berkaitan dengan haiwan iaitu sebanyak 465 kisah diikuti tanda kiamat, 331 kisah yang semuanya menjurus kepada pengalaman Nabi SAW dengan bintang, manusia serta makhluk lain seperti pokok.

Melalui mukjizat Rasulullah SAW, unta yang lambat boleh berjalan pantas seperti diriwayatkan Jabir, "Aku keluar bersama Rasulullah dalam satu peperangan. Untaku berjalan lambat dan meletihkan aku. Lalu Rasulullah datang kepadaku dan bertanya: Apa masalah engkau? Jawabku: Untaku lambat berjalan dan meletihkanku. Lantas Baginda memukulnya dan bersabda: Tungganglah. Lalu akupun menunggangnya, maka sesungguhnya selepas itu untaku berjalan laju."

Buku 1000 Mukjizat Rasul turut menggariskan syarat yang ditetapkan muhaqqik perlu ada pada mukjizat antaranya hendaklah ia luar biasa sebagai perbuatan bagi Allah, kerana pembenaran hanya daripada Allah kepada Rasul-Nya.

Syarat lain ialah perbuatan itu disanggupi Nabi dan hendaklah mukjizat itu luar biasa kerana jika ia tidak luar biasa, nescaya pendusta boleh menyangkal kenabian baginda.

Walaupun jumlah 1,000 nampak seperti banyak tetapi setiap kisah yang berbeza akan membuatkan pembaca tidak sabar untuk tahu apa lagi kelebihan yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya dan tidak dinafikan sebahagian sudah diketahui umum.

Namun, pengulangan terutama kisah yang natijahnya adalah kebaikan serta pertolongan Allah kepada hamba-Nya yang yakin serta taat dalam amalan mereka mampu mencetus perasaan luar biasa yang hanya dirasai mereka yang meyakini kekuasaan Allah.

No comments: