Oleh Tuan Sidek Tuan Muda
MASYARAKAT ibarat sebuah kapal yang memerlukan nakhoda untuk mengemudi dan memimpinnya mengharungi detik suka, duka, senang, susah, kaya, miskin, aman mahupun perang. Tanpa pemimpin nescaya huru hara dan kacau bilau masyarakat.
Elok pemimpin, eloklah masyarakat. Justeru, pemimpin dan kepemimpinan sangat penting. Pemimpin mempunyai tanggungjawab besar bagi memastikan segala yang berada di bawah kepemimpinannya memperoleh keadilan serta kesejahteraan dalam kehidupan.
Islam sebagai cara hidup sangat menitik beratkan soal pemimpin dan kepemimpinan. Bahkan tugasan asasi manusia sebagai 'khalifah Allah' adalah untuk memimpin mengikut kapasiti setiap individu serta mengurus harta Allah di alam ini. Allah sebagai Tuhan yang menciptakan manusia sudah tentulah Dia Maha tahu mengenai segala yang berkaitan dengan manusia.
Oleh itu, Allah melalui kitab panduan-Nya al-Quran menggariskan prinsip asas yang perlu diikuti seseorang pemimpin bagi memastikan masyarakat menikmati kehidupan aman, sejahtera serta mendapat keredaan-Nya. Prinsip tersebut tidak lain melainkan berlaku adil dan menjauhi kezaliman.
Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhinya." - (Surah al Nahl, ayat 90)
Firman Allah lagi yang bermaksud: "Serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil." - (Surah al Hujurat, ayat 9)
Nabi SAW adalah seorang pemimpin. Baginda bukan pemimpin biasa tetapi pemimpin agung luar biasa yang meninggalkan panduan untuk pemimpin seterusnya sama ada dalam bentuk kata-kata mahupun perbuatan supaya mereka dapat melaksanakan tugas sebaik mungkin.
Jika diikuti panduan itu, sudah tentu pemimpin dan masyarakat yang dipimpinnya menikmati kehidupan sejahtera dan diredai Allah.
Antara panduan ialah sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Tujuh golongan yang Allah berikan lindungan kepada mereka pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan Allah; pemerintah yang adil, pemuda yang membesar dalam keadaan beribadah kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua lelaki yang berkawan dengan penuh kasih sayang kerana Allah bertemu kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya, lelaki yang diajak berzina oleh seorang perempuan yang ada kedudukan serta mempunyai harta lalu dia berkata: aku takut kepada Allah, lelaki yang memberi sedekah lalu disembunyi hingga tiada diketahui oleh tangan kirinya apa yang telah disedekahkan oleh tangan kanannya, dan lelaki yang berzikir mengingati Allah dalam keadaan sunyi lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah." - (Hadis Muttafaq'alaih)
Rasulullah SAW menyebut golongan pertama yang akan mendapat lindungan Allah pada hari kiamat kelak ialah pemerintah yang adil. Dr Mustafa Said al Khin dalam kitab Nuzhah al Muttaqin menjelaskan sebab didahulukan pemerintah yang adil daripada selain ialah kerana banyak kebaikan yang berkaitan dengannya.
Adalah menjadi tanggungjawab asas kepada setiap pemimpin memastikan keadilan ditegak dan dipelihara kerana ia akan memastikan banyak kebaikan dapat dinikmati masyarakat. Banyak sabda baginda menyuruh pemimpin bersifat adil.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Ahli syurga itu ada tiga golongan: sultan atau pemimpin yang adil serta mendapat taufik, lelaki penyayang dan lembut hatinya terhadap kaum kerabatnya dan orang Islam, dan orang tidak kaya yang mempunyai tanggungan banyak tetapi menjaga kehormatan diri dengan tidak meminta-minta." - (Hadis riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang adil di sisi Allah pada hari kiamat berada di atas mimbar daripada cahaya (menunjukkan kedudukan mereka yang tinggi di sisi Allah di dalam syurga); iaitu mereka adil di dalam hukuman mereka, adil terhadap ahli keluarga mereka dan adil terhadap segala yang berada di bawah tanggungjawab dan tanggungan mereka." - (Hadis riwayat Muslim)
Di samping itu ada beberapa hadis memberi amaran kepada pemimpin yang tidak adil serta tidak berbuat baik kepada golongan dipimpin. Antaranya, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak seorangpun daripada hamba Allah diberi tanggungjawab memimpin, lalu dia mati pada hari dia dimatikan dalam keadaan melakukan penipuan terhadap rakyatnya kecuali Allah haramkan ke atasnya syurga." - (Hadis Muttafaq 'alaih)
Rasulullah bersabda lagi yang bermaksud: "Barang siapa yang dilantik oleh Allah untuk menguruskan hal ehwal orang Islam tetapi dia tidak melaksanakan sesuatu yang memberikan kebaikan kepada mereka serta tidak memenuhi keperluan dan hajat mereka, nescaya Allah tidak akan memberikan sesuatu kebaikan kepadanya serta tidak memenuhi keperluan dan hajatnya pada hari akhirat." (Hadis riwayat Abu Daud dan al Tirmizi)
Wahyu Allah dan sabda Rasulullah SAW menggariskan prinsip penting yang menjadi tanggungjawab asas seseorang dilantik menjadi pemimpin iaitu berlaku adil serta menjauhi sifat zalim dan berbuat kejahatan.
Adil dalam setiap tindakan, menguruskan dan mentadbir. Dengan sifat adil, orang yang dipimpin akan berpuas hati dan keadaan menjadi sejahtera serta aman.
Semoga pemimpin di semua peringkat sama ada negara, negeri, daerah, kampung, mahupun keluarga dapat berlaku adil terhadap segala yang di bawah tanggungjawabnya. Dengan itu, masyarakat dapat menikmati kehidupan yang aman, sejahtera, harmoni serta diredai Allah.
Sesungguhnya semua tanggungjawab itu akan disoal dan dihitung Allah di akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu akan ditanya tentang rakyatnya (apa yang dijaga); seorang pemimpin akan ditanya mengenai rakyatnya, seorang lelaki adalah penjaga kepada ahli keluarganya dan akan ditanya mengenai jagaannya, seorang perempuan adalah penjaga kepada rumah suaminya dan akan ditanya jagaannya, seorang khadam adalah penjaga kepada harta tuannya dan akan ditanya mengenai jagaannya, dan setiap kamu adalah penjaga dan akan ditanya tentang jagaannya." - (Hadis Muttafaq 'alaih)
Penulis ialah pensyarah Pengajian Islam Institut Teknologi Maklumat Malaysia Kuala Lumpur
Saturday, March 15, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment