BUKAN anugerah dan ganjaran yang diharapkan kerana mereka hanya melaksanakan tanggungjawab mengikut kemampuan diri dalam bidang masing-masing demi memenuhi tuntutan agama serta memberi kemaslahatan kepada masyarakat dan negara.
Bagaimanapun, tidak salah jika usaha mereka diberi penilaian serta pengiktirafan setimpal supaya kejayaan dicapai menjadi pemangkin dan aspirasi kepada orang lain untuk mencapai kejayaan serupa atau lebih hebat pada masa depan.
Justeru, pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi untuk meningkatkan jumlah hadiah yang diberi kepada penerima Anugerah Maulidur Rasul pastinya disambut baik semua pihak.
“Penerima Anugerah Maulidur Rasul adalah ikon baru pada peringkat negara yang dinilai mengikut satu standard. Ia pengiktirafan yang tinggi dan saya diarah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri supaya nilai hadiahnya lebih besar sebagai tanda pengiktirafan.
“Jika penyanyi boleh mendapat hadiah yang besar, tidak ada sebab kenapa tokoh peringkat nasional juga tidak mendapat nilai besar,” katanya selepas majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1429 Hijrah di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam.
Katanya, jumlah hadiah itu nanti boleh mencapai hingga ratusan ribu bagi menepati sumbangan serta perkhidmatan diberi tokoh terpilih dan beliau akan mendapatkan sumbangan daripada pihak swasta yang prihatin.
Sebagai usaha menggarap dan memperkasakan semangat mencontohi perjuangan Rasulullah SAW, Ahmad Zahid berkata, pihaknya melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan mengadakan program membawa penerima anugerah itu menjelajah seluruh negara.
Beliau berkata, dengan cara itu penerima Anugerah Maulidur Rasul boleh berkongsi pengalaman dengan generasi kedua dan ketiga seterusnya membangkitkan semangat mereka untuk mencapai kejayaan dalam bidang diceburi.
“Saya akan berunding dengan penerima untuk menjayakan program yang pertama kali akan dilaksanakan dan bagi mendekati kumpulan pelajar, kita mungkin boleh bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.
Penerima Anugerah Maulidur Rasul tahun ini mencakupi mereka yang berjaya dalam pelbagai bidang turut menjadikan anugerah itu mempunyai standard tersendiri yang perlu dikekalkan serta dipertingkat pada masa depan.
Mereka ialah Ketua Pembedahan Kardiotorasik Institut Jantung Negara (IJN), Tan Sri Dr Yahya Awang; Senator kurang upaya pertama negara, Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh; pelajar kurang upaya cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Peringkat Kebangsaan 2007, Nor Umairah Ahmad Jamhari; wanita Malaysia pertama sampai ke puncak Gunung Everest, Marina Ahmad dan angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.
Bagi lima penerima Anugerah Maulidur Rasul, pengiktirafan yang diberi adalah semangat untuk terus berkhidmat dan menyalurkan sumbangan kepada masyarakat.
Dr Yahya berkata, anugerah itu menjadi pembakar semangat untuknya meningkatkan mutu perkhidmatan serta meneroka kemajuan baru bidang perubatan, khususnya dalam bidang pembedahan jantung.
“Anugerah ini akan menjadi pendorong bagi saya untuk membantu lebih ramai pesakit jantung yang memerlukan bantuan dan pada masa sama membantu untuk membangkitkan minat anak muda supaya kita dapat melahirkan lebih ramai pakar bedah jantung di Malaysia yang kini hanya 35 orang,” katanya.
Reputasi cemerlang Dr Yahya, 58, berjaya memacu IJN sebagai pusat perubatan jantung bertaraf dunia hinggakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berani bertaruh nyawa membenarkan Dr Yahya membedah jantungnya pada 1989.
Ismail yang mencipta sejarah negara apabila dilantik Ahli Dewan Negara (senator) pertama daripada komuniti OKU pada 18 Disember lalu, berkata akan berusaha bersungguh-sungguh memastikan segala keperluan dan kepentingan OKU di negara ini dipertingkatkan.
“Trofi bukan perkara utama, tetapi lebih penting ialah pengiktirafan diterima terhadap sumbangan dalam beberapa bidang seperti pendidikan dan ekonomi. Saya berharap dapat meningkatkan sumbangan saya kepada masyarakat terutama OKU,” katanya.
Diiktiraf sebagai wanita pertama Malaysia ke Puncak Everest, Marina, 26, yang tidak menyangka menerima anugerah berkenaan menganggap ia adalah satu pencapaian terhebat pernah dicapainya.
“Minat mendaki itulah yang membawa saya ke sini hari ini. Saya rasa niat untuk mendaki gunung masih ada dan bercadang untuk mendaki puncak tertinggi di enam benua lain termasuk di Amerika Selatan dan Afrika,” katanya.
Angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukur, 36, berkata, beliau terharu kerana dipilih sebagai seorang tokoh menerima Anugerah Maulidur Rasul 2008, sekali gus menjadikannya sebagai satu inspirasi dalam hidup.
“Saya akan mengambil ini sebagai satu inspirasi buat diri saya kerana penjelajahan saya ke angkasa lepas bukan saja membabitkan bidang sains, malah umat Islam di seluruh dunia.
“Nasihat kepada adik-adik, saya mengambil masa 25 tahun untuk mencapai impian saya. Saya manusia biasa sama seperti anda. Sekiranya saya mampu mencapai impian saya, anda pun boleh, tetapi mestilah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai impian itu,” katanya.
Pelajar kurang upaya, Nor Umairah yang memperoleh 8A dalam PMR Peringkat Kebangsaan 2007 berkata, anugerah yang diterima diharap dapat menjadi pembakar semangat kepada dirinya dan pelajar kurang upaya lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan.
“Saya tahu saya ada kekurangan diri jadi saya perlu buat kerja lebih daripada orang biasa. Memang banyak yang menjadi pendorong tetapi semua itu terpulang kepada diri kerana tanpa kehendak diri susah untuk kita mencapai kejayaan,” katanya.
Friday, March 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment